Pelbagai dakwaan yang tidak benar atau separuh benar muncul di ruang siber hingga memicu sentimen keagamaan dan perkauman.

Perkara ini membawa risiko perpecahan dalam kalangan masyarakat. Sebenarnya perkembangan ini tidak membawa nafas pembaharuan politik dan sosial untuk Malaysia yang bersifat multi budaya, etnik dan agama.

Misalnya, tercetus isu bahasa apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan akhbar dalam bahasa Mandarin.

Kemudian timbul pula persoalan pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas yang dikecam hebat kerana memohon menggunakan bahasa Inggeris ketika prosiding kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah baru-baru ini.

Pelantikan Tommy Thomas yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V turut dipertikai atas alasan beliau bukan Islam.

Terbaharu pelantikan Tan Sri Richard Malanjum, 65, sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu telah menjadi modal bagi kelompok tertentu hingga mencetuskan kebimbangan bahawa Islam sedang dicabar.

Sentimen

Malah keputusan kerajaan Pakatan Harapan menarik balik anggota tentera dari Arab Saudi yang terlibat dalam operasi serangan ke atas Yemen turut diheret kepada isu sentimen mazhab.

Susulan keputusan tersebut, tersebar pelbagai tuduhan terhadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. Ada portal berita menyebarkan dakwaan Arab Saudi bertindak balas dengan mengurangkan jumlah kuota jemaah haji.

Perubahan polisi berkaitan penglibatan Malaysia dalam konflik di negara Asia Barat itu dianggap melemahkan pengaruh Islam sunni lantaran Arab Saudi dianggap sebagai negara pelindung dua Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Dalam hal ini, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, umat Islam tidak sewajarnya berfikir dalam konteks yang sempit tanpa membuat analisis menyeluruh hingga mereka terperangkap dalam sentimen keagamaan, kemazhaban dan perkauman.

“Malaysia sepatutnya hanya terlibat dalam misi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita perlu bertindak sebagai pengaman dan bukannya bersama dengan pihak yang membuat keputusan dalam sesuatu konflik,” katanya.

Mohd. Roslan yang juga Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, umat Islam sepatutnya tidak mudah dicucuk oleh pihak musuh yang sentiasa cuba menggunakan isu mazhab untuk memecahbelahkan masyarakat Islam.

Begitu juga dalam isu pelantikan Ketua Hakim Negara. Rakyat seharusnya menerima keputusan yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Persoalan kaum jangan dijadikan isu sebaliknya tekankan soal kelayakan seseorang itu untuk memegang sesuatu jawatan,” jelas Mohd. Roslan.

Jika dikatakan Islam terancam dengan pelantikan Ketua Hakim Negara yang bukan Islam, rakyat perlu bertindak sebagai pihak yang membuat check and balance dan teguran.

Perubahan

“Sehingga kini kedudukan Islam, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu tidak tergugat. Asas-asas Perlembagaan Persekutuan masih kekal,” tegasnya.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Teras Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Abd. Hakim Mohad pula berpendapat, orang Melayu sudah terbiasa dengan kedudukan eksklusif dan dominasi mereka terutamanya dalam politik.

“Sedangkan dalam keadaan demokrasi sekarang, suasana itu sudah berubah,” katanya.

Abd. Hakim berkata, dalam tempoh lima tahun ini, kerajaan baharu Pakatan Harapan mempunyai peluang membuat perubahan untuk lari daripada sentimen agama dan kaum.

“Jika ia gagal dilakukan, politik agama dan kaum bakal terus digunakan sebagai alat menarik sokongan yang berkesan,” katanya.

Jelas beliau, usaha yang dilakukan untuk membentuk masyarakat sivil mengambil masa yang lama. Ia tidak boleh dicapai dalam masa sekelip mata.

Abd. Hakim berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa yang membawa falsafah inklusif khususnya dalam pentadbiran Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh memastikan konsep tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Berbanding Pas yang mempunyai dimensi yang berbeza dan menekankan soal eksklusif, Mujahid daripada Parti Amanah Negara membawa pendekatan membuka ruang dialog serta meraikan perbezaan mazhab.

Namun kenyataan Mujahid yang mahu menyediakan ruang seperti dialog Sunni-Syiah dibidas segelintir pihak yang masih gagal melihat keperluan konsep inklusif tersebut.

Malah sejauh mana pendirian Mujahid yang menjelaskan pentadbiran Islam tidak sunyi daripada kelemahan dan kesalahan sehingga membolehkan khalayak ramai membuat kritikan dapat diterima? “Falsafah inklusif menjadi cabaran bagi jentera kerajaan baharu. Jentera dan sistem yang sudah reput tidak wajar dibiarkan. Agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sewajarnya dapat mengikuti falsafah inklusif dalam usaha memartabatkan Islam selain perlu dipastikan tiada duri dalam daging yang boleh melambatkan proses pelaksanaan konsep berkenaan,” kata Abd. Hakim.

Kegagalan melakukan perubahan ke arah lebih inklusif dan dapat difahami dengan jelas oleh rakyat bakal memerangkap masyarakat Malaysia dalam sentimen agama dan kaum pada pilihan raya umum akan datang.