Jawatan dan gelaran tersebut tidak datang percuma, sebaliknya hadir bersama komitmen dan tanggungjawab yang cukup berat untuk digalas.

Tambahan pula, status hajah yang menghiasi gelaran pangkal namanya membuatkan setiap tindak-tanduk anak kelahiran negeri Kelantan itu sentiasa diperhatikan.

Wartawan Jurnal mendekati figura tersebut di pejabatnya baru-baru ini untuk menyelami pendiriannya tentang hijab, empayar bisnes dan kuasa wanita.

JURNAL: Berkecimpung sebagai anak seni selain turut bergelar usahawan, ahli korporat, jutawan dan hajah membuatkan anda menjadi tumpuan di mata masyarakat. Yang mana satu dirasakan sebagai tanggungjawab paling besar dalam hidup anda?

NEELOFA: Saya fikir adil untuk saya katakan bahawa bergelar anak seni itu sendiri merupakan tanggungjawab paling berat. Jika saya bukan seorang selebriti, saya boleh bawa diri dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain tanpa perlu berdepan kritikan dan tohmahan masyarakat sekeliling. Dalam hal ini, memandangkan saya terlibat dalam industri hiburan, apa jua yang saya lakukan baik dalam bidang perniagaan atau korporat, orang tetap mengaitkan saya sebagai artis di mana setiap tingkah laku saya akan diperhatikan.

Saya tidak menolak bahawa status hajah itu juga besar tanggungjawabnya tetapi orang tetap akan pandang saya sebagai selebriti. Katakanlah jika saya mengenakan jubah dan purdah sekali pun, masyarakat tetap akan menghakimi perbuatan saya. Dalam hal ini, saya tidak boleh lari daripada kritikan tetapi pada masa sama, saya sentiasa cuba sehabis baik untuk menjaga imej selain mengelak daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan fitnah.

Sepanjang kira-kira lapan tahun berada dalam lapangan seni hiburan tanah air, anda berhasil mengecapi pelbagai kejayaan dan tidak kurang juga terpalit dengan kontroversi yang kurang enak didengar. Apakah antara perkara yang paling mengganggu dan memberi kesan mendalam kepada anda?

NEELOFA: Kalau dikenang kembali, saya rasa perkara yang paling mengganggu saya sehingga menjejaskan emosi ialah ketika mula-mula berkecimpung dalam industri seni iaitu sekitar tahun 2011.

Pada waktu itu, saya masih mentah untuk menghadam asam garam dunia hiburan. Saya boleh menggambarkan diri saya sebagai naif, tidak mengerti apa-apa dan tidak berdaya untuk menangkis kritikan sehingga kontroversi yang kecil pun boleh memberi kesan teruk kepada mental sampaikan saya takut untuk tengok televisyen, majalah dan surat khabar kerana khuatir ada berita buruk mengenai diri saya. Sudah tentu ada perkara yang saya kesali tetapi apabila difikirkan semula, apa yang berlaku itu ada hikmahnya dan menjadikan saya lebih berhati-hati pada masa depan.

Bagaimanapun, pengalaman itu mendewasakan saya untuk lebih kuat dan matang dalam mendepani tohmahan yang dilemparkan. Saya akui walaupun bukan 100 peratus kalis kritikan, saya tidaklah begitu mudah terkesan seperti dahulu. Saya tidak membiarkan kata-kata cacian itu menjatuhkan semangat saya sebaliknya anggap ia perkara sementara. Lagipun, masyarakat hari ini terbuka untuk mengutarakan pendapat mereka dalam apa jua hal menggunakan kuasa media sosial. Jadi sebagai artis, saya perlu bijak menggunakan platform itu supaya ada perkara yang boleh membawa kebaikan dan menjurus ke arah keburukan.

Pada zaman serba moden ini, ada segelintir masyarakat Islam menggunakan perkataan liberal itu sesuka hati untuk melabelkan perbuatan bersifat pemikiran moden tanpa mengambil kira sensitiviti agama. Anda turut dilabel hajah liberal kerana tindakan melancarkan koleksi tudung dan menyambut hari lahir ke-29 di kelab malam Zouk, Kuala Lumpur baru-baru ini. Apakah maksud perkataan liberal itu pada perspektif anda dan bagaimana penerimaan anda terhadap gelaran itu?

NEELOFA: Perkataan liberal itu sangat luas dan subjektif. Mungkin individu berkenaan tidak memahami dengan jelas pengisiannya. Bagi saya, pihak Naelofar Hijab sudah memohon maaf di atas kekhilafan kami, namun bagi saya sendiri, saya kenal diri saya dan tahu nilai serta batas yang perlu dipatuhi. Di sebalik kecaman yang diterima, jauh di sudut hati, saya tidak berniat mahu menjadikannya sebagai topik bualan orang apatah lagi mempersendakan agama. Bagaimanapun, ia merupakan satu hikmah yang sangat besar kerana selepas itu banyak perkara yang tidak diduga berlaku.

Di sini, saya mahu tekankan bahawa misi saya sebagai individu yang memiliki platform, saluran dan jaringan dalam dunia fesyen muslimah adalah untuk mengubah pemikiran masyarakat supaya tidak melihat imej pemakaian tudung sebagai kolot dan tidak bergaya sebaliknya lebih kepada memenuhi tuntutan agama.

Menghampiri usia 30-an, anda pasti tidak boleh lari daripada ditebak dengan soal jodoh dan perkahwinan. Sebagai wanita yang berjaya dan mampu berdikari, anda seakan-akan sukar didampingi lelaki? Apa komen?

NEELOFA: Pada saya soal takut atau tidak untuk didekati terpulang kepada cara seseorang wanita itu membawa dirinya. Kalau anda mengeluarkan aura seolah-olah tidak mahu didampingi, maka orang lain akan turut merasakannya. Jika anda mudah mesra dan peramah, orang lain juga mudah berkawan dengan diri anda tanpa mengira status atau latar belakang. Saya juga sentiasa ditanya tentang perkara ini, namun apabila saya semakin dewasa, saya berpendapat ia tidak lagi memberi tekanan kepada saya. Kalau semasa lebih muda dahulu, perkara itu lebih didorong oleh tekanan rakan sebaya dan set minda yang salah, tetapi kini tidak lagi. Saya rasa kita sekarang perlu fikir untuk lebih bersedia daripada pelbagai aspek termasuk mental, fizikal dan kewangan agar mampu memberi komitmen sepenuhnya kepada perkahwinan.

Apa yang anda suka lakukan pada masa lapang untuk menghilangkan tekanan?

NEELOFA: Saya suka mengisi masa dengan membaca buku-buku motivasi dan mendengar ceramah agama antaranya yang disampaikan oleh Mufti Menk. Selain itu, saya gemar melancong dan mengenali budaya dan bahasa masyarakat tempatan. Di samping itu, saya sangat menghargai masa bersama keluarga kerana tidak selalu dapat bersama berikutan jadual yang padat.