Dengan kelonggaran yang diberikan, peminjam PTPTN yang patut membuat bayaran balik boleh ke luar negara, memperbaharui pasport dan membuat pasport baharu tanpa sebarang sekatan Jabatan Imigresen. Pelaksanaan mekanisme itu bagaimanapun diragui sesetengah pihak yang tidak yakin ia mampu mendisiplinkan peminjam khususnya yang liat membuat bayaran balik hutang pendidikan masing-masing.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Jurnal menemu bual Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan di pejabatnya baru-baru ini.

Apakah rasional di sebalik keputusan PH untuk menghapuskan senarai hitam perjalanan dalam kalangan peminjam PTPTN?

Apabila kerajaan PH menjanjikan bahawa senarai hitam perjalanan dihapuskan, ia tidak bermaksud semua bentuk senarai hitam akan dihapuskan. Isu sebenar menghapuskan senarai hitam perjalanan ini adalah mengambil kira kebebasan untuk bergerak iaitu satu perkara yang dilindungi di bawah Perlembagaan. Untuk itu, kebebasan bergerak rakyat di negara ini tidak boleh disekat semata-mata mereka tidak membayar hutang. Kalau itu konsepnya, maka bank pun boleh memperkenalkan mekanisme serupa namun bank yang menawarkan pinjaman jauh lebih banyak pun tidak mengamalkan pendekatan sedemikian. Justeru, kita berpandangan ia perlu dihapuskan selepas mengambil kira bahawa ia tidak adil buat pelajar yang berhutang hanya kerana mereka membuat pinjaman untuk meneruskan pengajian.

Bagaimana anda lihat mekanisme itu boleh memberi kesedaran kepada peminjam untuk terus membayar pinjaman masing-masing lebih-lebih lagi penilaian Central Credit Reference Information System (CCRIS) oleh institusi kewangan masih ada?

Walaupun senarai hitam Jabatan Imigresen telah dibatalkan dan tidak dilaksanakan, peminjam PTPTN dinasihatkan untuk terus menanam budaya suka membayar balik serta mengelakkan sikap suka menangguhkan pembayaran.

Bayaran balik yang konsisten akan membantu mengelakkan rekod buruk mereka dalam rekod kredit Bank Negara iaitu CCRIS. Ini kerana jika bayaran tidak dibuat oleh peminjam, maka pinjaman peribadi, perumahan, kereta dan seumpamanya sukar diperoleh memandangkan institusi kewangan menilai tahap kredit melalui CCRIS sebelum sebarang permohonan atau urusan pinjaman diluluskan. Bagi peminjam PTPTN yang membuat pembayaran baik dan konsisten, laporan kredit CCRIS akan membantu mereka memohon sebarang pinjaman baharu.

Memandangkan sudah tiada senarai hitam, bagaimana PTPTN mahu mendisiplinkan peminjam khususnya yang liat membayar hutang?

PTPTN sebenarnya telah melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memastikan bayaran balik pinjaman dilakukan oleh peminjam. Terdapat tiga strategi dalam usaha memastikan peminjam menunaikan tanggungjawab iaitu melalui kesedaran, disiplin dan penguatkuasaan. Pertama, PTPTN antara lain mengambil langkah mesra menerusi pelbagai kempen kesedaran, forum dan taklimat di institusi kerajaan dan swasta. Kedua adalah mendisiplinkan peminjam melalui penyenaraian peminjam dalam CCRIS. Rasional pelaksanaan ini bertujuan menggalakkan peminjam agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman yang telah diambil. Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menjejaskan tahap kepercayaan kredit peminjam PTPTN tersebut. Ketiga adalah penguatkuasaan untuk memastikan peminjam tidak memandang remeh untuk melunaskan sesuatu pinjaman. Di bawah tindakan penguatkuasaan, masih ada tindakan lain yang boleh diambil berdasarkan kepada perjanjian pinjaman yang ditandatangani termasuk tindakan perundangan seperti saman.

Bolehkah PTPTN mengenal pasti kumpulan peminjam yang benar-benar tidak mampu membuat pembayaran balik pembiayaan pendidikan mereka?

Saya pasti maklumat itu ada di peringkat PTPTN. Contohnya, berdasarkan maklumat dari segi kerajaan secara keseluruhan, kita boleh kenal pasti kumpulan yang tidak berkemampuan menerusi data e-kasih dan Bantuan Sara Hidup Rakyat. Maknanya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, kita kena pecahkan limitasi yang selamanya ini menghalang agensi-agensi di bawah setiap kementerian untuk berkongsi data antara satu sama lain. Kita sepatutnya bergerak sebagai satu kerajaan untuk membolehkan data penting dikongsi bersama. Apabila data dikongsi, maka kita boleh mewujudkan mekanisme untuk mengenal pasti siapa yang berkemampuan dan tidak.

Kutipan pinjaman pada Mei lepas menurun kepada RM200.45 juta berbanding purata kutipan sebelum ini. Perkara ini diakui menjadi cabaran kepada pentadbiran PTPTN. Bagaimana anda sebagai pengerusi baharu mendepani cabaran tersebut?

Secara kandid, kutipan ini mula menurun sejak Januari tahun ini apabila PH menyebut bahawa ada perubahan yang kita akan buat dalam PTPTN. Kemungkinan ada peminjam yang sudah berhenti bayar dari awal kerana menjangkakan PH menang. Sepatutnya ia tidak berlaku kerana walaupun kemenangan menyebelahi PH, orang ramai kena sedar bahawa dasar masih tidak berubah.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa dasar sedia ada masih berterusan, jadi mereka yang tidak bayar diseru membuat pembayaran balik PTPTN kerana perbuatan tidak membayar hutang itu salah. Juga perlu saya tegaskan bahawa perubahan ini bukan boleh berlaku dalam satu malam. Ia mengambil masa kerana ada peraturan dan prosedur sedia ada yang perlu diubah terlebih dahulu. Justeru, rakyat kena faham bahawa selagi mana pengumuman mengenai dasar baharu belum dibuat, maka dasar lama masih berterusan.

Selain itu, sebagai Pengerusi PTPTN baharu, saya melihat bahawa cabaran paling serius adalah memastikan 330,426 peminjam yang tidak pernah membayar balik membabitkan pinjaman sebanyak RM2.6 bilion ini diharap memulakan bayaran balik pinjaman mereka dalam jumlah paling minimum setiap bulan. PTPTN juga perlu mengenal pasti apakah latar belakang kewangan mereka sehingga bayaran tidak dilakukan walau sesen pun.

Apakah pembaharuan yang ingin dilakukan tuan terhadap PTPTN dan harapan pada masa akan datang?

Selepas 20 tahun penubuhan PTPTN, saya melihat bahawa peranannya sebagai agensi pembiaya utama negara perlu diperluas iaitu dengan menerajui kesemua pinjaman pendidikan di Malaysia termasuklah pinjaman pelajaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) supaya pengurusan lebih tersusun dan tidak berlaku pertindihan yang mnyebabkan boleh berlaku pembaziran dalam kerajaan. Sekiranya ia boleh direalisasikan, PTPTN mampu menjadi entiti unik dalam negara.

Selain itu, harapan saya adalah kita tidak mahu apabila pelajar menamatkan pengajian, mereka dibelenggu hutang. Oleh itu kita ingin terapkan dalam minda masyarakat bahawa penabungan pendidikan sejak awal itu amat penting kerana perancangan simpanan akan lebih menguntungkan berbanding berhutang.