MUSTAFAR
MUSTAFAR

Walaupun kerja yang dilakukannya di dalam hutan itu agak meletihkan kerana perlu menebang dan mengangkat kayu balak, hatinya berasa tenang kerana tidak perlu takut ditangkap oleh pihak berkuasa.

“Saya masuk ke Malaysia ini sudah lama pak, sekitar tahun 2009 lalu menaiki feri di Batam. Masuk pun kosong (tanpa permit kerja) sebagai pelancong saja sebelum bekerja di ladang kelapa sawit di Johor.

“Ketika itu gaji enggak lumayan sangat dan kerja pun bagus, tetapi hati selalu risau setiap kali ternampak pak polisi (polis). Pernah saya dikejar ketika sedang memotong buah sawit apabila ada serbuan besar, mujur terlepas.

“Sejak itu saya sentiasa berpindah dari ladang ke ladang lain. Akhir sekali saya bekerja di sebuah kebun durian di Pahang sebelum belajar cara menggunakan mesin pemotong kayu,” katanya ketika ditemui Jurnal di Pahang baru-baru ini.

Cerita Shafrizal lagi, setelah mahir mengendalikan mesin pemotong kayu, dia telah ditawarkan oleh seorang tauke bagi melakukan kerja-kerja menebang pokok balak dan perlu tinggal di dalam hutan.

“Pada awalnya memang saya rasa kekok tinggal di dalam pondok kecil di hutan. Lama-kelamaan saya menjadi seronok dan tidak berasa takut kerana tidak perlu berhadapan dengan orang ramai atau pihak berkuasa.

“Barang makanan dan rokok pun dibeli oleh tauke, bayaran pula lebih lumayan walaupun kerjanya berat. Sebulan saya boleh dapat lebih RM4,000 bersih selepas tolak duit belanja.

“Lagi pun saya tidak berkahwin dan tidak perlu fikir siapa-siapa. Kalau mahu hantar wang kepada orang tua di Jambi, suruh sahaja tauke saya menghantarnya,” katanya yang tinggal bersama dua orang rakannya yang lain.

Tambah Shafrizal, walaupun ada dalam kalangan rakan-rakannya mengajak untuk tinggal di bandar dan bekerja dengan kontraktor perumahan, dia enggan kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa.

“Sudah ramai kenalan saya yang tinggal di bandar ditangkap. Mereka kebanyakannya bekerja sendiri membuat rumah atau terlibat dalam ubahsuai rumah. Pendapatan lumayan sekali, tetapi terlalu berisiko,” ujarnya.

Cerita Shafrizal ini, merupakan sebahagian daripada kisah jutaan warga asing yang berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bukan sekadar bekerja, tetapi membina perniagaan sendiri di negara ini.

PATI lebih ramai

Sehingga September tahun lalu, jumlah pekerja asing yang bekerja di negara ini secara sah seramai 1.73 juta orang daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.

Jabatan Perangkaan pula menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini tahun lalu sekitar 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta penduduk di Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Sekretariat Khidmat Imigran (SKI), Amir Pasirin, jumlah sebenar warga asing yang berstatus PATI di negara ketika ini sukar ditentukan berikutan tiada statistik jelas berkenaan warga asing tersebut.

Bagaimanapun, Amir berkata, pihaknya percaya bilangan PATI di negara ini melebihi jumlah pekerja asing yang memiliki dokumen dan permit sah untuk bekerja berikutan permintaan tinggi terhadap tenaga buruh berkenaan.

“Kami difahamkan pada 2014 terdapat lebih 6.7 juta pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor terutama pembinaan dan perladangan. Daripada jumlah itu hanya 2.1 juta yang mempunyai permit.

“Jadi, ketika itu terdapat lebih 4.6 juta warga asing yang bekerja secara tidak sah di Malaysia. Persoalannya sehingga kini ke mana hilangnya 4.6 juta orang ini? Adakah semuanya telah pulang ke negara masing-masing?

“Pada 2017 pula, terdapat kira-kira 1.73 juta pekerja asing yang sah berbanding 2.1 juta orang empat tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 300,000 lebih. Ke mana perginya pekerja asing ini di saat Malaysia memerlukan guna tenaga yang banyak,” katanya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Tambah Amir, beliau percaya jutaan PATI yang hilang dalam ‘radar’ masih lagi bebas bergerak dan bekerja di negara ini kerana amat mustahil warga asing tersebut pulang beramai-ramai ke negara masing-masing.

“Jika ada yang pulang atau ditangkap, bilangan itu tidak ramai. Malah setiap tahun ada sahaja rakyat asing yang datang ke Malaysia untuk tujuan lain tetapi tinggal lebih masa bagi bekerja. Jumlah (PATI) tidak akan berkurangan tetapi meningkat.

“Cara mereka masuk ke Malaysia juga tidak seperti dahulu dengan menggunakan laluan tikus seperti melalui hutan atau tongkang. Sekarang ini mereka hanya naik feri atau pesawat menggunakan pas pelancong atau pelajar.

“Penggunaan sindiket juga sudah berkurangan kerana mereka sudah tahu cara yang lebih mudah. Gunakan sahaja alasan melancong sehingga pasport mereka luput, selepas itu mereka akan bergerak secara haram.

“Mereka ini tidak gelarkan diri sebagai PATI sebaliknya PADI iaitu pendatang asing dengan izin kerana masuk ke Malaysia dengan cara sah tetapi tinggal lebih masa sahaja,” ujarnya.

Menurut Amir, walaupun tidak memiliki dokumen perjalanan sah, golongan PATI tersebut tidak hidup dalam persembunyian sebaliknya bebas bergerak dan bergaul hingga membentuk komuniti dalam masyarakat Malaysia.

Ujar beliau, warga asing tersebut itu secara terang-terangan bekerja dalam bidang yang memerlukan mereka berhadapan dengan orang ramai seperti sektor perkhidmatan dan keselamatan.

“Tidak dinafikan ada sebilangan PATI yang bersembunyi daripada pihak berkuasa dengan bekerja di kawasan ladang, hutan dan pedalaman supaya tidak terdedah. Tetapi jumlah itu sangat sedikit.

“Jika tidak percaya, pergilah ke Chow Kit di ibu negara, Kampung Bakar Batu (Perling, Johor) atau Mentari Court (Petaling Jaya). Kawasan itu dipenuhi warga asing yang tiada dokumen sah. Mereka tidak bersembunyi dan bebas dengan aktiviti masing-masing.

“Jika dahulu penempatan warga asing pada awal 1990-an sangat jelas. Warga Indonesia kebanyakannya tinggal di kawasan ladang atau tapak pembinaan, tetapi hari ini seperti ada kawasan tertentu sudah menjadi ‘mini negara’ mereka,” ujarnya.

Kedutaan jadi ejen

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana berkata, pemberian pasport, pemeriksaan kesihatan dan latihan percuma kepada tenaga kerja Indonesia mampu mengurangkan kebanjiran PATI dalam kalangan rakyat republik itu di Malaysia.

Jelas beliau, ketika ini semua tenaga kerja warga Indonesia perlu membayar sejumlah wang bagi membolehkan mereka bekerja di luar negara dan perkara itu merupakan sebahagian punca mereka memilih untuk bekerja secara haram di Malaysia.

“Saya akan menyampaikan cadangan ini kepada Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Hanif Dakiri sebagai sebahagian langkah mengurangi jumlah tenaga kerja yang bekerja secara tidak sah di Malaysia.

“Dengan cara itu, biaya pasport, kesihatan dan latihan tidak ada lagi. Majikan di Malaysia juga memilih pekerja yang tiada permit kerana kosnya lebih rendah berbanding yang sah,” katanya.

Tambah Rusdi, pihaknya juga akan mengusulkan supaya Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (PJTKI) dan kedutaan bertindak sebagai ejen yang merekrut bakal pekerja untuk majikan di Malaysia.

“Jika pihak kedutaan atau PJTKI menjadi ejennya, yuran ejen di Malaysia tidak akan dikenakan. Dengan itu kita boleh mencatat siapa majikannya, juga tidak ada lagi pemotongan gaji,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya mengambil serius isu lambakan PATI di negara ini melalui tindakan operasi dan penguatkuasaan berterusan dengan moto Hari-Hari Operasi iaitu sasaran sebanyak 850 operasi setiap bulan.

Jelas beliau, bermula pada November tahun lalu, sasaran ditambah daripada 850 kepada 1,300 operasi sebulan bagi memastikan kedaulatan negara tidak digugat oleh warga asing terutama PATI.

“Sepanjang tahun lalu, Jabatan Imigresen telah melakukan sebanyak 16,737 operasi melibatkan pemeriksaan warga asing seramai 197,866 orang. Daripada jumlah itu seramai 48,464 PATI telah berjaya ditahan selain 1,293 majikan.

“Selain itu, setiap Depot Tahanan Imigresen telah menjalankan aktiviti pengusiran tahanan secara berkesan dan konsisten yang mana seramai 45,970 orang tahanan warga asing telah diusir keluar dari Malaysia sehingga November tahun lalu,” katanya.

Melancong

Tambah Mustafar, program 3+1 telah diperkenalkan untuk membolehkan PATI yang berada di dalam negara ini secara haram menyerah diri kepada Jabatan Imegresen secara sukarela bagi melalui proses perundangan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Bermula 4 Januari hingga 10 Disember tahun lalu, kita mendapati kutipan kompaun dan pas khas bagi program ini berjumlah hampir RM83 juta. Jumlah keseluruhan kutipan bermula 2014 sudah hampir mencecah RM268 juta.

Mustafar menjelaskan, masalah lambakan warga asing yang menjadi PATI berlaku apabila wujud kecenderungan sesetengah pihak iaitu ejen atau orang tengah untuk membawa seberapa banyak pekerja asing ke negara ini.

Beliau berkata, ejen tersebut akan memperoleh komisen setelah ‘menjual’ pekerja asing yang dibawa masuk oleh mereka kepada syarikat yang memerlukan pekerja.

“Mereka kata ada syarikat minta pekerja asing. Bila kita buat siasatan, syarikat yang minta itu sebenarnya tidak minta pun. Jadi, kita arahkan laporan polis dibuat dan siasatan terhadap syarikat yang kononnya dilakukan meminta atau ejen yang membawa.

“Pernah satu ketika sektor perladangan tidak cukup pekerja. Ini berlaku kerana pekerja asing yang datang untuk bekerja dalam sektor perladangan bekerja di sektor pembinaan. Ini kerana levi bagi sektor perladangan ialah RM640 manakala levi bagi sektor pembinaan ialah RM1,850.

“Mereka menggunakan levi itu untuk bekerja dalam sektor perladangan dan kemudian keluar untuk bekerja dalam sektor pembinaan. Perkara ini tidak boleh dan salah kerana mereka akan menjadi PATI jika tidak bekerja dalam industri yang sepatutnya.

“Ada juga datang PATI sebagai pelancong, tetapi akhirnya melencong dan bekerja selepas pas lawatan mereka tamat. Ada juga menjadi PATI apabila lari daripada majikan asal untuk bekerja sendiri,” ujarnya dengan nada kesal.

Selain datang bekerja, Mustafar memberitahu, PATI khususnya warga Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Myanmar mempunyai kecenderungan untuk menjalankan perniagaan mereka sendiri sama ada menyewa premis atau membeli perniagaan daripada rakyat tempatan.

“Pada mulanya mereka datang bekerja dalam sektor pembinaan dan perladangan. Tetapi kita dapat maklumat mereka yang pergi ke sektor perladangan lari ke sektor pembinaan atau ke sektor yang paling mereka suka iaitu berniaga.

“Apabila berniaga, mereka melanggar syarat pas dan syarat-syarat yang ditetapkan. Bila keluar dari industri yang sepatutnya mereka bekerja, mereka sudah jadi PATI.

“Sebab itu kita nampak di pasar-pasar borong atau premis perniagaan jualan barang runcit, warga Pakistan, Indonesia dan Bangladesh sudah ramai. Ada juga yang sudah bergelar tauke dan mempunyai kedai sendiri. Dia pula menggajikan orang tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar menggesa agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi membanteras PATI dengan lebih berkesan.

“Isu membabitkan PATI bukan hanya tanggungjawab Jabatan Imigresen kerana setiap agensi mahupun PBT mempunyai bidang kuasa tersendiri. Kami melakukan operasi setiap hari bagi membanteras PATI namun isu itu tidak selesai jika pihak berkaitan tidak melakukan tindakan susulan sewajarnya,” tegas Mustafar.