Memang dari segi luarannya, Jamal, 48, tidak menampilkan beliau seorang yang ahli politik yang petah berucap.

Namun beliau mampu muncul sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar yang baharu ketika itu. Sebelum itu, beliau lebih dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Jamal memilih pendekatan politik yang berbeza iaitu mengkritik kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (sebelum ini Pakatan Rakyat) dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh rakan-rakannya sebelum ini selama dua penggal Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang.

Namanya menjadi tumpuan apabila bertindak sebagai ketua kumpulan Baju Merah yang menentang perhimpunan Bersih 5 pada November 2016.

Padanya, perhimpunan tersebut hanya merugikan para peniaga terutamanya di kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang selalu menjadi tumpuan demonstrasi parti pembangkang ketika itu.

Apa yang sukar dilupakan ialah bagaimana Jamal muncul dalam keadaan bertuala dan menyelit berus gigi pada celah cuping telinganya di hadapan pintu utama pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor pada 21 Disember 2016.

Katanya, dia mahu menumpang mandi kerana rumahnya tiada air. Ketika itu berlaku masalah bekalan air di Selangor.

Dalam insiden kedua pula, Jamal memberikan reaksi terhadap penganjuran The Better Beer Festival 2017 yang ketika itu dirancang diadakan di Publika, Mont Kiara, Kuala Lumpur di Oktober 2017.

Ekoran bantahan pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan ulama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah membatalkan penganjuran pesta tersebut.

Di Selangor, Jamal telah bertindak membawa 10 kotak berisi botol arak ke pintu utama SUK Negeri Selangor pada 5 Oktober 2017 untuk membuat bantahan terhadap penganjuran pesta arak tersebut di Klang. Sebagai bantahan, Jamal telah bertindak memecahkan botol arak tersebut menggunakan tukul besi besar.

Namun ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Jamal menggunakan pendekatan berbentuk kebajikan apabila menyediakan makanan percuma kepada orang ramai di sebuah restoran di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Beliau juga menganjurkan program jualan ikan semurah RM5 sekilogram di Sekinchan, Sabak Bernam setiap hujung minggu.

Namun nasib Jamal berubah apabila 23 Mei lalu gambar beliau dituduh melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak dengan menggunakan penukul besi pada Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana Jamal mendapatkan rawatan berikutan dia mengalami sakit belakang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.

Hilangkan diri

Bagaimanapun, Jamal menghilangkan diri daripada Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang pada 25 Mei lalu hingga menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Pada mulanya, misteri kehilangan Jamal dikatakan hanya disebabkan salah faham.

Peguamnya, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, anak guamnya itu mungkin beranggapan bahawa proses ikat jamin telah sempurna dan membuat keputusan keluar dari hospital tersebut.

Sepanjang kehilangannya, Jamal bagaikan mencabar pihak berkuasa apabila sempat memuat naik video beliau dalam sebuah kebun kelapa sawit yang dikatakan di sebuah negara jiran.

Namun Jamal mengaku beliau masih di Malaysia dan tidak berada di luar negara seperti yang didakwa.

Beliau mendakwa, tindakan kerajaan meminta campur tangan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesannya bagi kes kesalahan kecil yang membawa denda RM400 hanya membuang masa.

Ketika pemilihan UMNO pada 30 Jun lalu, Jamal turut menghantar rakaman ucapannya kepada perwakilan.

Lebih menghairankan dalam keadaan diburu pihak polis, Jamal masih berjaya memenangi pemilihan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

Jika dikira jalan tikus paling mudah untuk ke sana, Jamal mungkin memilih laluan dari Rungkup, Bagan Datuk, Perak yang berdekatan dengan Sabak Bernam.

Dari situ, mana-mana individu boleh melepasi hingga ke Medan, Sumatera. Dalam tempoh sebulan, rupa-rupanya Jamal berjaya menjejakkan kakinya hingga ke Jakarta.

Tangkap

Pelarian Jamal itu akhirnya tamat apabila beliau berjaya ditahan Polis Republik Indonesia pada pukul 6.15 petang, 2 Julai lalu.

Sebuah portal berita Indonesia, Detik.com, melaporkan Jamal ditangkap di Tebet, Jakarta Selatan dan ia disahkan Setia­usaha Biro Pusat Nasional Interpol (NCB), Napoleon Bonaparte.

Di Malaysia, penangkapan Jamal diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan.

Mengikut laporan, Jamal dikatakan ditahan polis ketika dia sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Tebet.

Sebelum itu, dia dikatakan telah bersembunyi di beberapa lokasi iaitu Medan sebelum menukar lokasi ke Jakarta Selatan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pada 6 Julai lalu, Jamal berjaya dibawa pulang dengan menaiki Penerbangan Malaysia MH710 dari Jakarta ke Kuala Lumpur dan terus dibawa ke Mahkamah Majisret Ampang untuk menjalani pendakwaan.

Beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan lari daripada tahanan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak membenarkan Jamal dijamin sekali gus menyebabkan beliau terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh sehingga tarikh sebutan semula kes pada 30 Julai ini.

Malah Jamal dijangka berhadapan lebih enam pertuduhan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah.

Menurut Mohd. Imran, Jamal turut disiasat di bawah Seksyen 34 Akta Senjata Api dan Akta Imigresen serta Akta Pasport.

Mohd. Imran berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Jamal bakal berdepan dengan kes berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.