Terbaharu, akhbar Kosmo! mendedahkan pihak polis mengesan sindiket dadah kini mampu mencipta bahan psikoaktif baharu dikenali New Psychoactive Substances (NPS) yang digunakan bagi menghasilkan dadah sintetik dalam bentuk pelekat seperti koyok.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, wartawan Jurnal menemu bual Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JURNAL: Sindiket pengedaran dadah sentiasa mencari idea-idea baharu bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa. Terbaharu sindiket menggunakan kaedah pengedaran dadah sintetik dalam bentuk pelekat.

Apakah pandangan Datuk berhubung perkara ini?

ABD. HALIM: Sindiket pengedaran dadah adalah satu isu global dan mereka sentiasa menggunakan elemen-elemen kreatif untuk mengelak dan mencari jalan daripada dikesan pihak berkuasa. Mengenai kaedah baharu itu, di bahagian penguatkuasaan AADK tiada tangkapan dan maklumat lanjut berhubung perkara berkenaan, namun kami akan melakukan siasatan dan pemantauan terperinci bersama-sama agensi penguat kuasa yang lain bagi membanteras pengedaran dadah dalam bentuk apa cara sekali pun.

Inovasi dalam penghasilan dadah juga telah membuatkan ia tidak boleh dikesan menerusi ujian air kencing, justeru apakah strategi yang digunakan AADK dalam menangani masalah ini?

ABD. HALIM: Dadah sintetik ini dihasilkan daripada pelbagai jenis bahan kimia dan kita mempunyai kepakaran daripada Jabatan Kimia untuk mengesan dadah tersebut. Semua jenis dadah telah disenaraikan di peringkat antarabangsa dan kami tahu akan muncul banyak lagi dadah yang baharu.

Setiap kali ada kemunculan dadah baharu, kami di AADK akan berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia untuk membuat pengesahan mengenai perkara tersebut. Selain itu, kami juga sentiasa mendidik dan memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat di negara ini sekiranya ada kemunculan dadah baharu.

Adakah terdapat sebarang akta yang boleh dikenakan ke atas individu yang dikesan menggunakan dadah jenis sintetik ini ekoran ia sukar dikesan?

ABD. HALIM: Pada umumnya kita mengesyaki seseorang itu mengambil dadah apabila melihat kepada tingkah laku mereka dan ujian air kencing akan dilakukan. Walaupun dadah baharu, kita akan dapat kesan, nama sahaja baharu tetapi bahan sama.

Bagaimanakah bentuk pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan AADK dalam usaha membanteras kegiatan tersebut?

ABD. HALIM: Kita ada pasukan petugas yang menggabungkan semua agensi penguatkuasaan berkaitan dengan dadah dan kami akan bermesyuarat secara berkala bagi membincangkan segala isu berkaitan sama ada dari segi pengedaran mahupun permintaan.

Kami juga melakukan operasi bersepadu di setiap negeri selaras dengan Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan 3.0 yang memberi fokus kepada kumpulan tertentu dan lokasi hotspot seperti di Projek Perumahan Rakyat selain kawasan nelayan dan Felda. Kita memberi tumpuan terhadap golongan yang berisiko supaya mereka boleh diselamatkan untuk dibawa ke pusat rawatan dan pemulihan.

Selain itu, salah satu strategi untuk mengekang masalah ini ialah kami melatih pemimpin-pemimpin komuniti untuk menjaga atau menjalankan kerja-kerja pemulihan dan rawatan.

Strategi ini terbukti berjaya apabila pada tahun lepas bilangan penagih yang dikesan berkurangan sebanyak 16 peratus berbanding 2016. Jumlah penagih yang dikesan pada tahun lalu adalah seramai 25,922 orang dengan 18,440 merupakan penagih baharu sementara berulang 7,482 orang berbanding 22,923 penagih baharu dan 7,921 penagih berulang pada 2016.

Berdasarkan operasi yang dijalankan, dari usia berapakah rakyat Malaysia mula terlibat dengan dadah?

ABD. HALIM: Seawal 13 tahun ada yang mula mencuba dadah, namun penagih tegar dalam kalangan usia tersebut jarang berlaku. Yang paling ramai adalah berusia sekitar 20-an. Saya berpegang pada pendidikan, semakin tinggi tahap pendidikan seseorang itu, semakin rendah kebarangkalian untuk mereka merosakkan diri. Masyarakat juga perlu memainkan peranan dan berani menegur sekiranya melihat kanak-kanak melakukan kesalahan untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat pada masa akan datang.
 

Datuk telah terlibat secara langsung dalam usaha memerangi musuh nombor satu negara itu sebelum bersama AADK lagi, boleh Datuk kongsikan apakah yang mendorong Datuk untuk memastikan rakyat Malaysia bebas daripada penyalahgunaan dadah?

ABD. HALIM: Ketika berada di kampung dan bekerja di luar negara saya bergaul serta mempunyai rakan-rakan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, saya mahu membantu mereka keluar daripada kancah tersebut.

Keadaan itu menyebabkan saya fikir lebih baik saya mendalami bidang ini untuk membantu mereka yang terlibat dengan masalah tersebut. Tambahan pula, saya berada dalam bidang kaunseling yang boleh diaplikasikan untuk membantu golongan terbabit.