Hasilnya, enam orang memilih warna putih, empat warna biru, empat warna merah dan dua orang masing-masing memilih warna hijau, warna hitam dan warna kuning.Diterjemahkan ke dalam peratusan, hasil tinjauan pendapat itu ialah 30 peratus anggota kariah Surau Almawadah menggemari warna putih; 20 peratus memilih warna merah, 20 peratus warna biru dan 10 peratus masing-masing memilih warna-warna hijau, hitam dan kuning.

Persoalannya, bolehkah tinjauan pendapat menggunakan responden 20 orang itu diterjemahkan untuk mewakili pilihan warna anggota kariah Surau Almawadah atau malah penduduk Seksyen 7 Shah Alam? Apakah sampel kecil yang digunakan dalam tinjauan pendapat itu boleh dianggap representatif bagi mewakili pilihan warna penduduk yang jauh lebih besar pada peringkat daerah Shah Alam dan Selangor?

Tentu sekali tidak, kecuali barangkali ditambah bilangan respondennya menjadi 1,000, 5,000 atau malah 10,000 orang melampaui kariah Surau Almawadah. Dengan itu, barulah hasil tinjauan pendapat tersebut dapat mencerminkan realiti sebenar warna pilihan seluruh penduduk di Seksyen 7, daerah Shah Alam dan Selangor.

Kalau tinjauan pendapat itu ingin diperluaskan pada peringkat nasional, demografi sampelnya juga kena diperluaskan ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Hal ini dikatakan demikian kerana dapatan atau statistik yang dihasilkan oleh sebarang tinjauan pendapat hanya boleh dianggap berwibawa jika pemilihan sampelnya adalah representatif dan sekiranya metodologi kajian yang digunakan bersesuaian dengan tinjauan yang hendak dijalankan.

Jika tidak, rumusan tinjauan yang lazimnya dizahirkan dalam bentuk angka dan statistik supaya mudah difahami bagi tujuan mahu mempengaruhi khalayak berkait isu-isu tertentu yang mungkin kompleks atau abstrak, tidak akan dipercayai dan dicurigai ketepatan atau kesahihannya.

Tetapi hakikat bahawa tinjauan pendapat mempunyai kelemahan tidak pula menghalang pelbagai pihak terus melakukan kaedah mencungkil maklumat itu bagi tujuan pemasaran produk dan perkhidmatan, termasuk dalam dunia politik.

Hakikat itu barangkali ada kaitan dengan kelahiran tinjauan pendapat politik itu sendiri di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1824. Akhbar pertama yang menggunakan dapatan tinjauan pendapat sebagai sumber berita ialah The Aru Pennsylvanian pada pilihan raya presiden AS. Menggunakan dapatan survei pendapat yang masih dalam peringkat ‘bayi’ ketika itu, akhbar itu dengan tepat meramalkan kemenangan Andrew Jackson sebagai presiden yang menewaskan Quincy Adams dalam pilihan raya tersebut.

Pemilihan

Kepercayaan tinjauan pendapat meramalkan pemenang pilihan raya presiden di Amerika itu diperkukuhkan apabila The Literary Digest menggunakan hasil tinjauan pendapat dengan tepat untuk meramalkan pemilihan calon yang menang sebanyak lima kali berturut-turut iaitu Woodrow Wilson sebagai presiden pada 1916; Warren Harding pada 1920; Calvin Cooligde pada 1924, Herbert Hoover pada 1928 dan Franklin Roosevelt pada 1932.

Kemudian tampil pula tinjauan pendapat yang diusahakan oleh George Gallup, Louis Harris dan Elmo Roper yang secara tepat meramalkan kemenangan tiga kali berturut-turut Franklin D. Roosevelt sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 1936, 1940 dan 1944 sebelum had memegang jawatan tersebut dihadkan kepada dua penggal.

Sejak itu tinjauan pendapat menjadi salah satu kaedah yang diterima pakai secara meluas untuk meramalkan keputusan pilihan raya di negara Uncle Sam tersebut, di peringkat lokal dan nasional walaupun adakalanya kaedah tinjauan yang digunakan meleset seperti yang terjadi pada pemilihan presiden tahun 2016 yang meramalkan kemenangan selesa Hillary Clinton. Sebaliknya yang menang ialah Donald J. Trump yang langsung tidak diberi harapan dalam kebanyakan tinjauan pendapat.

Hari ini boleh dikatakan setiap negara, termasuk Malaysia, mempunyai entiti tinjauan pendapat masing-masing, baik yang beroperasi secara bebas, rasmi atau tidak rasmi atau bermotivasikan politik. Selain itu, kaedah firma-firma tinjauan pendapat tersebut mendapatkan maklumat turut berubah mengambil kira teknologi komunikasi terkini. Survei untuk mendapatkan maklumat daripada responden bukan sahaja dalam bentuk bersemuka seperti pada peringkat awalnya, tetapi melalui penggunaan telefon, e-mel dan Facebook.

Di negara ini, misalnya, pemimpin-pemimpin tertentu pembangkang, yang ingin tahu kedudukan mereka dalam kalangan pengundi membangunkan institusi-institusi khusus untuk melakukan tinjauan pendapat meramalkan keputusan PRU akan datang yang lazimnya menghasilkan angka-angka yang memihak dan memberi harapan positif kepada mereka.

Misalnya, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli melalui outfit tinjauan pendapatnya yang diberi nama Invoke minggu lalu meramalkan bahawa lima negeri akan dikuasai oleh pembangkang dalam PRU akan datang. Dapatan tinjauan pendapat yang menemu ramah 2,000 responden itu dianggap mengarut oleh para pemimpin kerajaan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula melakukan tinjauan pendapat menerusi Institut Darul Ehsannya yang diterajui oleh mantan seorang profesor di Universiti Malaya juga sering menghasilkan tinjauan pendapat yang mengatakan ada cahaya di hujung terowong bagi parti-parti pembangkang untuk berkuasa di Putrajaya pada PRU ke-14 nanti.Dapatan tinjauan pendapat institut itu tentunya juga ditolak oleh para pemimpin Barisan Nasional kerana keserongannya terhadap pihak pembangkang. Sebaliknya, Barisan Nasional mengatakan parti itu akan kembali memerintah dengan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.

Risikan

Pihak kerajaan barangkali tidak perlu menubuhkan entiti khusus untuk meninjau pandangan rakyat terhadapnya kerana ia mempunyai pelbagai agensi risikan untuk melakukan tugas mengumpul maklumat bagi pihaknya. Sekiranya kerajaan ingin mengetahui sejauh manakah popularitinya dalam kalangan pengundi ia boleh sahaja mendapatkan maklumat itu daripada Cawangan Khas PDRM atau Bahagian Perisikan ATM, Kementerian Pertahanan Malaysia.Agensi seperti KEMAS, Jabatan Penerangan Malaysia, Bahagian Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga diketahui menjalankan tinjauan pendapat dari masa ke masa mengenai populariti kerajaan dalam kalangan pengundi.

Tetapi sudah tentu dapatan tinjauan-tinjauan pendapat tersebut, baik yang dilakukan oleh pihak swasta atau agensi-agensi awam, hendaklah dinilai dan ditafsir secara bijaksana. Kecenderungan khalayak untuk menerima dapatan secara bulat-bulat dalam merangka strategi politik atau menolak secara membuta tuli segala dapatan yang tidak menguntungkan pihaknya bukanlah tindakan yang bijak.

Mungkin di balik dapatan tinjauan pendapat yang dianggap menyerong kepada pihak-pihak tertentu, ada kebenaran yang tersembunyi. Justeru umpama secubit garam apa-apa juga dapatan tinjauan pendapat hendaklah diterima dengan berhati-hati: menerimanya dengan sedikit keraguan, tetapi tidak pula menolaknya secara total. Apa-apa perasaan yang ada dalam hati dan minda pengundi adakalanya sukar diduga.

Keadaannya samalah seperti sikap ahli kariah Surau Almawadah dalam pemilihan warna kegemaran masing-masing. Sama ada pilihan yang dizahirkan secara terbuka itu benar-benar pilihan mereka atau sebaliknya sekadar menjawab pertanyaan yang diajukan, hanya mereka yang tahu.