Sudah pasti mereka memerlukan tahap stamina yang ampuh.

Ini memberikan kelebihan kepada calon-calon muda yang mewarni pilihan raya umum kali ini.

Langkah menampilkan calon-calon muda yang rata-ratanya adalah muka baharu menjadi sandaran kepada Barisan Nasional (BN), Pas dan gabungan parti pembangkang untuk meraih sokongan pada pilihan raya umum yang paling sengit ini.

Trend ‘menjual’ calon-calon muda ini merupakan kesan daripada perubahan landskap politik tanah air terutamanya apabila kerajaan sendiri secara terbuka membenarkan golongan mahasiswa terlibat dalam politik.

Berbeza ketika zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, kebebasan mahasiswa untuk berpolitik menghadapi banyak kekangan.

Malah pihak parti pembangkang yang kini muncul dalam satu gabungan terpaksa mengalihkan tumpuan meraih sokongan golongan muda setelah mendapati generasi lama sukar menukar pendirian mereka yang kekal setia bersama BN.

Dalam hal ini, kemunculan tokoh muda dalam BN seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini ternyata memberikan kesan positif sejajar dengan wacana politik baharu yang lebih menekankan soal cabaran proses perkembangan ekonomi dan sosial budaya berasaskan teknologi maklumat yang begitu pantas.

Malah, parti pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) menampilkan anak muda seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, 36, melalui pendedahan awal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Selangor dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor pada penggal lalu. Pada PRU-14, beliau dicalonkan di kerusi Parlimen Setiawangsa.

Selain itu, kemunculan calon muda juga didorong daripada langkah parti politik menonjolkan anak-anak pemimpin parti seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut memberikan tempat kepada anak lelakinya, Muhammad Khalil bertanding di kerusi DUN Batu Burok, Terengganu.

Calon PKR daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26, turut menjadi taruhan di Parlimen Muar bagi menghadapi penyandang kerusi itu, Datuk Razali Ibrahim.

Bagi BN sendiri, calon-calon muda di bawah umur 35 tahun turut diberikan tempat seperti Shahril Hamdan, 32, (Parlimen Kuala Langat), Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi, 32, (Kota Bharu), Lee Yee Yuan, 28, (DUN Sekinchan) dan Imran Tamrin, 31, (DUN Sungai Panjang).

Chan Quin Er, 31, pula menggalas misi sukar di kerusi Parlimen Seputeh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah BN meletakkan calon-calon muda adalah selari dengan hasrat untuk meremajakan semula parti selain memupuk kepimpinan masa hadapan negara.

Melalui calon-calon muda tersebut, BN mempunyai ruang yang berkesan untuk menerangkan manifesto yang pertama kali dirangka khusus untuk generasi muda.

Terdapat lapan jaminan dalam manifesto BN khusus untuk orang muda antaranya jaminan pekerjaan dan latihan, jaminan pendapatan dan kemahiran, jaminan kemantapan ekonomi luar bandar serta jaminan bagi memudahkan para usahawan negara mendapatkan bantuan keusahawanan.

Manifesto

Calon BN Parlimen Kuala Langat, Shahril Hamdan berkata, keputusan parti memberikannya peluang sebagai calon membolehkan beliau mendekati golongan muda bagi menjawab segala kritikan parti pembangkang kepada kerajaan selama ini.

Sementara itu, calon BN kerusi DUN Teratai, Ben Liew Pok Boon, 42, turut memberikan fokus kepada keperluan serta kehendak golongan belia dalam manifesto yang dilancarkannya baru-baru ini.

Beliau berkata, manifestonya itu menjurus kepada jaminan orang muda iaitu pendidikan dan teknologi maklumat termasuk kemudahan akses internet selama 24 jam tanpa sekatan.

Bagaimanapun, sejauh mana calon muda mampu memberikan sentuhan sebenarnya bergantung kepada kesanggupan mereka untuk menyelesaikan masalah masyarakat selepas menang PRU-14 nanti.

Dalam keadaan situasi politik keterbukaan pada masa ini, setiap calon muda mempunyai peluang untuk menang.

Pendedahan awal yang diberikan kepada mereka boleh menjadi pengalaman berguna supaya parti tidak ketandusan pemimpin pada masa akan datang.