Setakat ini, tidak ada mekanisme yang kukuh tentang garis panduan penghasilan program realiti yang disifatkan sebagai satu eskapism terhadap sinetron atau program sedia ada.

Walaupun Amerika Syarikat yang mempunyai prototaip program realiti pada tahun 1948 menerusi program Allen Funt’s Candid Camera dengan memaparkan gelagat atau rakaman secara tertutup, mereka ternyata kalah teruk dengan idea milik pelaku seni atau industri pembuatan program realiti dari beberapa negara Asia.

Mengambil kesempatan terhadap keghairahan penonton yang dahagakan sebuah ‘kilang kejutan’ sejak ia menjadi fenomena sekitar tahun 2000, industri penghasilan program realiti di Jepun, Korea Selatan, Thailand dan China melangkau lebih gila sehingga membelakangkan norma kehidupan.

Sebuah program realiti Thailand yang sudah tiga musim ditayangkan (sehingga 2017), ternyata telah meninggalkan impak yang cukup besar bukan sekadar kepada penonton, tetapi bagi setiap peserta yang terpilih.

Ekstrem

Program realiti ekstrem itu dinamakan sebagai Let Me In Thailand. Ia bukanlah program asal milik mereka, tetapi merupakan francais daripada program realiti dari Korea Selatan iaitu Let Me In Korean yang terlebih dahulu menjadi kegilaan sekitar tahun 2013.

Pihak produksi telah memilih individu dengan rupa paras yang buruk atau hodoh untuk ditransformasi dengan pembedahan plastik demi mencipta wajah baharu yang lebih molek.

Pasca program tersebut ditayangkan, ia memberi keuntungan buat kedua-dua belah pihak.

Peserta yang terpilih seperti memperoleh kehidupan baharu atau peluang kedua untuk berhadapan dengan masyarakat menerusi ‘pengubahsuaian’ atau ‘penambahbaikan’ yang jika tidak kerana program realiti seperti ini wujud, barangkali mereka akan kekal dengan fizikal pemberian Ilahi.

Bagi stesen tv pula, selain keuntungan tentulah rating yang mencanak naik menjadi tanda aras kejayaan program realiti ekstrem tersebut.

Lebih parah, baru bulan lalu negara Gajah Putih itu sekali lagi bertindak berani apabila tampil dengan sebuah program berjudul Drag Race Thailand yang diadaptasi daripada program sama terbitan AS, RuPaul’s Drag Race. Program realiti itu memaparkan kehidupan dan pertandingan di antara para maknyah.

Menurut penerbit eksekutifnya, Piyarat Kaljareuk, mereka menyahut saranan kerajaan yang menyokong semua orientasi seks termasuk gejala LGBT.

China pula secara eksplisit mempunyai sebuah program realiti pertama mengenai golongan homoseksual iaitu GayLab Show pada tahun 2015 dengan alasan masyarakat patut tahu dan melayan baik komuniti ini.

Di Indonesia, di sebalik lambakan program realiti yang menjurus kepada hiburan komersial, mereka menyelitkan beberapa program realiti yang bersifat kemasyarakatan.

Program realiti tersebut termasuklah Uang Kaget yang menyaksikan pihak penerbit mencari golongan miskin tegar, memberi mereka sebanyak Rp12 juta (RM3,400), mengikat mereka dengan waktu dan individu yang terpilih boleh membeli apa yang dimahukan (ada yang membeli ikan dan beras).

Bagaimanapun, produksi penerbitan Jepun boleh dikatakan selalu memiliki nilai kreatif yang lebih melampau. Selain menghasilkan banyak program realiti bersifat ‘penderaan’, sejak tahun 2012 mereka berjaya menghasilkan sebuah program realiti yang realistik.

Disiarkan menerusi Fuji TV judul asal Boys × Girls Next Door, namun ia mendapat perhatian yang lebih meluas selepas ditayangkan secara online di Netflix.

Diberi judul Terrace House, pihak produksi memilih tiga lelaki dan tiga perempuan muda tinggal di dalam sebuah rumah dan memberi kenderaan buat mereka di Tokyo.

Dan, itu sahaja modal program realiti tersebut. Ia sama sekali tidak mempunyai skrip, jalan cerita atau elemen kejutan yang sengaja dibikin oleh pihak produksi.

Realiti

Ada yang menyifatkan Terrace House sebagai sebuah program realiti yang mendatar dan bosan.

Namun, banyak penonton mengatakan inilah sebuah program realiti yang sebenar kerana tidak merancang apa yang perlu berlaku dalam kehidupan.

Sekadar menyebut beberapa nama program realiti hiburan di Malaysia bercampur di antara ciptaan sendiri dan adaptasi seperti yang begitu fenomena juga adalah jenama seperti Akademi Fantasia, Gegar Vaganza, Mentor dan One In a Million. Ia kemudian berkembang kepada beberapa program yang lebih Islamik seperti Akademi al-Quran, Imam Muda dan Akademi Nasyid. Juga, tidak dilupa beberapa program realiti seperti Soccastar Malaysia, Explorace atau Fear Factor Malaysia.

Satu-satunya program bersifat kemasyarakatan yang cukup popular di Malaysia adalah Bersamamu. Selebihnya, banyak yang menjurus kepada hiburan komersial dan tidak juga terlalu ekstrem.

Bercakap tentang paradoks program realiti negara yang kurang pelbagai, tidak ekstrem apa lagi keluar daripada batasan norma seperti di negara lain, Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Harris menjelaskan, sebagai negara yang agama Islam merupakan agama rasmi, persempadanan terhadap sesebuah program realiti perlu dipatuhi.

Ia merangkumi soal tata tertib, sensitiviti terhadap agama dan kepelbagaian kaum serta budaya serumpun yang tidak boleh dipermainkan.

Dengan terbuka, dia juga mengaku kurang setuju terhadap pembikinan sebuah program realiti yang hanya bersifat hiburan komersial dan mengejar rating yang tinggi.

“Sesebuah program hiburan perlu seimbang. Ia perlu memastikan tepat sasaran rating dan dalam masa sama, mesej yang memberi implikasi baik perlu selari.

“Hal ini kerana sama ada program realiti yang dicipta menjurus kepada aspek rohani atau hiburan, intinya, pihak penerbit memancing empati atau emosi individu yang dipaparkan. Ia adalah kitaran yang sama, tetapi bagaimana kita menyeimbangkan di antara rating serta mesej,” ujarnya yang merupakan antara tenaga produksi pertama menghasilkan AF yang diadaptasi daripada program realiti dari Mexico lebih 10 tahun lalu.

Malah, katanya lagi, penghasilan begitu banyak program bersifat realiti kini tidak hanya dapat ditonton menerusi kaca tv, sebaliknya perlumbaan mendapatkan penonton telah pecah kepada media sosial dan platform lain yang sealiran dengannya. Hal itu berkait rapat dengan kelangsungan program realiti yang dilihat mempunyai potensi untuk terus digemari.

“Trend program realiti akan berterusan untuk satu jangka waktu yang agak panjang atau sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun mendatang,” katanya yang berhasrat menerbitkan sebuah program realiti berpaksikan perdebatan sekali gus mencari pemimpin dalam kalangan generasi muda pada masa hadapan.