Ia juga merupakan mod pengangkutan alternatif yang memudahkan pengguna khasnya ketika di luar waktu puncak mahupun di kawasan-kawasan yang mana akses perkhidmatan bas dan rel adalah terhad atau di luar liputan.

Dengan penampilan dan penjenamaan yang tersendiri dan menonjol berbanding kenderaan persendirian ketika di jalan raya, tidak disangkal lagi bahawa perkhidmatan tersebut umpama wakil atau imej sebuah bandar dan negara.

Sungguhpun demikian, reputasi perkhidmatan teksi di negara ini telah dicemari oleh tabiat sebilangan pemandu teksi tempatan yang tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan amalan penggiat sektor perkhidmatan.

Ia termasuk keengganan untuk menggunakan meter, masalah mengenakan kadar tambang yang berlebihan dan memilih sama ada untuk mengambil penumpang berdasarkan destinasi yang diminta pengguna tempatan mahupun pelancongan asing.

Antara aduan lain yang sering kedengaran berkenaan perkhidmatan itu adalah masalah frekuensi perkhidmatan di lokasi-lokasi tertentu mahupun ketika waktu puncak dan cuaca buruk, keadaan kenderaan yang uzur, tidak bersih dan diselenggara dengan baik.

Bagaimanapun, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), Dr. Harlina Suzana Jaafar berkata, tamparan hebat dan persaingan yang dibawakan oleh perkhidmatan e-hailing seharusnya dilihat sebagai pemangkin dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan teksi negara.

“Sekiranya ia kekal di takuk lama, dikhuatiri perkhidmatan teksi akan ketinggalan dan tenggelam dalam persaingan, malah salah satu kelebihan teksi ialah penjenamaan yang dibawanya berbanding perkhidmatan e-hailing.

“Imej ini penting dalam mempromosikan perkhidmatan serta negara, manakala perkhidmatan e-hailing merupakan kenderaan pemilik yang beroperasi dan ia tidak jelas kelihatan di jalan kecuali setelah panggilan dibuat pengguna dan pengesahan pengambilan dibuat pemandu.

“Oleh itu, pelbagai latihan berkaitan dan kemahiran penggunaan teknologi perlu dilaksanakan oleh pihak kawal selia terhadap penggiat industri terutamanya pemandu teksi dalam usaha untuk meningkatkan aras mutu perkhidmatan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Peranan penting yang dimainkan perkhidmatan teksi juga dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan blog najibrazak.com. Beliau turut menyentuh keutamaan kerajaan dalam mentransformasi sektor pengangkutan awam.

Terbaharu, pada 13 April lalu, Najib di hadapan lebih 10,000 pemandu teksi mengumumkan satu lagi bantuan khas untuk pemandu teksi, Kad Bantuan 1Malaysia yang mengandungi nilai RM800 untuk penggunaan pengisian bahan bakar kenderaan di stesen-stesen Petronas di seluruh negara, sekali gus memanfaat 67,000 pemandu teksi yang ada pada masa ini.

Jadi, perkhidmatan teksi seharusnya tidak hanya dilihat memberi manfaat kepada pengguna, sebaliknya turut membuka peluang pendapatan selain memberi ruang kepada individu yang ingin terus memberi khidmat selagi daya demi manfaat semua.

Sekiranya ia kekal di takuk lama, dikhuatiri perkhidmatan teksi akan ketinggalan dan tenggelam dalam persaingan, malah salah satu kelebihan teksi ialah penjenamaan yang dibawanya berbanding perkhidmatan e-hailing