Setelah pemilihan itu ditangguhkan, jangkaan ahli-ahli parti ialah Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak merancang untuk mengadakan PRU itu pada bila-bila masa pada penghujung 2017 atau paling lewat awal 2018. Selepas PRU selesai, barulah pemilihan parti berlangsung.

Tetapi menyedari bahawa Najib tidak mendapat ilham bilakah PRU hendak diadakan setelah tiba penghujung 2017, UMNO di belakang tabir mengambil langkah proaktif untuk memohon Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau ROS membenarkan parti itu menangguhkan pemilihan parti sehingga kepada 29 April 2019. 

ROS, yang berada di bawah kawalan Kementerian Dalam Negeri, tiada masalah untuk memberi kebenaran itu dalam sepucuk surat bertarikh 31 Oktober 2017, tetapi pucuk pimpinan UMNO merahsiakannya daripada diketahui oleh ahli-ahli parti. Pada waktu itu, layanan ROS kepada UMNO tidak sama dengan layanan yang diberikan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berdepan dengan pelbagai masalah dalaman.

Penjelasan
Kebenaran istimewa ROS untuk menangguhkan pemilihan UMNO kepada awal 2019 itu hanya diketahui umum pada pertengahan April 2018 apabila 16 orang ahli UMNO meminta pihak mahkamah membuat semakan mengenai status UMNO apakah ia sebuah pertubuhan yang masih sah berdaftar atau terbatal pendaftarannya memandangkan ia telah tidak mengadakan pemilihan parti dalam tempoh 18 bulan selepas ia ditangguhkan pada penghujung 2017 dan kali terakhir ia mengadakan pemilihan adalah pada 2013.

Untuk menenangkan keadaan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tampil menjelaskan bahawa parti itu kekal sebuah pertubuhan yang sah kerana ROS telah mengizinkan UMNO untuk mengadakan pemilihan parti paling lewat pada 19 April 2019 iaitu lama selepas PRU selesai. Andaiannya di sini ialah Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO akan memenangi PRU ke-14 dan pemilihan parti, bermula dengan cawangan, bahagian dan seterusnya Majlis Tertinggi akan diadakan dengan penuh bergaya selepas kemenangan itu.

Tetapi malangnya BN kalah. Najib terpaksa melepaskan jawatan dan pemilihan UMNO pula terpaksa disegerakan. Tidak sampai dua minggu, selepas UMNO tewas dalam PRU ke-14, pemangku presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa semua jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO termasuk presiden terbuka untuk pertandingan. Mereka yang berminat bagi mengisi kekosongan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 kerusi Majlis Tertinggi boleh menghantar pencalonan masing-masing pada atau sebelum 30 Jun 2018. 

Pusingan pertama pemilihan pelbagai jawatan pada peringkat tertinggi akan dilakukan pada peringkat bahagian. Seperti yang ditetapkan oleh Fasal 9 Perlembagaan UMNO, kalangan yang ingin bertanding presiden, mestilah mendapat 30 peratus pencalonan bahagian; Timbalan Presiden 20 peratus, Naib Presiden 10 peratus dan ahli Majlis Tertinggi 5 peratus. Sekiranya mereka gagal mendapat sokongan berdasarkan peratusan yang ditetapkan daripada bahagian-bahagian parti, mereka tidak layak untuk bertanding. 

Bagi jawatan presiden, setakat ini hanya Zahid Hamidi yang mengesahkan akan bertanding. Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, masih berteka-teki. Barangkali pengalaman beliau yang pernah tewas kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada pemilihan Presiden UMNO pada 1987, dan gagal mendapat sokongan bahagian-bahagian UMNO untuk mencabar Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada pemilihan presiden UMNO pada 2004, masih segar dalam ingatannya.

Tambahan pula, Tengku Razaleigh sudah berusia lebih 80 tahun. Apakah faktor usia akan menjadi hambatan untuk beliau memimpin UMNO yang sudah dianggap rosak dari segi imej dan wibawa selepas kalah pada PRU ke-14? Dan beliau tidak mahu dituduh menjadi “tikus” memperbaiki labu sekiranya gagal membina semula UMNO terutamanya untuk memenangi PRU ke-15 nanti?

Justeru, sebelum beliau benar-benar terjun ke gelanggang politik era Malaysia baharu, Tengku Razaleigh atau malah siapa sahaja yang ingin menawarkan diri bagi kerusi nombor satu dalam UMNO itu, perlu memikirkan semasa-masaknya sebelum mengumumkan keputusan muktamad. 

Tidak seperti Tengku Razaleigh, Dr. Ahmad Zahid Hamidi lebih mudah menawarkan diri kerana selaku Naib Presiden, beliau kini menjalankan tugas-tugas presiden berikutan pengunduran Najib. Mengikut urutan kekananan parti, beliau layak untuk memimpin UMNO. Pengalaman luas beliau dalam politik dan kerajaan berupaya membantu beliau untuk menjadi pemimpin UMNO yang berkesan. 

Sekiranya beliau disokong oleh satu pasukan yang kuat dalam barisan MT, tidak mustahil untuk UMNO dan BN di bawah kepimpinan Zahid merampas semula kuasa yang hilang tersebut. Tetapi Zahid kenalah menerima hakikat bahawa tugas itu adalah berat dan ia perlu dilakukan dalam iklim politik yang sudah berubah 360 darjah, berbanding sebelum ini.

Mengadu
Tetapi dalam keghairahan berebut jawatan dalam UMNO, ahli-ahli parti hendaklah memastikan bahawa pertandingan yang bakal berlangsung diadakan mengikut peraturan seratus peratus. Pastikan tidak berlaku apa yang dalam bahasa Inggeris istilahkan sebagai hanky-panky. 

Hal ini penting kerana pemilihan UMNO bukan sahaja urusan dalaman ahli-ahli parti, tetapi akan diperhatikan oleh pihak ROS. Sekiranya selepas pemilihan selesai, ada individu dalam UMNO mengadu kepada ROS bahawa terdapat pelanggaran peraturan, maka ROS akan melakukan siasatan dan sekiranya benar terdapat perkara yang tidak betul, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap UMNO sama seperti ROS pernah bertindak terhadap aduan yang dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sehingga ia dibubarkan buat sementara menjelang PRU yang lalu.

UMNO kena ingat ia bukan lagi parti yang berkuasa yang boleh mengharapkan layanan istimewa ROS. UMNO juga kena ingat trojan horse ada di mana-mana termasuk dalam parti tersebut. Justeru, sewaktu pemilihan, elakkan tindakan-tindakan durjana di luar dugaan yang boleh mengakibatkan UMNO dibatalkan pendaftarannya seperti yang ia pernah alami pada Februari 1988.