PRU-14 telah membolehkan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia.

Kemenangan PH ini adalah satu bentuk ‘amanah dan harapan’ yang diberikan oleh pengundi sama ada di bawah umur 40 dan 40 tahun ke atas yang dahagakan pembaharuan dalam pembangunan negara serta menolak kepimpinan BN.

PRU-14 juga menyaksikan beberapa negeri yang selama ini menjadi kubu kuat BN seperti Johor, Perak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu jatuh ke tangan pembangkang.

Kemampuan PH (dahulunya Pakatan Rakyat) mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan menjadi kayu ukur dan mempengaruhi pengundi untuk memberikan laluan kepada PH bagi mentadbir negeri lain seterusnya persekutuan.

Kemenangan PH di beberapa negeri menjadi fokus di mata rakyat khususnya pengundi yang memberikan ‘harapan’ membawa perubahan sama ada negeri ataupun persekutuan.

Antara negeri yang menarik adalah Perak setelah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PH adalah 29 manakala BN (27) dan Pas (3) kerusi.

Ini menunjukkan, perbezaan sebanyak dua kerusi memberikan gambaran mengenai persaingan yang besar antara BN dan PH.

Ia akan menjadi cabaran yang besar kepada kerajaan negeri pimpinan Ahmad Faizal Azumu yang merupakan ADUN Chenderiang, yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 12 Mei 2018.

Beliau diberi tanggungjawab untuk membawa perubahan dan memenangi hati rakyat Perak serta Malaysia secara umumnya dengan menampilkan ‘sesuatu perubahan’ yang dapat menjadi lambang atau ikon pemerintahan PH Perak.

Kerajaan PH Perak perlu menampilkan satu bentuk rangka pembangunan yang merangkumi aspek ekonomi, politik dan sosial masyarakat di samping menerapkan nilai-nilai baharu kepimpinan PH bagi Perak.

Aspek ini penting kerana pembangunan BN ketika era BN menunjukkan penerimaan masyarakat berdasarkan kemampuan BN memenangi kerusi DUN yang ‘hampir sama’ dengan PH walaupun ketika berlakunya ‘Tsunami Melayu’ pada PRU-14.

Pembangunan makro

Justeru, apakah aspek yang perlu diberikan perhatian bagi menambah baik, memperkembangkan pembangunan dan membawa perubahan kepada Perak?

Perancangan pembangunan Perak perlu mengambil kira semua aspek secara mikro terhadap keperluan semasa rakyat dan bukannya secara holistik.

Ini bermaksud, masyarakat di kawasan luar bandar perlu menjadi fokus kerajaan PH bagi membolehkan kesan positif pemerintahan PH dapat dirasai sehingga ke peringkat bawahan dan di kawasan pedalaman.

Ini kerana masyarakat di kawasan luar bandar adalah masyarakat yang sangat memerlukan ‘keprihatinan dan sentuhan’ kerajaan dalam kehidupan mereka.

Bagi membolehkan kerajaan memastikan masyarakat luar bandar ini dapat merasai pembaharuan kerajaan PH, pembangunan dapat menjadikan Satellite Concept dilaksanakan. Ia bukan sahaja dalam pembangunan fizikal tetapi juga bukan fizikal.

Konsep pembangunan satelit ini dapat menjadikan pusat sebagai asas aliran pembangunan kepada peningkatan bandar baharu atau pekan kecil baharu dan kampung yang secara langsung mencipta sistem rangkaian ekonomi, politik serta sosial.

Kejayaan China membangunkan strategi pembangunan wilayah iaitu dengan memajukan Wilayah Barat telah membolehkan pengaliran kemajuan serta kemakmuran ke wilayah Timur.

Kaedah ini adalah berkesan berdasarkan pembangunan pesat di Wilayah Barat sejak tahun 1970-an telah membolehkan China mencipta kemajuan di wilayah-wilayah luar bandar lain dengan pesat dan pantas sehingga ke hari ini.

Model ini dapat dijadikan sebagai asas dalam pembangunan pesat kepada negara dan negeri.

Pembangunan Satelit ini juga dapat membabitkan semua aspek termasuk dalam aspek ekonomi, politik dan sosial masyarakat dengan membahagikan membangunkan mengikut level iaitu level pertama peringkat negeri dengan membentuk zon di lima zon strategik Utara, Timur, Barat, Tengah dan Selatan yang dapat mencipta bandar-bandar satelit lain sehingga ke pedalaman.

Dalam konteks ini, zon Tengah menjadi pusat strategik kepada pengaliran pembangunan ekonomi, politik dan sosial ke empat zon strategik lain yang secara langsung membentuk satelit pembangunan.

Bagi level kedua adalah di peringkat zon yang mana setiap zon menjadi pusat strategik pembangunan kepada bandar-bandar di dalam zon tersebut.

Di peringkat bandar pula, ia perlu menjadikan mana-mana bandar yang strategik sebagai pusat kepada pembangunan pekan.

Jaringan

Selain itu, level pekan pula ialah membentuk pekan yang strategik atau besar menjadi pusat pembangunan kepada pekan kecil dan kampung.

Ia adalah proses yang menggembleng sumber dan aset strategik yang sedia ada secara maksimum seperti sumber dan aset perindustrian, galian, perkhidmatan, pelancongan, perdagangan, pendidikan, teknologi, sejarah, pertanian dan sebagainya di sesuatu zon, bandar, pekan dan kampung yang mampu membawa kepada pembangunan yang seimbang.

Pembangunan ini membolehkan proses pembangunan ekonomi, politik dan sosial diberi perhatian oleh kerajaan secara komprehensif.

Ia adalah perancangan pembangunan yang bersifat spider web yang memberi ruang dan jaringan perhubungan serta pembangunan yang dapat membantu masyarakat dan kerajaan untuk saling berhubungan serta menerima pengaliran pembangunan yang seimbang.

Kaedah ini adalah lebih memberi keberkesanan berbanding memberikan penumpuan kepada sesuatu kawasan sahaja.