Sebagai umat Islam, kemerdekaan negara tidak seharusnya dilihat sekadar pembebasan membentuk acuan sendiri tetapi juga pembebasan daripada cengkaman penjajah kuffar. Menakjubkan, bermula dari Portugis, Belanda, British dan Jepun, pegangan Islam pada era pengislaman Parameswara terus terpelihara sehingga diwariskan buat kita pada hari ini di Malaysia.

Berapa banyak wilayah Islam yang musnah setelah dijajah? Wilayah seperti Manila atau asalnya Fiamanillah (Kota Aman Lindungan Allah) di Filipina hancur menjadi kota yang murtad hasil penjajahan Sepanyol.

Seharusnya kita bersyukur kerana nikmat Islam itu masih dapat kita kecapi sehingga hari ini di bumi bertuah Malaysia.

Kemerdekaan ialah nikmat. Allah berfirman pada ayat 20 surah al-Maidah: “Dan ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya).”

Bumi Tanah Melayu dan Nusantara ialah bukti kepalsuan dakyah orientalis Barat bahawa Islam tersebar dengan mata pedang. Cahaya Islam datang ke Nusantara melalui para pedagang dan pendakwah Islam terutamanya dari Arab sejak kurun ke-13. Daripada kepercayaan Animisme dan agama-agama lain, hampir segenap Nusantara meliputi Indonesia, Tanah Melayu, Filipina dan selatan Indo-China mengalu-alukan Islam yang membawa keamanan dan rahmat ke seluruh alam.

Jika difikirkan, cukup mudah raja Melaka, Parameswara menerima dan memeluk Islam sebelum menukar namanya kepada Sultan Megat Iskandar Shah pada 1414. Lebih mengagumkan, pengislaman raja kemudian dituruti segenap Tanah Melayu sehingga menjadi pegangan yang ampuh tak termampu digugat penjajah.

Buku sejarah menulis, penjajahan imperialis Barat dari Eropah seperti Portugis, Sepanyol, British, Perancis dan Belanda ke Asia Tenggara adalah bermisikan 3G iaitu gold, glory, gospel yakni salah satunya bermotifkan memperluas pengaruh agama mereka. Dendam terhadap Islam dalam perang salib dibawa ke Nusantara.

Dalam penjajahan British, tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Datuk Maharajalela dan banyak lagi berjuang bukan sahaja kerana penindasan Inggeris tapi juga mempertahankan maruah bangsa dan agama kala cuba digugat.

Jika tidak kerana pemimpin terdahulu terutamanya Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berkeras untuk memasukkan klausa ‘Islam sebagai agama Persekutuan’ dalam perlembagaan kepada Suruhanjaya Reid yang pada asalnya ditolak, barang kali syiar Islam di negara ini tidak sekuat hari ini.

Dalam usaha mempertahankan kemerdekaan, para perajurit dan kesateria berjaya mengekang kemaraan fahaman komunisme di negara ini. Bagaimanalah nasib Islam di Malaysia hari ini andai dulu berjaya ditakluki ideologi komunisme yang pengasasnya berpegang dengan doktrin ‘agama itu ialah racun yang mengongkong pemikiran rakyat’?

Jika tidak kerana perjuangan panjang selama 446 tahun para wira dan nenek moyang kita mempertahankan agama, bangsa dan tanah air adakah hari ini kita seorang Muslim yang bebas melaksanakan tuntutan-Nya?

Bersyukur

Seperti yang disampaikan pendakwah, Datuk Badli Shah Alauddin dalam satu ceramah, umat Islam di negara ini perlu bersyukur dengan nikmat kemerdekaan kerana kekalnya keturunan hari ini dengan Islam.

“Kita sering baca sejarah kemerdekaan ini bermula dengan fasa Malayan Union, fahamilah bahawa usaha untuk merdeka telah bermula sejak tahun 1511 lagi apabila Portugis menjajah kita.

“Portugis menjajah 130 tahun, Belanda menjajah 183 tahun, British menjajah keseluruhan 129 tahun dan Jepun menjajah empat tahun, apakah datuk nenek kita, tok-tok guru dan para pembesar tidur? Tidak, siang malam mereka tidak jemu-jemu menentang penjajah.

“Misalnya, semasa peperangan menentang Belanda, ketika ditemui jenazah pejuang Almarhum Raja Haji Teluk Ketapang, di tangan kanannya sebuah kitab agama Dalail Khairat dan tangan kirinya memegang badik.

“Walaupun mereka tahu tidak boleh menyaksikan kejayaan itu tapi sekurang-kurangnya atas tindakan mereka, hari ini lima kali sehari kalimah Allahuakbar berkumandang di seluruh tanah air,” katanya.

Bumi Tanah Melayu dan Nusantara ialah bukti kepalsuan dakyah orientalis Barat bahawa Islam tersebar dengan mata pedang