Umumnya, manusia pelbagai ras, kaum atau etnik dengan perbezaan latar belakang sosiobudaya ini, bertemu dan hidup dalam wilayah yang sama hingga membentuk masyarakat yang plural. Secara mudah, keadaan ini disebut sebagai kepelbagaian budaya.   

Istilah kepelbagaian budaya ini merujuk kepada masyarakat yang terdiri daripada keberagaman agama, ras, bahasa, dan budaya. Ia merangkumi konsep pluraliti, keragaman dan heterogen yang menggambarkan manusia yang hidup dalam komuniti dan kebudayaannya masing-masing yang unik.

Kepelbagaian budaya memiliki dua ciri asas iaitu keperluan terhadap pengakuan. Kedua, penerimaan keragaman budaya atau pluralisme dalam konteks kenegaraan, iaitu kebebasan untuk mengamal dan melakukan aktiviti-aktiviti budaya, selagi tidak bertentangan dengan budaya kelompok lain. 

Kesamaan 
Hilda Hernandez dalam Multicultural Educations: A Teacher Guide to Linking Context, Process and Content (2001), berkata, kepelbagaian budaya bertujuan mewujudkan kerjasama, kesamaan dan mengapresiasi semua perbezaan bagi membentuk hubungan yang positif antara kelompok masyarakat. 

Malaysia juga merupakan realiti perbezaan dalam kepelbagaian budaya tersebut. Sebenarnya kedua-dua perkataan ini sukar ditafsirkan dalam pengertian sebuah negara bangsa lain di dunia. Namun, Malaysia bersedia memberikan jawapan yang tepat dan lengkap.

Kepelbagaian budaya di Malaysia adalah pengertian tentang rakyatnya yang terdiri daripada etnik Melayu, Cina, India dan suku peribumi lain termasuk di Sabah serta Sarawak, manakala persamaan adalah semua etnik itu bersama-sama berhak di atas Malaysia dalam semua aspek. 

Realitinya, kemakmuran Malaysia adalah sebuah hasil kebersamaan dan perbezaan itu. Ia adalah konsep, idealisme dan gagasan yang membentuk kesedaran kolektif semua etnik untuk membentuk negara bangsa merangkumi pelbagai aspek aspek; daripada ekonomi hingga persoalan-persoalan budaya. “Sesebuah konsep negara bangsa adalah sebahagian daripada naratif kecil dan besar yang membentuk kesedaran kolektif.

Naratif besar mengarah kepada kesejagatan, rasionaliti dan rasa kebersamaan secara global yang melibatkan semua bangsa di dunia.

“Naratif kecil yang juga disebut sebagai naratif heterogen pula merupakan rasionaliti, idealisme dan gagasan dalam institusi kemasyarakatan setempat yang plural,” tulis pemikir Perancis, Jean-Francois Lyotard dalam bukunya The Postmodern Condition (1989).

Menurut Lyotard, akan sangat keliru jika menganggap globalisasi hanya berkaitan dengan sistem-sistem besar, seperti persoalan perekonomian dunia. Globalisasi bukan soal apa yang ada di belahan dunia lain tetapi juga fenomena setempat yang mempengaruhi sistem kepercayaan dan kehidupan masyarakat.

Semakin berkembang dan canggihnya teknologi media, memungkinkan sebuah masyarakat menyaksikan bentuk-bentuk kehidupan dan sistem kepercayaan lain yang berbeza, pelbagai gaya hidup, orientasi keagamaan yang berlainan, kepelbagaian etnik, perbezaan bahasa dan sebagainya.

Bukan itu saja, globalisasi seperti yang diungkapkan Anthony Giddens juga merupakan impak jarak jauh. Maksudnya, apa yang terjadi pada satu belahan bumi, akan memberi kesan kepada bahagian lain di dunia. Saling pengaruh ini akan menimbulkan konflik yang hebat, berpanjangan dan sukar menemui titik akhirnya.

Seperti yang dikemukakan oleh Samuel Huntington, dalam The Clash of Civilization (1993) garis-garis pemisah dalam dunia mutakhir (era pasca-Perang Dingin) tidak berasal daripada politik atau ideologi, sebaliknya ia melibatkan entiti-entiti kebudayaan yang dimiliki oleh kelompok-kelompok masyarakat.

Huntington berpendapat, ikatan sekelompok masyarakat moden semakin ditentukan oleh warisan agama, bahasa, sejarah, dan tradisi yang mereka miliki bersama atau yang disebut sebagai peradaban atau ketamadunan yang dimiliki oleh sesebuah bangsa.

Kolot
Kenichi Ohmae dalam The End of Nation State (1995) menolak tesis Hutington tersebut kerana menganggap pandangan itu terlalu terhad kepada aspek budaya semata-mata. Beliau justeru berpendapat, bahawa konflik terjadi lebih disebabkan oleh para pemimpin politik yang kolot dan melibatkan rakyat untuk melakukan konfrontasi.

Di Malaysia, diperlukan sebuah visi besar untuk mengawal perkembangan masyarakat global iaitu kesepakatan yang memerlukan etika kesejagatan. Jika meminjam istilah Lyotard, naratif-naratif kecil iaitu perbezaan latar belakang, kepercayaan dan bahasa, justeru perlu dinikmati untuk membina serta memperkasakan negara ini. 

Perbezaan dan persamaan kaum di Malaysia hari ini, sebenarnya sebuah idea untuk membina ekonomi, politik dan keadilan sosial. Ia bukan dengan cara memburuk-burukkan kaum lain serta menanam sentimen perkauman sempit hingga boleh menggugat keharmonian yang disepakati sejak lebih 60 tahun lalu.

Polemik atau konflik itu secara tidak langsung mewujudkan satu budaya yang menyebabkan manusia yang hidup pada zaman moden sukar membezakan antara fakta dan fiktif atau sejarah dengan mitos hingga menyebabkan mereka merasakan kebenaran mutlak milik sesebuah bangsa sahaja.

Sejarawan Amerika, Benedict Anderson  berkata, sesebuah bangsa tidak pernah dibentuk oleh Tuhan. Juga, juga tidak dilahirkan oleh alam tetapi ia adalah komuniti yang dibina berasaskan persamaan dan kekuasaan sebuah kelompok masyarakat atau ras.

“Inti atau identiti sebuah kelompok atau ras ialah nasionalisme yang lahir daripada pengalaman sejarah yang kemudian berkembang menjadi ideologi. Ia sangat berbahaya jika ditafsirkan dalam konteks yang sempit dan hanya mewakili sesebuah bangsa sahaja,” tulis beliau dalam bukunya, Imagined Community (1983).

Penafsiran sempit inilah yang menjadi inti kepada pelbagai peristiwa sejarah dunia termasuk Malaysia. Antaranya, peristiwa Holocaust oleh Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua, peristiwa pembunuhan etnik Tutsi oleh pelampau etnik Hutu di Rwanda pada 1994 atau Peristiwa 13 Mei 1969 di negara kita.

Berdasarkan pandangan Kung, Anderson atau Nietzsche tersebut, satu kesimpulan dapat dibuat dalam konteks kepelbagaian budaya dan keberagaman etnik di Malaysia. Perbezaan kaum merupakan satu wadah yang unik ke arah mewujudkan bangsa Malaysia yang berasaskan perbezaan-perbezaan tersebut.