Pengetahuan mengenai pengurusan kewangan juga mampu menghindarkan diri daripada terjerumus dalam skim-skim penipuan yang akhirnya akan merugikan pengguna itu sendiri selain terperangkap dalam hutang yang tidak dapat diselesaikan.

Laporan Keupayaan Kewangan dan Penggunaan Perkhidmatan Penasihat Kewangan di Malaysia yang diterbitkan Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) dan Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC) yang baru diterbitkan mendapati dalam aspek pengurusan aliran tunai, hampir 83.7 peratus responden membenarkan perbelanjaan melebihi daripada pendapatan bersih.

Kajian itu membabitkan 2,000 responden yang merangkumi empat kumpulan masyarakat iaitu kakitangan sektor awam, pekerja swasta, penduduk luar bandar dan tanah rancangan Felda serta belia yang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Ketua penyelidikannya, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, ia menunjukkan mereka berasakan tidak salah untuk berbelanja lebih, seterusnya mendedahkan trend yang membimbangkan dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Dengan anggapan seperti itu,  terdapat kecenderungan dalam kalangan individu untuk membentuk tabiat berbelanja secara berlebihan.

“Antara faktor yang menyebabkan mereka beranggapan sebegitu adalah kerana mereka berfikiran terdapat kemudahan kredit yang akan menyediakan dana tambahan bagi perbelanjaan tertentu termasuk pinjaman peribadi, pembelian kereta mahupun rumah,” katanya baru-baru ini.

Mohamad Fazli menambah, kebanyakan daripada mereka (93.5 peratus) bersetuju bahawa senarai membeli-belah dapat membantu mengawal perbelanjaan dan terdapat keperluan untuk menyimpan sebelum berbelanja.

“Namun, kajian turut mendedahkan kira-kira 31.6 peratus daripada mereka percaya dalam menikmati hidup pada waktu semasa tanpa keperluan persediaan persaraan.

“Malah, lebih mencemaskan apabila 43.8 peratus responden percaya mereka boleh bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kehidupan selepas bersara,” katanya.

Dalam laporan akhbar tahun lalu, KWSP menyatakan 70 peratus ahli yang mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun menghabiskan wang tersebut kurang daripada tempoh 10 tahun selepas bersara.

Ia jelas menunjukkan bahawa simpanan KWSP tidak mencukupi untuk menyara kehidupan dan keluar daripada garis kemiskinan selepas persaraan.

Aspek ini perlu diberi perhatian terutama apabila Jabatan Perangkaan menyatakan bahawa rakyat Malaysia dijangka boleh hidup sehingga 74.8 tahun pada tahun 2017 berbanding 74.3 tahun pada 2011.

Dari aspek pengurusan kewangan pula, sebahagian besar responden memaklumkan bahawa mereka mampu menguruskan wang dengan 70.3 peratus membuat rancangan perbelanjaan dan melunaskan bil pada masanya.

Memperkasakan diri terhadap aspek kewangan dari peringkat awal akan mampu menajamkan kemahiran dan keupayaan untuk membuat keputusan dalam kehidupan dan seterusnya mempertingkatkan kesejahteraan diri serta keluarga. Ia pasti memberi kesan positif terhadap kemakmuran ekonomi negara.