Kajian yang dijalankan Microsoft Global Youth Online Behaviour Survey menunjukkan pada tahun 2012, Malaysia berada di tempat ke-17 paling tinggi kes buli siber dalam kalangan 25 negara yang ditinjau.

Sebuah portal NoBullying.com mendedahkan pada tahun 2016, sebanyak 9.3 juta pengguna media sosial pernah meminta tolong berkaitan keselamatan diri dan buli siber.

Perangkaan tersebut menunjukkan mentaliti generasi masa kini semakin parah. Melakukan jenayah buli siber, biar tidak menyentuh atau menyakiti fizikal si mangsa secara berdepan, hakikatnya tekanan buli yang dilakukan memberi efek bukan hanya kepada mentaliti, malah sehingga mendorong perbuatan di luar kawalan termasuk membunuh diri.

Tindakan itu bukan asing dalam kalangan mangsa buli siber. Antara kes berprofil tinggi yang pernah mendapat liputan meluas media massa antarabangsa adalah tentang tindakan seorang remaja berusia 14 tahun dari Los Angeles, Amerika Syarikat. Megan Meier mati membunuh diri dengan menggantung dirinya selepas ‘ditinggalkan’ oleh ‘lelaki idaman’, Josh Evans yang dikenali menerusi rangkaian MySpace.

Selepas kematiannya, penyiasatan yang dijalankan mendapati dia telah ditipu dan dibuli dengan teruk oleh Evans. Evans sebenarnya tidak pernah wujud, sebaliknya identiti itu dicipta oleh jirannya, seorang rakan perempuan mangsa bernama Lori Drew. Kes ini berlaku pada tahun 2007.

Di Malaysia, kematian seorang remaja lelaki yang dikenali sebagai Teh dari Pulau Pinang didakwa oleh rakannya bukan satu kes bunuh diri kerana tekanan pelajaran. Sebaliknya ia berlaku kerana dia telah melalui fasa buli siber yang teruk.

Itu beberapa kes dan kesan terhadap buli siber yang semakin membimbangkan. Ia lebih buruk kini kesannya terhadap barisan selebriti di negara yang menjadi mangsa buli hampir setiap hari.

Tindakan buli tersebut merangkumi kecaman, hinaan, pendedahan hal-hal di luar jangka seperti penyebaran gambar lama atau fitnah.

Mengundang

Mengaku menjadi mangsa buli siber daripada individu-individu yang tidak dikenali setiap hari, Neelofa mengambil inisiatif untuk memulakan kempen Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu. Kempen yang mengangkat tema Sebar Fakta Bukan Dusta dan Aku Bersamamu itu dijalankan bersama 14 selebriti lain yang mempunyai pengikut dan pengaruh besar dalam laman sosial termasuk pasangan suami isteri Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya, Datuk Hans Isaac, Caprice, Maya Karin dan Nora Danish.

Ujar pemilik 5.4 juta pengikut dalam Instagramnya itu, dia sedar kempen tersebut mungkin tidak mampu menyelesaikan masalah buli siber secara total, tetapi menyifatkan ia sebagai satu permulaan positif dan budaya sihat yang mahu dipupuk dalam kalangan pengguna media sosial terutama di Malaysia.

“Sepatutnya media sosial menjadi platform untuk melontarkan pelbagai pandangan yang membina. Walaupun sebagai selebriti saya sudah biasa dengan situasi ini (menerima kecaman dan dibuli dalam laman sosial), namun saya kasihankan ahli keluarga yang turut menjadi mangsa,” ujar Neelofa sewaktu melancarkan kempen tersebut baru-baru ini.

Ironi, satu hal yang selalu membuatkan selebriti lupa adalah setiap perlakuan yang mereka tayangkan dalam media sosial kadangkala menjadi asbab kepada gejala buli siber. Mereka sendiri seperti memancing respons dalam kalangan pengguna media sosial yang bersembunyi di sebalik sebuah papan kekunci.

Antara artis yang dilihat telah mengundang kecaman tanpa sedar ialah Iqram Dinzly yang menggunakan nama 
@bawaabata.merebucks dalam Instagram yang memiliki sebanyak 22,600 pengikut itu. Dia dianggap kurang waras, telah sesat dan sengaja mencetus sensasi dan berbalas komen dengan pengguna laman sosial yang lain sehingga menerima sepucuk surat terbuka daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri kerana ‘masalah mentalnya’. Hanya Iqram yang tahu tujuan dia berbuat demikian.

Biar secara kasar kelihatan seperti dirinya mangsa kecaman, namun pelakon itu tidak pernah berhenti mempertahankan diri serta tindakannya. Sekali pandang, baik pengguna laman sosial mahupun Iqram, kedua-duanya masuk dalam kategori dibuli dan pembuli siber.

Terkini, akibat keterlanjuran dan keangkuhan dalam memberi buah pandangan, akhirnya seorang penata gaya senior, Zaihani menjadi mangsa buli siber kerana ungkapan: “Kalau berat badan melebihi 60kg, tak payahlah datang, sebabnya paha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak!” Ungkapan itu ditulis dalam Facebooknya baru-baru ini.

Status itu menjadi tular. Semua pengguna media sosial yang menggunakan bendera kebebasan hak bersuara menyelar warga emas itu sebagai tidak sedar diri, tidak berhemah dan boleh pergi mati. Terkesan dengan respons yang diperoleh barangkali, Zaihani kemudian membuat permohonan maaf terbuka.

Begitulah kesan terhadap sepotong status atau sekeping gambar yang boleh memusnahkan kehidupan sendiri jika melakukan satu tindakan tanpa berfikir sedikit dan meletak takat sabar lebih rendah daripada amarah.

Jadi sebenarnya, pemangsa dan pembuli siber sedang berada dalam satu kitaran yang sama.