Menurut laman web statista, jumlah pengguna Facebook di Malaysia dijangka meningkat kepada 13.57 juta orang tahun depan, bertambah daripada 11.04 juta dalam tahun 2016.

Itu di Malaysia sahaja, di seluruh dunia pula dianggarkan terdapat 2.13 bilion pengguna aktif Facebook sehingga suku keempat 2017 iaitu peningkatan 14 peratus dari tahun ke tahun, demikian menurut laman web Statista.

Laman statistik sama menyatakan bahawa sehingga Disember 2016, bilangan pengguna aktif Facebook mencecah 1.15 bilion.

Saluran berita CNN pula melaporkan terdapat juga 83 juta profil Facebook palsu. Akaun Facebook palsu diwujudkan untuk pelbagai tujuan seperti iklan dan perniagaan (spambot, likebot), penghendap dan politik (troll).

Namun, Facebook hanya satu daripada pelbagai laman jaringan sosial yang digunakan oleh rakyat Malaysia. Penduduk negara ini turut menggunakan rangkaian sosial lain seperti Instagram, Twitter, laman video seperti Bigo di samping aplikasi mesej yang mempunyai fungsi komuniti seperti WhatsApp WeChat, Telegram dan Line.

Perhubungan

Kesemua laman sosial tersebut, walaupun berbeza ciri, cara penggunaan dan penampilan tetap berkongsi prinsip sama iaitu perkongsian.

Sebagai pengguna laman sosial, seseorang itu tidak boleh lari daripada berkongsi pelbagai maklumat termasuk yang tidak sepatutnya.

Pengguna laman sosial seperti Facebook berkongsi berita, maklumat, gambar dan pengalaman, manakala dengan berbuat demikian, pengguna tersebut turut membina perhubungan baharu di samping mengekalkan kenalan sedia ada.

Namun, pakar-pakar beranggapan pengguna berkongsi terlalu banyak maklumat di laman sosial seperti Facebook dan memberi amaran supaya mereka berhati-hati tentang status yang dimuat naik di laman sosial kerana ia mungkin boleh memakan diri melalui cara yang tidak terfikir oleh mereka.

Perkara tersebut berlaku kepada seorang pekerja bank di New York, Kevin Colvin yang dipecat tahun lalu selepas memuat naik gambar dia berseronok di sebuah parti Halloween walaupun sebelum itu, Colvin memberitahu penyelianya bahawa dia tidak dapat hadir bekerja pada ‘hari kejadian’ kerana ‘hal keluarga’.

Satu kajian oleh penyelidik Makmal Kognitif Sosial dan Neurosains Harvard mendapati bahawa minda manusia bertindak balas mengenai pendedahan diri sama seperti ia bertindak balas kepada pencetus kegembiraan seperti makanan, wang ataupun seks.

Dalam erti kata lain, kebanyakan orang gemar berkongsi tentang dirinya dalam laman sosial walaupun ada masanya ia keterlaluan.

Namun, menurut seorang penulis mengenai Facebook, Scott Ayres, terdapat beberapa perkara yang tidak wajar langsung dimuat naik pengguna termasuk alamat dan gambar kediaman, tarikh dan lokasi percutian, maklumat tentang anak, perkara buruk tentang bos, majikan dan pasangan hidup, pendirian atau komen mengenai politik serta kepercayaan agama.

Seorang lagi pengkaji laman sosial, Emily Anthony berkata, antara tanda seseorang itu terlalu kerap memuat naik status di laman sosial adalah apabila dia berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan perhatian ataupun like walaupun status itu tidak mendatangkan manfaat kepada dirinya dan kenalan di Facebook.

Peraturan mudah yang perlu diingat sebelum berkongsi sesuatu dalam laman sosial adalah tidak memuat naik perkara atau gambar yang anda tidak mahu semua orang melihatnya.

Manipulasi data

Satu laporan oleh badan bukan kerajaan, Freedom yang disiarkan dalam laman teknologi Recode pada November 2017 mendapati bukan sahaja Rusia yang menyebarkan maklumat tidak benar di Facebook, Google dan Twitter untuk mencetuskan ketidakstabilan politik dan menutup mulut pengkritiknya di seluruh dunia.

Kajian itu mendapati kerajaan di 30 buah negara termasuk Turki, Venezuela dan Filipina menerbitkan kandungan sendiri secara lambakan untuk memanipulasi landskap digital untuk manfaat mereka.

Di Sudan, contohnya, kerajaannya mempunyai tentera siber yang menyusup masuk ke Facebook, WhatsApp dan perkhidmatan lain dengan tujuan menyebarkan mesej pemimpin mereka.

Kerajaan Venezuela pula kerap menyiarkan rakaman yang dimanipulasi untuk menyebarkan berita palsu dan penipuan tentang pembangkang dalam media sosial.

Kajian oleh Freedom mendapati usaha memanipulasi maklumat online termasuk dalam media sosial oleh kerajaan ataupun elemen lain dipercayai menjejaskan pilihan raya di 18 negara dengan mengurangkan keupayaan rakyat untuk memilih pemimpin berdasarkan berita fakta dan debat sebenar.

Perkara itu turut berlaku di Amerika Syarikat di mana troll upahan Rusia mengapi-apikan konflik melibatkan isu kontroversi seperti undang-undang senjata api, dasar imigran dan hak gay.

Troll merujuk kepada mereka, sama ada diupah atau sebaliknya, yang cenderung mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran dan ejekan serta provokasi dalam media sosial dengan niat atau matlamat tertentu.

Terbaru, Facebook dihimpit kontroversi kerana membenarkan firma Britain, Cambridge Analytica mengumpulkan data 50 juta penggunanya bagi kegunaan kempen pilihan raya Presiden Donald Trump pada 2016.

Contoh mudah tentang perkara ini adalah mengenai ciri like pada Facebook. Sesebuah parti politik boleh mengetahui sokongan seseorang dengan melihat maklumat atau status di Facebook yang mendapat klik like olehnya.

Jika pengguna itu banyak menekan like pada status yang menyokong kawalan senjata api di AS, dia berkemungkinan besar akan mengundi Parti Demokrat dan bukan Parti Republikan yang memperjuangkan kebebasan orang awam memiliki senjata api tanpa sebarang sekatan.

Berdasarkan pengumpulan data ini, sesebuah organisasi termasuk parti politik dapat mengetahui secara kasar tentang sokongan kepadanya dan merangka strategi terbaik.