Namun, cara Jebat menyuarakan kebenaran tersebut bertentangan dengan undang-undang yang diamalkan di Melaka. Walau apa pun pandangan oleh para penyokongnya, Jebat tetap dianggap sebagai penderhaka dan pengkhianat terhadap kerajaan Melaka dan Sultan Mansur Syah.
Sudah tersurat untuk penderhaka, Hang Jebat mati di tangan sahabat karibnya, Hang Tuah, pahlawan Melayu yang memiliki taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada sultan. Keris Taming Sari akhirnya kembali ke dalam genggaman laksamana itu, selain meraih pelbagai kurnia Sultan Mansur Syah selepas membunuh Jebat.

Polemik antara Jebat dan Tuah tidak pernah menemukan noktahnya hingga ke hari ini. Sarjana-sarjana tempatan memperdebatkan kedudukan kedua-duanya dari perspektif wira, penderhaka, kesetiaan dan di satu sisi lain ia merupakan keberanian menentang birokrasi yang pincang.
Hikayat Hang Tuah mencatatkan Hang Jebat adalah penderhaka. Sebagai orang yang menentang Sultan Mansur Syah dan menodai maruah Empayar Melaka, dia wajar mati. Seluruh keturunannya juga perlu dihapuskan. Tapak rumahnya juga digali dan dibuang ke laut!

Ramai yang melihat Tuah sebagai wira kerana setia yang tidak ada duanya kepada Sultan Melaka. Dia sanggup membunuh sahabatnya Jebat kerana dianggap menderhaka dan mencemar nama baik Melaka dan paling penting mencalar akal budi Melayu dalam konteks menjunjung kedudukan sultan. 
Namun, Sasterawan Negara Usman Awang mengangkat Jebat sebagai wira dalam naskhah teater Matinya Seorang Pahlawan (1992). Begitu juga Kassim Ahmad. Mana Sikana pula dalam Tuah-Jebat Dalam Drama Melayu: Satu Kajian Intertekstualiti (1994) turut meletakkan Hang Jebat sebagai wira.

Birokrasi

Masyarakat Melayu juga telah dididik – sesiapa yang mengkritik birokrasi dan sistem kekuasaan istana adalah penderhaka. Sebagaimana Jebat, dosanya terhadap sultan dan negeri Melaka terlalu besar. Balasan kepada penderhaka dalam mana-mana kerajaan di dunia ialah mati di hujung senjata. 
Malah, dalam waadat antara Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) dan Sang Sapurba (Raja) seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), mana-mana hamba rakyat yang menderhaka dan berbuat nista kepada rajanya, mereka boleh dijatuhkan hukuman mati, jika tidak ada lagi ruang keampunan.
Berdasarkan waadat itu juga, raja atau sultan sebagai penaung rakyat pula tidak boleh sama sekali menjatuhkan hukuman kepada hamba rakyat tanpa usul periksa. 

Persoalannya kenapa Jebat dianggap sebagai penderhaka sedangkan dia memperjuangkan kebenaran dan keadilan iaitu membela kematian Tuah yang dijatuhkan hukuman mati tanpa usul periksa? Jawapan yang mudah ialah Jebat menentang sebuah sistem yang dibangun oleh suara kekuasaan majoriti.
Di sisi lain, Jebat sendiri dilihat oleh pembesar-pembesar Melaka yang berkepentingan dalam sistem tersebut sebagai orang mencabar kedudukan sultan, sekali gus meletakkan dirinya sebagai penguasa baharu di Melaka. Pada masa yang sama menafikan institusi yang sah.
Biarpun para pembesar dan penyokong Hang Tuah tahu tujuan Jebat adalah membela kebenaran dan fitnah terhadap Tuah dan membetulkan kesilapan birokrasi, pembesar-pembesar tetap mengakui laksamana itu sebagai wira. Jebat pula dianggap sebagai penderhaka, pengkhianat atau pemberontak.

Akhirnya seperti yang dicatat dalam Sejarah Melayu, seluruh keturunan Jebat dibunuh dan diaibkan. Semua binatang peliharaannya juga dimusnahkan dan tapak rumahnya telah digali dan dihumbankan ke laut.
Sebenarnya, kisah Jebat-Tuah telah diletakkan dalam ruang kognitif masyarakat bahawa Jebat adalah penderhaka. Sesiapa sahaja yang bertentangan dengan kepentingan sistem birokrasi yang majoriti adalah Jebat. 
Namun, untuk menjadi Jebat ia harus melalui pendekatan yang betul. Ia harus berdasarkan kepada perundangan, pelembagaan dan kesepakatan kolektif yang telah dibentuk. Paling penting, Jebat harus mengambil kira bentuk birokrasi yang telah disepakati.  
Sebuah kesejahteraan akan muncul apabila semua pihak dilibatkan dalam pembuatan birokrasi. Tidak wajar masyarakat kita sentiasa meletakkan Tuah yang tidak berani mengkritik sultan sebagai wira, sedang Jebat terus dianggap sebagai penderhaka selamanya!

Legenda Tuah-Jebat itu sama seperti kisah dalam Perang Bhratayudha yang dimuatkan dalam epik Mahabaratha. Ia menceritakan konflik berdarah antara kelompok Pendawa dan Kurawa yang berakhir dengan kemusnahan, kematian dan dendam ribuan rakyat jelata kedua-dua pihak.
Peperangan berakhir setelah Arjuna yang merupakan panglima Pendawa berjaya membunuh Bhisma, raja kerajaan Hastinapura yang merupakan ketua puak Kurawa. Para tentera Kurawa yang kehilangan panglima akur. Mereka kalah dan terpaksa menerima apa sahaja hukuman oleh pihak lawan.
Dapat disimpulkan, perkelahian Tuah-Jebat dan peperangan antara puak Kurawa dan Pendawa merupakan sesuatu yang mesti dielakkan demi survival rakyat dan negara. Sistem birokrasi harus berorientasikan kesejahteraan, keharmonian dan tolenrasi.
“Dalam drama kehidupan manusia, hidup ini dipersembahkan hanya untuk Tuhan dan malaikat-malaikat supaya menjadi orang baik. Dan, kebaikan itu akan mengelakkan perang,” tulis ahli falsafah Britain, Francis Bacon (1561-1626) dalam The New Atlantis.