Antara yang terlibat adalah Lexus, Tesla, Apple, Google, Uber dan Mercedes-Benz.

Suatu hari kelak, pemanduan kenderaan akan dilaksanakan bersandarkan komputer dengan pelbagai pengesan dan peralatan lain untuk mengawal kenderaan dan mengelak kemalangan, memberi manfaat kepada segenap pengguna seperti golongan kelainan upaya dan warga emas yang tidak mampu memandu.

Namun, adakah Malaysia bersedia untuk memanfaatkan teknologi kenderaan autonomi?

Ketika berucap sempena Persidangan Ke Arah Teknologi Autonomi di Kuala Lumpur Mac lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, Malaysia tidak berada jauh daripada perkembangan teknologi berkenaan.

Menurutnya, terdapat syarikat tempatan dan institusi pengajian tinggi (IPT) telah memulakan beberapa projek pembangunan yang berkaitan kenderaan dan teknologi autonomi.

“Sebagai contoh, syarikat tempatan, Reka Studios telah mula membangunkan teknologi kereta pandu sendiri sejak September 2016 manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melaksanakan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan terhadap kenderaan berautomat sepenuhnya sejak tahun lalu.

“Sebuah kenderaan prototaip berasaskan tujuh tempat duduk yang dibangunkan melalui usaha sama UTM dan Moovita Pte. Ltd., mula ditampilkan kepada umum pada Januari lalu setelah melalui ujian dan pembangunan selama enam bulan,” katanya.

Tee Yong menambah, satu lagi inisiatif sedang dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di bawah Projek Wilayah Perak Selatan untuk meletakkan Tanjung Malim sebagai peneraju Asia Tenggara dalam penjanaan teknologi kenderaan autonomi terhubung (CAV).

“Dikenali sebagai NXGV25, projek ini dijangka mewujudkan makmal khusus atau tempat ujian untuk syarikat-syarikat automotif, telekomunikasi, keselamatan siber dan industri teknologi untuk membangunkan produk dan perkhidmatan CAV tersendiri dalam kluster khusus.

“Inisiatif ini dijangka mempercepatkan pelaksanaan CAV di bandar-bandar metropolitan utama sekitar Malaysia dan Asia Tenggara seawal tahun 2025,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis bebas automotif, Hezeri Samsuri berkata, sebuah kenderaan AV berupaya beroperasi dengan lebih efisien memandangkan penerapan teknologi berkomputer akan memastikan trafik yang lebih lancar.

“Sekiranya kenderaan ‘bercakap’ antara satu sama lain, jalan-jalan akan lebih teratur dan kenderaan akan dapat bergerak dengan lebih baik, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api,” katanya.

Namun, Hezeri menegaskan, syarikat kereta tradisional yang ketinggalan dalam teknologi AV akan berada dalam risiko ‘gulung tikar’.

“Syarikat-syarikat kereta yang maju kini telah melabur dalam AV bagi memastikan jenama mereka kekal relevan pada masa hadapan. Malah, dengan kebanyakan negara menuntut standard tinggi terhadap pengeluaran karbon kenderaan, mempunyai ciri-ciri AV dalam kenderaan elektrik adalah bermanfaat kerana komputer boleh memastikan kuasa digunakan secara efisien,” katanya.

Walaupun Amerika Syarikat menerajui teknologi kenderaan tanpa pemandu ini dan beberapa negara Eropah mula menerima standard AV, bagaimanapun beliau berpendapat Malaysia tidak seharusnya mengikuti teknologi itu secara membuta tuli.