Kekosongan jawatan tersebut diisi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi, manakala mulai 20 Ogos ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Shahril Ridza Ridzuan akan menggantikan Azman.

Khazanah merupakan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan portfolio pelaburan merangkumi syarikat tersenarai Malaysia yang penting negara seperti Telekom Malaysia Bhd., Tenaga Nasional Bhd. dan CIMB Group Holdings Bhd.

Dari sudut politik, penganalisis telah menjangka berlaku perubahan pengurusannya memandangkan adalah perkara normal apabila berlaku peralihan kepimpinan negara bagi membolehkan penstrukturan dan jajaran semula hala tuju syarikat agar bersesuaian dengan aspirasi kerajaan baharu.

Dari sudut ekonomi, penilaian dan penjajaran semula operasi dan hala tuju bukan sahaja diperlukan ke atas Khazanah tetapi juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain.

Wujud ketidakseimbangan peranan GLIC dan GLC di antara matlamat pencapaian pertumbuhan ekonomi dan perkongsian manfaatnya.

Dari segi penguasaan pasaran, syarikat-syarikat ini telah menyumbang sebahagian besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Kajian menunjukkan dominasi mereka ke atas nilai jualan, aset dan saham menduduki tangga ke-5 di dunia, selepas Indonesia, Rusia, Arab Saudi dan China, dicapai menerusi penguasaan sebanyak 68 peratus.

 

Sumbangan

Jika dibandingkan peranan GLIC dan GLC dalam pasaran, sumbangannya ke atas pengagihan kekayaan ekonomi masih rendah dan memerlukan penilaian semula.

Kajian mendapati mereka hanya menyerap kira-kira 5 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara .

Pengukuran ke atas penyerapan guna tenaga penting memandangkan lebih 65 peratus pendapatan isi rumah dijana pasaran buruh.

Tiga aspek utama perlu diberi perhatian pengurusan GLIC dan GLC bagi mengukuh peranan mereka dalam membantu mengagihkan kekayaan ekonomi secara adil.

Pertama, mengukuhkan rantaian bekalan antara GLIC, GLC serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kajian mendapati wujud jaringan rantaian bekalan yang lemah antara syarikat besar dan PKS.

Dalam rantaian bekalan, PKS banyak mendapatkan bekalan daripada syarikat besar, manakala syarikat besar lebih mengutamakan syarikat besar lain dan pasaran import.

Ini tidak konsisten dengan peranan syarikat berkaitan kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan PKS.

Kedua, GLC perlu menumpukan pelaburan ke atas teknologi dan inovasi serta sumber kekayaan baharu.

Kewujudan GLC dalam suatu sektor ekonomi didapati tidak menggalakkan pelaburan oleh syarikat bukan GLC.

Ini disokong oleh dapatan kajian iaitu wujud kecenderungan untuk syarikat bukan GLC mengurangkan pelaburan ke atas suatu sektor jika pasaran dimonopoli oleh GLC.

Ketiga, penilaian semula mekanisme pengagihan kekayaan syarikat GLC.

Pendekatan semasa yang dilakukan adalah melalui penyaluran terus keuntungan syarikat kepada kerajaan yang seterusnya memanfaatkan rakyat.

Pendekatan pengagihan yang lebih mampan adalah melalui pasaran buruh dengan meningkatkan penyertaan guna tenaga tempatan dalam industri.