Penilaian tersebut mengkategorikan kebebasan media kepada dua ekstrem iaitu paling bebas dan kurang bebas. Dari segi penarafan, status negara ini berada di tengah-tengah iaitu tidak terlalu bebas dan tidak pula terlalu terkongkong.

Pada PFI 2017, Malaysia ditempatkan pada kedudukan 144, berbanding 146 pada tahun 2016, 147 pada 2015 dan 2014, 145 pada 2013, 122 pada 2012, 141 pada 2011/10. Lihat jadual di bawah untuk prestasi Malaysia dalam PFI antara 2002 hingga 2017.

Berdasarkan lapan kayu ukur yang digunakan RWB, sebenarnya terdapat kemajuan yang membanggakan terhadap kebebasan media di negara ini antara tahun 2002 hingga 2017.

Markah paling rendah yang pernah kita terima ialah 22.25 peratus pada 2006 dan yang paling tinggi pula ialah pada tahun 2011 iaitu 56 peratus. Pada tahun 2017, markah penilaian yang diberi kepada Malaysia ialah 46.89 peratus.

Jadi bukan mustahil untuk Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam indeks tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berazam untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking RWB.

Pada satu majlis makan tengah hari bersama editor-editor kanan media serta para pemengang permit pelbagai penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 minggu lalu, beliau menjanjikan tiga langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia itu.

Pertama, pihaknya akan melakukan pertemuan dengan RWB untuk menjelaskan keadaan sebenar kebebasan media yang dinikmati oleh golongan wartawan dan khalayak di Malaysia.

Dalam membuat penilaian tahunannya, RWB tidak hanya bergantung kepada maklum balas sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media yang adakalanya bersikap antikerajaan. Maklum balas tersebut selama ini dipercayai mendorong kepada penilaian rendah RWB terhadap kebebasan media di negara ini.

Kedua, beliau juga mengumumkan untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan memansuhkan mana-mana elemen yang dianggap mengongkong dalam akta tersebut setelah mengadakan rundingan dengan para pengamal media.

Ketiga, dalam upaya untuk membebaskan industri berita/kewartawanan daripada kawalan kerajaan beliau memperbaharui janji yang telah dinyatakan beberapa kali oleh kerajaan sebelum ini, untuk mewujudkan mekanisme kawalan kendiri kebebasan media melalui penubuhan Majlis Media Malaysia.

Berdasarkan nada ucapan beliau, Zahid serius dalam mengotakan apa-apa juga janji yang dibuat. KPI Zahid untuk kementeriannya adalah untuk meletakkan Malaysia pada tahap 1.

Penilaian RWB dalam menentukan kedudukan kebebasan media di sesebuah negara diasaskan kepada sebilangan petunjuk yang jelas dan pelbagai pihak iaitu NGO dan organisasi serta pemilik media, para wartawan, aktivis kewartawan dan pihak berkuasa boleh memainkan peranan.

Antara indikator utama utama RWB dalam menilai kekebasan media sesebuah negara ialah:

• Pluralisme atau kepelbagaian media yang terdapat di sesebuah negara;

• Kebebasan media;

• Kerangka undang-undang meliputi: hukuman-hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengamal; monopoli negara terhadap media tertentu; bagaimana media dikawal selia dan tahap kebebasan media awam;

• Ketelusan;

• Infrastruktur industri media;

• Halangan terhadap pengaliran bebas dalam alam maya;

• Keganasan terhadap para wartawan, netizen dan pembantu-pembantu media.

Berdasarkan senarai petunjuk RWB tersebut, Zahid mungkin boleh meniru negara-negara maju yang tidak mewajibkan permit KDN untuk menerbitkan akhbar dan majalah.

Cukup sekadar pihak yang ingin berbuat demikian mendaftarkan syarikat perniagaan masing-masing dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Biarlah hidup mati sesuatu penerbitan ditentukan oleh pasaran, bukan tangan ghaib kerajaan.

Sekiranya penerbitan yang dikendalikan melakukan kesalahan, undang-undang seperti Akta Fitnah 1957, Akta Berita Palsu yang sedang dalam proses penggubalan serta pelbagai akta lain termasuk Kanun Keseksaan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan boleh digunakan untuk mengheret mereka ke muka pengadilan dan menghukum mereka.

Penubuhan Majlis Media Malaysia, atau apa-apa juga nama yang diberi kepadanya akan membolehkan berlaku penghijrahan kawalan kepada pemain dalam industri media, berita dan kewartawanan itu sendiri.

Para pemain itulah yang akan menentukan kebebasan yang ingin dianuti oleh media di negara ini.

Sekiranya mekanisme kawalan kendiri itu menjadi kenyataan dan para pemilik media tidak mengamalkan kawalan dan dasar editorial yang berpartisan dari segi politik dan ideologi, pihak luar tidak lagi boleh secara celupar menuduh media kita berada di bawah telunjuk kerajaan.

Jika itulah keadaannya, maka RWB tiada pilihan kecuali memberi penarafan yang lebih tinggi kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar yang mereka keluarkan pada setiap awal tahun.

Jika tidak, RWB hanya memalukan diri sendiri dan akan tampil sebagai entiti yang tidak bertanggungjawab. Elok sahaja ia berhenti daripada mengeluarkan penarafan tahunan kebebasan media serta-merta!

Dalam membuat penilaian tahunannya, RWB tidak hanya bergantung kepada maklum balas sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media yang adakalanya bersikap anti-kerajaan