Ubat tersebut berfungsi dalam memperlahan atau menghentikan pertumbuhan kanser. 
Bagaimanapun pesakit kanser perlu mempertimbangkan dengan cermat sebelum mereka bersetuju untuk menjalani kemoterapi.
Selain bertindak terhadap sel-sel ganas yang menyebabkan kanser, ubat-ubatan tersebut juga boleh membahayakan sel-sel sihat dalam tubuh pesakit berkenaan.
Menurut Persatuan Kanser Amerika, kemoterapi antaranya boleh merosakkan ovum atau telur wanita dan seterusnya akan menjejaskan tahap kesuburannya sehingga menyebabkan sukar hamil.
Ia bergantung kepada umur pesakit, jenis dan dos ubat yang digunakan menjadikannya sukar untuk diramal jika seorang wanita kekal tahap kesuburannya seperti sebelum kemoterapi.
Sehubungan itu, kemajuan dalam bidang sains dan teknologi cuba mengatasi masalah tersebut dengan mencipta ovari buatan.
Penyelidik dari Rigshospitalet di Copenhagen, Denmark telah melakukan kajian  saintifik dengan mengambil tisu ovari daripada pesakit kanser dan mengeluarkannnya daripada sel.
Ia kemudiannya dipindahkan ke dalam sel tikus. Didapati, ia dapat menyokong kelangsungan hidup dan pertumbuhan sel folikel. 
Sekitar 20 sel folikel dipindahkan dan satu perempat daripadanya hidup selama sekurang-kurangnya tiga minggu. 
“Diharapkan ovari buatan ini dapat ditanam ke dalam sistem reproduktif wanita dan memulihkan kesuburan mereka selepas menjalani rawatan kanser,” ujar penyelidik, Susanne Porr yang membentangkan kertas kerja mengenai hasil kajian tersebut pada mesyuarat tahunan Persatuan Embriologi dan Reproduksi Manusia Eropah (ESGRE) di Barcelona, Argentina pada Julai baru-baru ini.
“Rawatan kanser boleh merosakkan ovari, menghalang pengeluaran ovum dan kehamilan adalah sesuatu yang mustahil.
“Wanita yang didiagnos kanser boleh membekukan ovum mereka. 

Teknologi IVF
“Kadangkala, doktor boleh menawarkan untuk membuang atau membekukan kesemua atau sebahagian ovari selepas rawatan kanser.
“Walau bagaimanapun, ini membawa risiko untuk sel kanser muncul kembali, kerana sesetengah kanser boleh merebak ke ovari. 
“Justeru, ovari buatan boleh mengurangkan risiko tersebut,” jelas pengarah perubatan di London’s Women Clinic, Nick Macklon.
“Ini adalah perkembangan yang menarik tetapi kajian lanjut diperlukan untuk membuktikan kegunaannya pada manusia,” tambahnya. 
Sementara pakar perunding obstetrik dan ginekologi di Hospital Hammersmith, London, Stuart Lavery berkata, jika hasil kajian tersebut benar-benar berkesan, ia menawarkan manfaat yang besar kepada teknologi pembekuan ovum dan persenyawaan in-vitro (IVF).
“Ovari buatan juga boleh membantu wanita daripada mengalami beberapa gejala menopaus. 
“Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk melambatkan permulaan menopaus dalam kalangan wanita berusia,” ujarnya.