Menurut The Washington Post, Lewis yang dilahirkan di London dan menjadi profesor di Universiti Princeton, AS, adalah penyokong Perang Dingin, pro-Yahudi Israel dan tokoh berpengaruh kepada perancang di White House serta Pentagon dalam serangan ke atas Iraq yang diketuai AS pada 2003.

Lewis dikenal sebagai penulis yang sangat produktif dan orientalis yang pakar dalam sejarah Islam dan Yahudi. Beliaulah yang mula-mula mempopularkan wacana ‘Clash of Civilizations’ atau Pertembungan Peradaban, melalui artikelnya berjudul The Roots of Muslim Rage yang diterbitkan jurnal Atlantic Monthly pada September 1990. Artikel itu membahaskan tentang siapa musuh baharu Barat pasca-Perang Dingin.

Salah satu pertanyaan yang popular di Barat pasca-Perang Dingin yang dilontarkan Lewis ialah adakah Islam merupakan ancaman kepada Barat?

Menurut Lewis, Islam itu sendiri bukan musuh Barat. “Ramai muslim, baik di dunia Islam mahupun di Barat, yang ingin menjalin hubungan lebih dekat dan bersahabat dengan Barat serta mengembangkan demokrasi di negara mereka,” tulis beliau.

Namun, katanya, orang Islam, dalam jumlah yang signifikan, adalah jahat dan berbahaya kerana mereka memang begitu.

Untuk memudahkan Barat membuat percaturan politik, Lewis membahagi kaum muslim kepada tiga kelompok. Pertama, kelompok yang melihat Barat khususnya AS, sebagai musuh Islam yang abadi dan penghalang utama dalam menerapkan keimanan dan hukum Tuhan. Satu-satunya cara mereka menghadapi Barat adalah perang.

Kedua, kalangan muslim yang tetap berpegang kepada agamanya, tetapi mahu berbaik-baik dengan Barat untuk mencipta dunia yang lebih bebas dan lebih baik.

Ketiga, muslim yang melihat Barat sebagai musuh utama, tetapi kerana sedar terhadap kekuatan Barat, mereka melakukan penyesuaian diri seketika, untuk mempersiapkan diri bagi ‘perjuangan akhir’.

Lewis dengan tegas menyebut muslim fundamentalis sebagai musuh Barat. Kata beliau, antara ciri muslim fundamentalis ialah mereka menganggap masalah yang dihadapi muslim sebagai akibat modernisasi yang berlebihan dan mengkhianati nilai-nilai Islam.

Mereka juga menganggap ubat bagi ‘penyakit’ itu adalah kembali kepada Islam sejati sekali gus menghapuskan semua hukum dan aspek sosial yang dipinjam dari Barat, serta menggantikannya dengan syariat.

Ilmuwan

Bagaimanapun, hubungan rapat Lewis dengan White House menyebabkan pandangan-pandangannya memiliki nuansa politik yang tinggi dan seolah-olah menjadi asas kepada polisi luar AS. Ini menyebabkan Lewis nampak seperti kehilangan sisi objektifnya sebagai seorang ilmuwan.

Banyak kandungan buku-buku Lewis yang boleh dikritik tetapi hakikatnya, cetusan minda orang seperti Lewis inilah yang banyak memengaruhi dasar luar AS. Pandangan Lewis jugalah yang menyediakan gagasan minda bagi serangan ke atas Iraq dan berbagai bentuk preemptive attack (serangan pencegahan) yang lain.

Dari sudut lain, karya Lewis sarat dengan pelbagai fakta menarik. Buku What Went Wrong? memuatkan banyak data tentang keagungan sejarah Islam. Lewis mengakui bahawa selama beberapa abad Islam merupakan kekuatan tentera dan ekonomi terbesar di muka bumi.

Beliau mengagumi Ibnu Khaldun, sejarawan Arab abad ke-14 dan pelopor analisis politik. Lebih daripada itu, beliau juga mengagumi Nabi Muhammad SAW. Kata beliau: “Ketika Muhammad meninggal dunia pada tahun 632, ramalan dan misi spiritualnya telah selesai. Meskipun begitu, tugas keagamaannya tetap hidup iaitu untuk memelihara dan mempertahankan agama serta hukum Islam dan membawa ajaran tersebut kepada umat manusia.”

Tetapi, menurut Lewis, pada abad ke-20, ada yang salah pada dunia Islam. Dibandingkan dengan pesaingnya, Kristian, orang Islam kini menjadi miskin, lemah, dan bodoh. Sejak abad ke-19, dominasi Barat terhadap dunia Islam kelihatan jelas. Barat mengalahkan orang Islam dalam setiap aspek kehidupan, bukan hanya pada aspek umum, tetapi juga dalam aspek-aspek kehidupan peribadi.

Bagaimanapun, sejarah ditulis bukan dengan ‘visi kosong’. Lewis tetaplah seorang Yahudi neoorientalis yang memiliki cara pandang tersendiri terhadap Islam dan sejarahnya. Pembaca tidak menjumpai kritikan Lewis terhadap kekejaman pemerintah Kristian terhadap Yahudi di Eropah.

Sebagai contoh, seramai 150,000 Yahudi diusir dari Sepanyol pada tahun 1492 dan kekayaan mereka dirampas. Malah, ada antara mereka yang diusir itu dirompak di tengah jalan manakala perut mereka dibelah bagi mencari emas yang disyaki disembunyikan di situ.

Salah seorang pengkritik Lewis ialah intelektual Palestin, Edward Said yang menggelar Lewis sebagai pembela Zionis dan seorang orientalis yang suka merendah-rendahkan orang Arab.

Dalam satu temu ramah dengan akhbar Al-Ahram, Said memberitahu: “Bernard Lewis tidak pernah pun menjejak kaki di Asia Barat dan dunia Arab selama 40 tahun. Beliau tidak tahu apa jua pun mengenai dunia Arab.”

Begitupun, Lewis membalasnya: “Jika orang Barat tidak layak mempelajari sejarah Afrika atau Asia Barat, maka hanya ikan yang dapat mempelajari biologi lautan.”

Lewis tetaplah seorang Yahudi neoorientalis yang memiliki cara pandang tersendiri terhadap Islam dan sejarah kaum muslim