Situasi lebih buruk daripada mana-mana genre filem seram itu boleh membuatkan sesiapa sahaja putus asa, bahkan hilang kewarasan, namun, ketika di hujung nyawa, keajaiban menjelma.

Dua penyelam berpengalaman Britain, Rick Stanton dan John Volanthen menemui mereka sejauh 4 kilometer dari mulut Gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai, utara Thailand, pada kedalaman antara 800 hingga 1,000 meter dari permukaan tanah, sembilan hari selepas kumpulan itu hilang dan terperangkap.

Penemuan mereka disambut penuh gembira bukan sahaja di Thailand tetapi oleh seluruh warga dunia yang mengikuti perkembangan misi menyelamat tersebut.

Selepas mereka ditemui, pasukan penyelamat berbilang negara termasuk unit elit tentera laut Amerika Syarikat dan Thailand dikenali sebagai SEAL yang diketuai oleh Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn merangka beberapa rancangan untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggali lubang di dalam tanah.

Pada mulanya, pihak berkuasa mahu menggali cerobong di permukaan tanah sehingga sampai ke lokasi mangsa terperangkap dan menurunkan sejenis lif untuk mengeluarkan mereka, proses yang akan memakan masa berminggu-minggu. Menurut agensi berita Reuters pada 7 Julai lalu, lebih 100 buah lubang digali di kawasan pergunungan itu bagi tujuan tersebut. Sementara itu, bekalan makanan, minuman, oksigen dan ubat dihantar kepada kumpulan budak lelaki berkenaan dan jurulatih mereka. Namun, pasukan penyelamat terpaksa melupakan rancangan ‘selamat’ itu berikutan ancaman hujan dan banjir, manakala tebing tempat kumpulan pasukan bola sepak itu terperangkap boleh tenggelam pada bila-bila masa sahaja, dalam erti kata lain, air dan masa menjadi musuh mereka.

Pasukan penyelamat cuma tinggal satu alternatif, membawa semua mangsa menyelam, merangkak dan berjalan di celah-celah laluan sempit berbatu dan berliku, meskipun realitinya tiada seorang pun ahli pasukan bolak sepak itu mahir berenang apatah lagi menyelam. Risiko mangsa panik dan meronta menjemput ajal bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada anggota penyelamat.

Misi menyelamat

Selepas membuat perancangan rapi dan mengambil kira semua risiko, pasukan penyelamat terutamanya pakar-pakar selam nekad melaksanakan usaha menyelamat yang disifatkan Narongsak sebagai ‘misi mustahil’.

“Pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) hari ini (8 Julai), seramai 13 penyelam asing masuk ke dalam Gua Tham Luang untuk mengeluarkan kanak-kanak berkenaan. Mereka dibantu oleh lima penyelam Thailand daripada unit SEAL,” kata Narongsak.

Menurutnya, operasi hari pertama bertujuan untuk mengeluarkan empat ahli pasukan Mu Pa dengan setiap mangsa diiringi sekurang-kurangnya dua penyelam berpengalaman.

Itu sahaja kenyataan oleh pihak berkuasa Thailand yang bersikap ‘berat mulut’ kepada media untuk memberikan butiran terperinci bagaimana budak-budak lelaki itu dibawa keluar, mungkin kerana tidak mahu operasi seterusnya terjejas ataupun membuatkan keluarga mangsa bimbang. Kaedah sebenar bagaimana semua 12 kanak-kanak itu dibawa keluar hanya diketahui selepas misi tersebut berakhir tiga hari kemudian. Sedutan operasi menyelamat dan pengakuan penyelam menjawab persoalan yang bermain di minda orang awam dan pengamal media tentang bagaimana kanak-kanak itu dibawa keluar.

Menurut Reuters, budak-budak tersebut sebenarnya tidak menyelam bersama petugas-petugas penyelamat sekali gus menghindari risiko panik yang boleh menjejaskan operasi menyelamat.

Sebaliknya sebelum dibawa keluar, mereka diberikan ubat pelali, dipakaikan topeng oksigen penuh dan dibedung seperti bayi di atas pengusung, selepas semua ini dilakukan, barulah usaha membawa mereka dari perut Gua Tham Luang dilakukan. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada jurulatih bola sepak berusia 25 tahun tersebut terpaksa melalui pengalaman serupa.

Setiap budak lelaki itu diusung, diangkat, ditolak dan ditarik di sepanjang laluan sempit, adakalanya kurang daripada satu meter, oleh tiga atau empat petugas penyelam sehingga mereka sampai ke Gua 3, terletak sekitar 2 kilometer dari pintu Gua Tham Luang dan dijadikan pangkalan pasukan penyelamat. Tali putih juga dipakukan pada dinding gua bagi memastikan mereka tidak tersalah laluan dan tersesat.

“Sesetengah mereka sedang tidur, sebahagian lagi menggerakkan jarinya tetapi mereka semuanya bernafas,” kata seorang penyelam yang ditugaskan membawa keluar ahli pasukan Mu Pa, Komander Chaiyananta Peeranarong.

Menurutnya, doktor-doktor ditempatkan di sepanjang koridor kelam di gua itu dan mereka memeriksa nadi dan keadaan mangsa seberapa kerap yang boleh.

“Tugas saya adalah untuk mengeluarkan mereka,” kata Chaiyananta.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-O-Cha mengaku kepada wartawan pada Selasa lepas bahawa budak-budak itu diberikan ‘sedikit ubat pelali’ untuk membantu mereka bertenang. Beliau bagaimanapun menafikan mangsa ‘pengsan’ sepanjang mereka diselamatkan.

Salah seorang penyelam bertaraf dunia yang menyertai misi menyelamat tersebut ialah warga Australia, Richard Harris yang juga merupakan seorang pakar bius.

Narongsak memberitahu wartawan pada minggu ini bahawa keseluruhan operasi itu sukar untuk berjaya tanpa kemahiran unik yang dibawa Harris dalam misi itu.

Bagaimanapun, ketabahan, sikap tidak putus asa dan kerjasama semua yang terlibat dalam misi menyelamat itu harus mendapat pujian. Mereka sanggup menggembleng usaha dan menggadai nyawa untuk mengeluarkan mangsa walaupun tanpa pertalian darah atas dasar kemanusiaan.