Ia menyaksikan dua pelakon utama filem itu, Paul Rudd dan Evangeline Lilly boleh bertukar saiz menjadi sebesar zarah.

Secara amnya, mekanika kuantum merujuk kepada teori asas dalam fizik yang menggambarkan alam semula jadi pada skala atau saiz terkecil tahap zarah.

Sejak sekian lama saintis cuba mencipta ‘mesin’ dalam bentuk objek yang berputar bagi membantu mereka mengkaji dan lebih memahami tentang mekanika kuantum. 

Akhirnya objek berputar buatan manusia terpantas di dunia telah dicipta bagi tujuan tersebut. 

“Berputar lebih 60 bilion setiap minit, kami percaya mesin ini amat membantu melaksanakan kajian yang lebih mendalam tentang mekanika kuantum termasuk persoalan mengenai vakum,” ujar penolong profesor fizik dan astronomi di Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat, Tongcang Li.

Sebenarnya sepanjang sedekad yang lalu, penyelidik telah menguji kelajuan objek buatan manusia boleh berputar. 

Pada tahun 2008, sebuah mesin bersaiz buku catatan yang mencatatkan satu juta putaran seminit telah dicipta. 

Zarah maya

Menjelang tahun 2010, saintis berjaya memahat sepotong graphene yang mampu berputar sebanyak 60 juta kali dalam tempoh seminit.

Tiga tahun kemudian, rekod itu diatasi menerusi penciptaan sfera mikroskopik yang hanya berukuran 4 mikrometer iaitu satu per sepuluh lebar rambut manusia. 

Ia mampu melakukan 600 juta putaran seminit atau kira-kira 500,000 kali lebih cepat daripada kitaran putaran dalam mesin basuh.

Bagi kajian terbaharu oleh kumpulan saintis diketuai Li untuk mencipta mesin yang digunakan dalam mengkaji mekanika kuantum, eksperimen telah dilakukan terhadap objek berbentuk dumbel atau dikenali dengan istilah nanodumbel merujuk kepada saiznya yang terlalu kecil.

“Nanodumbel dihasilkan menggunakan dua sfera silikon yang bercantum antara satu sama lain. 

“Setiap satu dumbel memiliki panjang kira-kira 0.000012 inci (320 nanometer) dan kira-kira 0.000007 inci lebar (170 nm). 

“Ia diapungkan di dalam vakum menggunakan pancaran laser,” jelas Li.

Menurutnya lagi, mesin tersebut boleh digunakan untuk mengkaji tentang perkara-perkara yang berkait dengan kesan graviti dan kepadatan bumi.

“Namun, kami turut menaruh harapan ia dapat digunakan untuk mengkaji hal-hal berkaitan mekanik kuantum dan sifat-sifat vakum.

“Umum melihat vakum merupakan ruang yang kosong semata-mata, tetapi dari sudut fizik, kami  tahu ia sebenarnya tidak kosong,” kata Li. 

“Sebenarnya, terdapat banyak zarah maya yang mungkin kekal pada masa yang singkat dan kemudian hilang di dalam vakum. Kami mahu menyelidik tentang apa yang berlaku di situ. 

“Memahami mekanisme ini adalah matlamat penting untuk fizik moden pada masa akan datang,” jelas Li.

Kajian yang telah diterbitkan dalam Journal Review Letters bertarikh 20 Julai 2018 itu menurut Li, boleh membantu mendedahkan bagaimana bahan-bahan yang berbeza bertindak balas di bawah keadaan melampau dan bagaimana geseran berlaku di dalam vakum.