Dalam tempoh empat minit tujuh saat sahaja, iklan sempena hari raya itu berjaya mencetuskan sensasinya tersendiri. Dihasilkan oleh Reservoir Production (RP), arahan pengarah berketurunan Cina, Quek Shio Chuan, iklan raya tersebut merupakan persembahan terbaharu daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Sejak dimuat naik dalam laman YouTube TENAGAofficial dan Facebook TNB Careline awal minggu ini, iklan dengan judul Rumah Epik Fantastik itu telah melebihi satu juta tontonan. Inilah iklan raya yang paling heboh diperkatakan pada tahun ini. Iklan tersebut boleh saya huraikan cukup ramuan. Ia mempunyai subjek dan pengisian yang padu. Selain penghasilannya kreatif, ia memberi kesedaran tentang silaturahim kekeluargaan, toleransi, kemeriahan beraya dan keistimewaan kampung dengan penuh menghiburkan.

Iklan yang dihasilkan oleh AirAsia GO juga menampilkan keunikan tersendiri apabila menggabungkan idea raya dan bola sempena Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung sepanjang raya kelak. Diberi judul Bola Raya AirAsia GO, iklan ini menarik kerana naratifnya dibaca dalam nada seorang komentar sukan.

Itu hanya contoh dua iklan raya yang menyentuh hati penonton dengan gaya penyampaian tersendiri pada tahun ini. Saban tahun, iklan sempena hari raya adalah sesuatu yang dinantikan kerana selalu mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

Antara sutradara yang membangkitkan keghairahan masyarakat untuk menonton iklan raya ialah arwah Yasmin Ahmad. Yasmin selalu memberi sentuhan luar biasa dan kreatif terhadap iklan-iklan arahannya.

Sewaktu hayatnya, beliau sempat menghasilkan sekitar lapan iklan hari raya yang meninggalkan impak besar. Kesemua iklan tersebut dihasilkan untuk syarikat Petronas.

Dengan tempoh durasi masa kurang lima minit, Yasmin mampu membangkitkan pelbagai emosi menerusi sentuhan dalam karya iklannya. Beliau bijak menggaulkan perasaan dan kesedaran yang sekali gus sinonim dengan hari perayaan.

Antara iklan raya arahannya yang masih meninggalkan kesan, popular dan diminati sehingga kini adalah iklan berjudul Al Kisah 7 Beradik yang disiarkan sempena Aidilfitri pada tahun 2003. Ia memaparkan kisah seorang ibu tunggal bersama tujuh anak lelakinya menjelang Syawal. Bagaimana mereka berusaha untuk membahagiakan dan memenuhi permintaan ibu sehingga membawa pulang seekor lembu hanya kerana terlupa membeli daging dan hati sebelum mesejnya diakhiri dengan nukilan emas yang berbunyi syurga di bawah telapak kaki ibu.

Sebuah lagi iklan arahan Yasmin yang menyentuh hati adalah Burung Murai yang dihasilkan pada tahun 2007. Mengangkat kisah antara seorang bapa dan anak, ia secara keseluruhannya memberi gambaran tentang pengorbanan ibu dan bapa terhadap anak-anak serta ia seharusnya dibalas setimpal juga.

Ironi, di sebalik lambakan iklan yang menarik perhatian dan diminati seperti Wayang Sayang terbitan Maxis atau iklan milik Astro, Dari Hati Ayah (kedua-duanya dihasilkan pada tahun lalu), terdapat beberapa iklan raya yang mencetuskan kontroversi sehingga ditarik penyiarannya.

Kena tarik

Salah satunya adalah iklan raya milik stesen televisyen TV3 yang dihasilkan pada tahun 2010. Iklan raya yang diterbitkan mereka disifatkan tidak sensitif serta mirip iklan untuk sambutan Krismas. Menampilkan props seperti beca dan lelaki tua yang disamakan seperti Santa Claus serta beberapa pertikaian lain, iklan itu bagaimanapun ditarik daripada tayangannya selepas menerima respons negatif dalam kalangan umat Islam. Stesen itu meminta maaf terhadap penyiaran iklan yang dilihat mampu memesongkan akidah.

Syarikat Watsons Malaysia juga pernah dikritik kerana tampil dengan iklan raya yang disifatkan sebagai tidak sensitif dan rasis. Diberi judul Legenda Cun Raya, iklan dengan durasi 15 minit itu disiarkan dalam medium laman sosial. Rakyat Malaysia kecewa dengan mesej seorang wanita berkulit gelap dianggap hodoh diketengahkan pada tahun lalu. Iklan itu diilhamkan daripada filem legenda Melayu Dayang Senandong yang pernah popular pada tahun 1965.

Di sebalik penghasilan yang dikritik atau menuai pujian, sebenarnya, apa keistimewaan iklan raya? Apa magis yang menjadi ramuan dalam setiap pembikinan sesebuah iklan sehingga ia mampu mencetuskan sensasi tersendiri.

Menurut pengarah filem, klip video dan iklan terkenal, Ghaz Abu Bakar, keistimewaan yang terdapat dalam sesebuah iklan adalah kepakaran orang di sebalik tabir yang menggerakkan keseluruhan naskhah pendek tersebut. Bermula daripada pasukan agensi kepada pengarah dan kru produksi serta subjek yang mahu diketengahkan, semuanya perlu dilakukan dengan sangat rapi dan bertanggungjawab.

“Sebenarnya ada banyak iklan raya yang berbentuk tipikal seperti kisah seorang anak yang lupakan ibu. Namun ia menjadi luar biasa apabila iklan itu dihasilkan dengan pengisian yang boleh dikaitkan dalam kehidupan seharian atau dekat dengan masyarakat.

“Paling penting, iklan raya selalunya dihasilkan untuk membangkitkan kesedaran bukan pengajaran. Banyak iklan raya memaparkan keindahan raya apabila ia dikongsi dengan orang tersayang tidak kira sama ada dihasilkan dalam bentuk humor atau menyentuh hati,” ujarnya.

Menyifatkan Yasmin telah meninggalkan satu piawaian yang tinggi terhadap penghasilan iklan raya sehingga sukar ditandingi, namun kata Ghaz pada masa kini banyak pengarah dan produksi yang sudah mula menunjukkan graf menaik dalam penghasilan iklan raya.

Malah, katanya, apa yang paling disukai adalah iklan raya yang disiarkan ini tidak hanya boleh ditonton di kaca televisyen.

“Saya suka melihat perkembangan apabila iklan yang dihasilkan oleh anak Malaysia tidak kisah untuk edisi raya atau sebaliknya sudah boleh diakses dalam media sosial sekali gus ditonton secara global.

“Selain dapat memberi masyarakat dunia melihat produk dan budaya kita, ia sebenarnya membuka peluang pekerjaan buat orang belakang tabir seperti saya,” kata Ghaz yang mahu menghasilkan sebuah iklan raya berunsur aksi pada tahun depan.