Ironi, kediaman teres dua tingkat yang dikunjungi pagi itu akan ditinggalkan dalam tempoh sebulan mendatang. Isi rumahnya telah lebih 20 tahun tahun menetap di kediaman yang terletak di Ampang itu. Itulah ruang penyanyi tenar tahun 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin, isterinya, Effa dan anak bongsu yang kini berusia 23 tahun.

Pelantun hit Kisah Seorang Biduan itu menyambut saya dan jurugambar dengan bersemangat dan hangat.

Selepas diserang angin ahmar sewaktu tidur sekitar tiga tahun lalu di Perlis, kesihatan Dahlan mula bergoncang. Beliau pernah koma selama tiga minggu dan sempat dikhabarkan tidak panjang hayat oleh doktor. Namun, doktor hanya manusia, bukannya Allah yang mampu merubah segala sesuatu mengikut kehendak-Nya.

Hari ini selepas tiga tahun diserang angin ahmar serta mempunyai penyakit lain seperti buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis, tahap kesihatan Dahlan beransur pulih. Itu semua kerana disiplin dan beliau tidak pernah culas menjalani rutin terapi serta memakan ubat-ubatan.

Rutin hariannya juga bukan lagi memenuhi undangan nyanyian. Sebaliknya, Dahlan kini merupakan salah seorang pengunjung tetap beberapa buah hospital. Bukan sekadar perlu menjalani terapi angin ahmar di Hospital Rehabilitasi Cheras, Dahlan juga menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan rawatan berkala di Hospital Kuala Lumpur.

Dua hingga tiga kali seminggu beliau perlu mendapatkan rawatan kesihatan di tiga hospital berbeza. Beliau juga wajib mengambil sebanyak 13 biji pil termasuk suplemen dan vitamin serta empat kali suntikan insulin setiap hari kerana penyakit kencing manis.

“Saya masih tidak boleh pakai baju sendiri. Saya masih banyak perlu menyusahkan isteri seperti sebelum ini,” katanya yang telah bernikah dengan penyanyi kelahiran Singapura itu selama 41 tahun.

Memanjangkan kisah tentang perpindahannya dari kediaman lama ke rumah baharu, faktanya ialah mereka yang mahu berpindah. Bukan dipaksa keluar oleh tuan rumah. Tanpa berselindung juga, pasangan suami-isteri yang cukup kompak dalam hal susah dan senang itu mengaku mereka tidak mampu membayar kadar sewa rumah RM1,100 sebulan. Pengorbanan harus dilakukan demi memberi keutamaan kepada kos sara hidup dan hal berkaitan kesihatan Dahlan.

Justeru, mereka berlapang dada apabila pihak Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), yang ditunjangi Presiden Datuk DJ Dave mendapatkan sebuah rumah daripada bantuan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak di PPR Seri Aman, Jinjang Utara.

Sendirian

Tegas pasangan itu, bukan empat orang anak mereka tidak mahu ‘menumpangkan’ ibu dan bapa itu menetap bersama. Sebaliknya, sejak dahulu, mereka sudah terbiasa tinggal berdua dan selesa menjalani kehidupan sendirian. Dahlan sendiri tidak betah berlama-lama di rumah anak. Atas alasan itu, mereka akan menetap di PPR yang disediakan.

“Besar hati saya kerana diberi rumah. Pada dasarnya saya boleh berjalan dan bergerak, tapi saya perlu pergi ke beberapa hospital yang berlainan dalam seminggu. Perbelanjaan seperti bukit kalau ditarah semakin susut, jadi kami agak khuatir. Walaupun agak berat hati kerana jauh, tapi saya rasa sayang untuk tidak mengambil kediaman tersebut. Pengorbanan ini mampu menjimatkan kos kami,” ujar Dahlan tanpa berselindung.

Ditanya apakah keperluan seorang Dahlan yang kini kurang sihat untuk memenuhi undangan nyanyian, pantas penyanyi yang mengaku kerap tergelincir tempo jika menyanyi secara minus one kerana masalah pendengaran yang merosot itu memberitahu ia mampu membahagiakan jiwanya.

Luah Dahlan: “Keluar menyanyi dan bertemu rakan-rakan menjadi cara saya memulihkan semula kewarasan saya. Ia umpama satu terapi buat saya kerana dapat bertemu dan bertukar pendapat dengan rakan-rakan lain.

“Faktanya juga usia saya sudah 78 tahun. Sudah tidak ada syarikat mahu mengambil saya. Saya tidak boleh bekerja. Jalan pun sudah tidak betul. Jadi, menjadi penyanyi memang untuk kelangsungan hidup dan kecintaan terhadap bidang ini.”

Bicara kami berlangsung melewati sejam. Walaupun ada kalanya beliau sesekali perlu mengambil ruang untuk berehat, namun banyak hal yang dikongsikan Dahlan termasuk pengetahuannya yang cukup luas dalam bidang hiburan. Sebelum pulang, soalan terakhir yang saya lontar kepadanya disambut penuh antusias. Saya bertanya tentang harapannya jika beliau pulih kelak.

“Kalau sekarang saya boleh berlari, saya mahu pergi main bola!” ujar Dahlan yang mengaku begitu rindu dengan sukan tersebut selain memaklumkan masih ligat bermain bola sehingga berusia 65 tahun.