Satu-satunya alasan dia membunuh Lennon adalah kerana penyanyi itu popular. Chapman menyifatkan dengan membunuh Lennon, dia akan menjadi bahan berita sekali gus menempa populariti dalam jalur yang tersendiri. Ternyata impiannya berjaya. Nama Chapman menjadi popular sejak dua dekad lalu. Dia yang menceritakan telah meminta autograf Lennon sebelum kembali kepada legenda itu dan menembaknya, kini masih meringkuk di dalam penjara selepas rayuan kali kelapan untuk mendapat hukuman lebih ringan tidak diluluskan.

Selain Lennon, populariti mendadak yang diraih bintang kelahiran program realiti The Voice, Christina Grimmie, juga berakhir tragis. Penyanyi itu mati ditembak peminatnya selepas mereka berjabat tangan dalam satu sesi bertemu peminat di sebuah pusat beli-belah. Dalam insiden tersebut, Kevin Loibl, 27, juga mati selepas menembak dirinya sendiri.

Adakah itu lambang obses atau apresiasi kelompok peminat terhadap selebriti yang begitu popular? Mereka menentukan nasib bintang kesayangan sehingga mengambil nyawa.

Apa penting sangat menjadi popular? Popular atau juga dipanggil tenar, terkenal, mendunia juga masyhur memberi beragam implikasi.

Penyanyi remaja paling popular di dunia, Justin Bieber dalam satu wawancara pernah mengeluh. Populariti telah meragut keseluruhan hidupnya, sehingga tidak ada satu inci pun kehidupannya tidak ‘diserang hendap’ bukan sahaja peminat tetapi paparazi atau orang yang tidak dikenalinya.

Walhal kerana peminat, Bieber bukan sekadar popular tetapi menjadi jutawan. Pada usia 23 tahun, dia dilaporkan memperoleh pendapatan sehingga RM270 juta setahun.

Kiblat

Peminat masa kini juga kalau tidak dibendung boleh jatuh dalam kelompok ‘orang gila’. Bayangkan bagaimana penyanyi cantik seperti Wany Hasrita terpaksa memohon maaf kepada peminat selepas dikritik tidak memakai tudung dengan lilitan yang betul dan mengenakan baju yang disifatkan tidak melambangkan imejnya sebelum ini.

Peminat juga bertelagah sesama sendiri kerana mahu bintang kesayangan mengisi slot drama atau menentukan dengan siapa sepatutnya seseorang artis layak bercinta.

Tindakan mereka sebenarnya sudah hampir membuat slogan ‘media penentu jatuh bangun kerjaya selebriti’ yang sering menjadi momok buat pelaku seni dan dunia hiburan suatu masa dahulu menjadi lapuk. Media massa dilabelkan sebagai penyumbang kepada kemusnahan karier atau membuat kerjaya seseorang selebriti meroket tanpa dapat ditahan-tahan. Dengan laporan media massa, ia menjadi neraca penentu kerjaya mereka.

Itu dahulu. Hari ini, dengan kebanyakan daripada kita hidup berkiblatkan media sosial, nasib dan populariti selebriti sebenarnya telah ditentukan oleh peminat.

Media massa sudah tidak mempunyai peranan besar terhadap populariti selebriti. Sebaliknya, penguasaan media sosial dan kepercayaan untuk meraih segala macam jenis empati dan populariti ditentukan oleh peminat.

Menurut Ketua Pusat Pengajian Teater Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM, Shah Alam, Dr. Norzizi Zulkifli, hakikatnya sejak dahulu lagi peminat telah mengikat populariti seseorang artis.

“Cuma bezanya dahulu peminat memberi reaksi dan menentukan bintang kesayangan mereka terus popular dengan membeli kaset atau menonton naskhah di pawagam, misalnya.

“Pada masa ini, kebebasan penggunaan laman sosial membolehkan suara mereka didengar sama ada dalam nada positif atau negatif,” ujar Zizie yang telah lama melalui fasa disokong peminat secara senyap dan terbuka.

Hari ini, kalau mahu meraih apa-apa atau dipandang, perlu ada popular di dalamnya. Stesen televisyen atau pengarah, misalnya, pada masa ini akan melihat berapa banyak pengikut seseorang anak seni sebelum mengambil khidmat mereka sehingga ramai pelaku seni yang berkredibiliti dinafikan hak mereka.

Lihat sahaja betapa banyaknya anugerah yang tidak lagi berteraskan kualiti, sebaliknya meletakkan kuasa mutlak kepada peminat untuk memilih selebriti kesayangan mereka.

Melalui kelab peminat, mereka keluar duit dan mengundi. Peduli apa mereka jika selebriti kesayangan nyaris tidak punya produk yang diperjuangkan dalam belantika hiburan. Apa yang penting, mereka telah dilayan dengan baik atau salam mereka secara maya dalam laman sosial dibalas selebriti, itu sudah mampu memancing untuk mereka setia dan mengundi. Dan, mereka akan pastikan bintang kesayangan menang.

Semua itu adalah kuasa populariti. Tanpa populariti, selebriti masa kini bukan siapa-siapa. Bagaimana mahu berkempen kalau diri sendiri tidak popular?

Kitarannya sama seperti calon-calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang berdebar menantikan penamaan calon pada 28 April ini sebelum seluruh rakyat Malaysia yang layak keluar mengundi pada 9 Mei depan.

Siapa yang dikenali atau popular, dialah pilihan hati. Kalau tidak popular dan tidak bijak berkempen serta melobi, duduklah rumah gigit jari. Begitulah kuasa peminat yang menentukan nasib serta populariti para selebriti.

Bagaimanapun, pesan Zizie: “Seniman berkarya jangan bertuankan peminat. Seniman berkarya untuk mencari kualiti dalam seni. Buat sahaja kerja seni dan biarkan peminat menilai.

“Apa yang penting jangan tenggelam dengan populariti dan terus berusaha untuk mengekalkan kualiti.”