Aidiladha atau hari raya korban menuntut umat Islam menunaikan ibadah korban atau sembelihan haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing dan sebagainya.

Aidiladha juga mengingatkan kita kepada peristiwa-peristiwa korban dalam sirah para Nabi. Teragung sudah tentulah peristiwa Nabi Ibrahim as yang diperintah Allah untuk menyembelih anakandanya, Nabi Ismail sehingga ia bertukar menjadi seekor kibas.

Namun, usah juga kita lupakan peristiwa korban pertama di dunia yang melibatkan dua anak Nabi Adam. Daripada peristiwa itu juga, tersimpan erti pengorbanan sejati yang dapat diterapkan dalam kehidupan seharian insan.

Surah Al-Maidah ayat 27 merakamkan kisah itu: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.”

Diceritakan, apabila diperintahkan Allah kepada Nabi Adam supaya dua anaknya itu melakukan korban, Habil yang merupakan seorang penggembala kambing telah bersungguh-sungguh mentaati-Nya dengan mempersembahkan kambing yang paling sihat dan berkualiti terbaik yang dimilikinya. Qabil yang merupakan petani pula sekadar mempersembahkan hasil gandumnya yang busuk dan rosak.

Allah telah menerima korban Habil manakala korban Qabil tidak diterima.

Hikmah ibadah korban itu adalah sebagai bukti kesyukuran kita kepada Allah serta melatih diri agar sanggup berkorban demi Allah.

Sangat berharga

Dari sisi yang lain, ibadah korban itu juga mendidik kita bersedekah dan berkongsi rezeki yang juga merupakan satu pengorbanan.

Namun, berdasarkan kisah Habil dan Qabil itu, kita ketahui bahawa suatu pemberian itu amat dicintai Allah khususnya apabila melibatkan perkara yang sangat berharga atau disayangi insan.

Berapa ramai antara kita yang ringan bersedekah namun hanya memberikan perkara yang sudah tidak kita perlukan? Berapa ramai pula antara kita yang menderma, namun masih berkira-kira berapa banyak yang hendak disedekahkan? Justeru, di manakah letaknya pengorbanan?

Mungkin kerana itu juga, Allah berfirman dalam sebuah hadis qudsi: Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta orang miskin yang pemurah.

Rasulullah SAW bersabda: “Satu dirham melebihi 100,000 dirham.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana itu wahai Rasulullah?” Baginda menjelaskan: “Ada orang yang mempunyai harta yang sangat banyak, lalu ia mengambil 100,000 dirham untuk disedekahkan. Ada pula yang mempunyai harta hanya dua dirham, lalu ia sedekahkan satu dirham.”

Jelas di sini, bukan banyak mana harta yang diinfakkan itu yang paling besar ganjarannya di sisi Allah, namun sejauh mana pengorbanan yang dilakukan hamba-Nya dalam mengorbankan harta atau apa yang dimilikinya.

Sementara itu, pendakwah, Ustaz Muhammad Luqman Makhtar berkata, ibadah korban melatih diri untuk melakukan pengorbanan diri yang besar demi Allah berdasarkan simbolik Nabi Ismail sebagai suatu yang paling disayangi Nabi Ibrahim.

“Bayangkan, itulah anak selepas berpuluh-puluh tahun berdoa. Selepas itu kena duduk berjauhan pula. Apabila sudah besar jadi anak yang sangat baik. Pada saat kemuncak inilah, Allah perintah untuk korbankan Ismail,” katanya.

Tambahnya, ibadah korban juga mendidik umatnya untuk membantu mereka yang memerlukan dengan menyuburkan amalan bersedekah.

“Rasulullah juga pernah memberi arahan jangan sesiapa menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari. Ia perlu diagihkan. Maka tidak wajar jika sekadar melakukan sembelihan selepas itu simpan berkilo-kilo untuk stok sendiri berbulan-bulan, sedangkan sedikit sahaja yang disedekahkan,” katanya.