Menurut Laporan Menghantar Pulang Wang: Menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terbitan Dana Antarabangsa untuk Pembangunan Pertanian (IFAD), terdapat kira-kira 200 juta migran dari negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan yang menghantar wang kepada keluarga mereka di tanah air masing-masing.

“Aliran penghantaran wang telah berkembang sejak sedekad lalu pada kadar purata 4.2 peratus setahun, daripada AS$296 bilion pada tahun 2008 kepada AS$445 bilion pada 2016.

“Pertumbuhan ini berterusan sungguhpun terdapat halangan ekonomi, pertama disebabkan oleh krisis kewangan 2008 dan terkini, pengurangan perolehan kepada negara-negara pengeluar minyak serta turun naik kadar mata wang.

“Pekerja asing dan keluarga mereka telah menunjukkan ketahanan yang tinggi dan bijak mencari sumber dalam menyesuaikan diri ekoran cabaran ekonomi ini dalam usaha mengekalkan aras sokongan kepada keluarga mereka,” katanya.

Penasihat Teknikal Kanan dan Pengurus Kemudahan Kewangan bagi Penghantaran Wang IFAD, Pedro De Vasconcelos berkata, dianggarkan 800 juta orang di seluruh dunia menerima sokongan langsung daripada aktiviti penghantaran wang.

“Jika melibatkan kedua-dua pengirim dan penerima, 1 bilion individu atau 1:7 penduduk dunia yang terlibat secara langsung.

“Penghantaran wang kebiasaannya mewakili 60 peratus daripada pendapatan isi rumah atau antara AS$200 (RM796) hingga ke AS$300 (RM1,194) yang dihantar pulang setiap orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Forum Global terhadap Penghantaran Wang, Pelaburan dan Pembangunan 2018: Asia Pasifik di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) dekat Kuala Lumpur baru-baru ini.

De Vasconcelos menegaskan, dana yang diterima memberi sokongan signifikan kepada keluarga terbabit termasuk mengurangkan kadar kemiskinan, pengambilan makanan yang lebih sihat, penjagaan kesihatan yang lebih baik, menyediakan peluang pendidikan, keusahawanan, rangkuman kewangan, penjagaan kebersihan serta mengurangkan ketidaksamarataan.

Menurut portal yang menyediakan data, analisis dan profil pasaran penghantaran wang, RemitScope, dari aspek penghantaran dana, Malaysia berada di tangga keempat di seluruh dunia.

Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun lalu, sejumlah RM32.9 bilion telah dikirim ke luar negara, sebahagian besar ke Indonesia, Bangladesh dan Nepal.

Nilai tersebut adalah lebih rendah berbanding RM34.2 bilion yang dikirim pada tahun 2016.

Memetik data Kementerian Dalam Negeri, Pengarah Pengawalan dan Perkhidmatan Perniagaan Wang BNM, Nik Mohamed Nik Musa berkata, Malaysia menempatkan kira-kira 1.8 juta pekerja asing pada masa ini dan pihaknya menjangkakan nilai kiriman dana ke luar negara akan meningkat sekitar satu digit pada tahun ini.

Tambahnya, kadar kos penghantaran yang lebih rendah akan memberikan penjimatan kepada pekerja asing berkenaan, sekali gus lebih banyak tunai di tangan mereka.

Menurut statistik BNM, daripada 2,679 pihak yang terdiri daripada ibu pejabat, cawangan dan ejen perniagaan perkhidmatan kewangan berlesen yang menawarkan khidmat penghantaran wang, 17 daripadanya menyediakan khidmat menerusi saluran elektronik mudah alih atau laman web (e-penghantaran wang).

“Adalah penting bagi pekerja-pekerja asing ini menggunakan saluran formal kerana adalah lebih selamat untuk menghantar wang dan bagi mengelakkan ketirisan,” katanya.

Menurut portal yang menyediakan data, analisis dan profil pasaran penghantaran wang, RemitScope, dari aspek penghantaran dana, Malaysia berada di tangga keempat di seluruh dunia