Persoalan-persoalan tersebut disebabkan masyarakat kita memasuki ruang hedonisme jenama akibat globalisasi yang menuntut dihilangkan sempadan-sempadan antara negara sama ada dalam bentuk ekonomi, politik, sosial, budaya hingga pendidikan.

Konsep global tersebut mengarahkan semua umat manusia untuk terlibat jauh dalam sebuah peradaban baharu yang biasa disebut kampung global (global village). Kecenderungan masyarakat itu ditandai dengan tingginya tingkat interaksi antara manusia, pluralisme dan hedonisme jenama.

Pada era ini, menggunakan kereta Mercedes mungkin lebih berprestij berbanding dengan Proton V6. Ini kerana masyarakat dunia (pasti juga Malaysia) telah ditanam dengan hedonisme jenama yang menghubungkan kereta buatan Jerman itu dengan elitisme.

Analogi

Ada sebuah analogi yang menarik. Dalam mitologi Yunani, terdapat seorang lelaki bernama Erisychthon. Dia terkenal sebagai seorang saudagar kayu yang kaya-raya. Namun, dia seorang yang tamak dan hanya berfikir tentang keuntungan.

Kereta kuda lelaki itu kononnya diperbuat daripada emas. Begitu juga kediamannya yang dikatakan berlantaikan permata dan dinding-dinding berhiaskan intan. Baginya, emas, intan dan permata sahaja yang boleh mengisi kehidupannya kerana barangan tersebut merupakan simbol kekayaan, kemewahan dan kedudukan. Ironinya, masyarakat di sekitarnya menderita kemiskinan. 

Erisychthon juga mempunyai tanah yang sangat luas. Di kawasan miliknya terdapat sebatang pokok istimewa yang dicintai para dewa. Ranting-rantingnya bergantungan himpunan doa seluruh manusia.

Namun, lelaki itu tidak pernah mengambil tahu kedudukan pokok tersebut. Apa lagi seluruh keistimewaan yang ada padanya. Ini kerana ketamakan melebihi segala-galanya.

Bahkan, pada suatu hari, dia mengambil kapak untuk menebangnya setelah mengira keuntungan hasil menjual kayu pokok tersebut. Segala rayuan masyarakat tidak diendahkan. Kemewahan telah menggelapkan pandangan Erisychthon. 

Impaknya, para dewa telah mengutuknya kerana ketamakan tersebut. Dia akan didera rasa lapar yang tidak pernah penghujungnya. Kutukan itu pun terjadi. Dia mulai memakan semua simpanan makanannya. Tetapi tidak mampu mengatasi rasa laparnya. Lalu, dia memakan isteri dan anak-anaknya.

Akhirnya, tidak ada lagi yang boleh dimakan oleh Erisychthon kecuali memakan diri sendiri, dan terjadilah demikian. Kerakusan telah menyebabkan dia meninggal dunia dalam keadaan penuh kesakitan serta kehinaan.

Tamak

Ada dua kesimpulan dapat dibuat daripada kisah Erisychthon tersebut. Pertama, jangan terlalu tamak dan mesti mengambil kira aspek kesenjangan sosial, kemampuan ekonomi dan kepentingan masyarakat luas. Kedua, perlu mengambil kira sensitiviti, kesepakatan sosial dan persoalan moral dalam erti apakah kewajaran memiliki barangan mewah ketika masyarakat dihimpit oleh pelbagai isu ekonomi.

“Jurang dalam ekonomi, sosial mahupun politik masyarakat dunia kontemporari adalah disebabkan lemahnya hubungan komunikatif, rasional dan persoalan moral kelompok yang berkuasa.

“Golongan ini tidak meletakkan kesedaran pada subjek yang menyatakan segala bentuk pemikiran untuk menempatkan kenyataan, masyarakat mahupun alam sebagai objek,” tulis Jurgen Habermas dalam Moral Consciousness and Communicative Action (1983).

Habermas melihat kegagalan mengukuhkan kesedaran moral dan rasional akan menyebabkan sesebuah masyarakat gagal mewujudkan sebuah autonomi kolektif dan kedewasaan. Kesannya, akan muncul elit birokrasi yang tidak peka kepada isu rakyat atau semakin melebarnya jurang sosial akibat penguasaan ekonomi dan pemilikan kapital.

Isu yang sama turut dibahas secara mendalam oleh Alan Wood dan Ted Grant dalam In Defence of Marxism: Reason in Revolt yang melihat konflik terbesar masyarakat dunia selepas Perang Dunia Kedua adalah krisis moral.

Moral dalam konteks ini mengarah kepada melunturnya rasa nasionalisme, peningkatan hedonisme jenama dan isu-isu kapitalisme yang tidak lagi mengutamakan sensitiviti masyarakat kelas bawah atau rakyat jelata.

“Masyarakat dunia selepas berakhirnya perang tidak lagi berhadapan dengan kolonialisme tetapi kapitalisme dalam semua aspek kehidupan. Krisis ini bukan sekadar gejala ekonomi. Ia juga tercermin dalam spekulasi, korupsi, penyalahgunaan dadah dan egoisme.

“Paling dominan adalah krisis moral, budaya dan falsafah borjuis. Elit birokrasi pula semakin merasakan diri mereka berhak menentukan semua kebijaksanaan politik,” tulis Wood dan Grant.