Lokasi ini sangat strategik kerana ia terletak di tengah bandar Kuala Terengganu dan di tebing Sungai Terengganu sekali gus menjadikan Pasar Payang ini sentiasa sibuk dan meriah sejak dahulu hingga kini.

Nama Pasar Payang ini diambil sempena nama perahu payang yang sering digunakan oleh nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri Batu Bersurat itu.

Mengikut rekod, tapak asal Pasar Payang ini terletak di Kampung Tanjung sebelum berpindah ke lokasi sekarang pada tahun 1968.

Bangunan Pasar Payang ini terdiri daripada dua tingkat dan menempatkan lebih 1000 orang peniaga. Kepelbagaian produk dan barangan warisan jati negeri ini dijual dengan mengekalkan budaya Terengganu.

Antara barangan yang dijual adalah batik dan songket buatan tangan. Kepelbagaian barangan seni tembaga dan aksesori juga terdapat di sini.

Terdapat dua tingkat yang meletakkan aras atas menjual produk tembaga, kain songket, baju dan kain batik.

Di aras bawah pula terdapat gerai menjual barangan basah, barangan runcit dan pelbagai kuih-muih tradisional.

Kehadiran pelancong sentiasa menjadikan Pasar Payang ini sebagai destinasi yang wajib dikunjungi kerana di pasar ini masih lagi mengekalkan suasana tradisional dan harga yang berpatutan.

Waktu operasi pasar ini bermula seawal pukul 7 pagi hingga 6 petang.