ADA dua elemen yang tidak boleh diketepikan dalam perjalanan hidup manusia iaitu tarikh dan ingatan.

Kedua-duanya bermula sejak lahir sehingga berhentinya nafas seseorang manusia itu.

Antara kedua-dua titik awal dan akhir itu, ia melibatkan tarikh dan memori atau kenangan tertentu.

Tarikh dapat ditakrifkan sebagai satu perubahan waktu dan penanda kepada perjalanan masa.

Ia diukur dengan saat, minit, jam, hari, tahun, dekad, abad dan alaf. Setiap kategori itu mengandungi peristiwa, konflik, polemik dan fenomena dalam pelbagai aspek.

Berdasarkan Kamus Dewan, ingatan pula merujuk kepada daya fikiran dan kesedaran seseorang yang muncul terhadap sesuatu peristiwa mahupun kejadian yang pernah diketahui, difahami serta dipelajari.

Sejarawan Perancis, Fernand Braudel (1902-1985) membahagikan pengertian tarikh sesuatu peristiwa adalah berdasarkan waktu geografi, sosial dan individu. Namun, manusia tidak pernah tahu secara tepat erti satu perjalanan waktu dan implikasi kepada mereka.

Ketidaktahuan itu disebabkan oleh sikap manusia yang enggan meletakkan ingatan tentang sesuatu peristiwa sebagai tindakan. Sebaliknya, mereka meletakkannya sebagai sebuah epistemologi (kebenaran) ilmu yang mengandungi persepsi, imaginasi dan pemahaman, sama ada individu mahupun kolektif.

Ia bermaksud sebahagian besar manusia tidak mempelajari atau cuba memahami makna dan pengajaran daripada sesuatu peristiwa. Mereka lebih cenderung melihat kebenaran tentang sebab dan akibat sesuatu peristiwa yang dialami, tanpa ada usaha mengambil pengajaran daripadanya.

“Ingatan sebenarnya dapat memunculkan pengetahuan tentang peristiwa-peristiwa lampau yang membentuk dua jenis hubungan dengan masa lalu. Pertama adalah hubungan pengetahuan dan yang kedua adalah tindakan.

“Kedua-dua bentuk hubungan ini muncul kerana ingatan merupakan jalan untuk melakukan segala hal, bukan hanya dengan kata-kata tetapi fikiran kita,” tulis pemikir Perancis, Paul Ricoeur dalam bukunya Oneself as Another (1992).

Ricoeur menyimpulkan ingatan terhadap sesuatu peristiwa dengan menggunakan fikiran akan membolehkan manusia atau sistem sosial membaiki kesilapan masa lalu. Dengan erti kata lain, tujuan sesuatu ingatan adalah untuk mempelajari kelemahan dan kesilapan yang pernah dilalui atau dilakukan.

Beliau turut mengemukakan tiga jenis pendekatan terhadap ingatan sosial supaya masyarakat mampu memasuki persoalan etika ingatan iaitu patologi-terapetik, pragmatik dan pendekatan etika-politik.

Pendekatan patologi-terapetik memerlukan perhatian yang khusus kerana di sinilah penyalahgunaan ingatan sering berlaku pada sesuatu yang kita sebut kelukaan atau tragedi sejarah yang berlaku dalam sesuatu bangsa serta negara.

Contoh terbaik pendekatan patologi-terapatik seperti yang dikemukakan oleh Ricouer dalam sejarah Malaysia ialah Peristiwa 13 Mei 1969. Ia adalah satu tragedi perkauman yang cukup diingati tetapi tidak ramai yang mengambil pengajaran daripadanya.

Sebenarnya, Rocoeur bukanlah individu pertama yang melihat perkara ini. Jauh sebelumnya, Plato dalam tulisannya Sophist (360SM) telah membicarakan secara meluas tentang seni mimesis (mimetike techne). Ia merupakan sebuah proses peniruan dan wujud dalam diri setiap manusia sehingga proses peniruan ini juga menjadi proses terciptanya budaya.

Setelah Plato, dunia mencatatkan sejarah panjang tentang ars memoria (seni ingatan) yang merupakan satu teknik pendidikan mengenai cara mengingatkan peristiwa masa lalu. Muncul beberapa pemikir dan ahli falsafah seperti Frederich Nietzsche yang membicarakan konsep ingatan ini dengan cukup terperinci.

Beliau dalam bahagian kedua bukunya, Untimely Meditation (1876) yang bertajuk On the Advantage and Disadvantage of History of Life misalnya membicarakan konsep ingatan tersebut daripada perspektif falsafah.

Pandangan Nietzsche itu cukup menarik kerana beliau meletakkan sesuatu peristiwa masa lalu bukan dalam ruang ingatan semata-mata tetapi memperlakukan sejarah sebagai satu etika dan pembentukan nilai-nilai moral seseorang atau sesuatu bangsa.

Pelopor aliran psikoanalisis, Sigmund Freud turut melontarkan pandangan yang cukup menarik dalam memperkatakan etika ingatan itu. Beliau menjelaskan, manusia akan berhadapan dengan masalah psikoanalitik jiks mereka gagal memahami sesuatu peristiwa masa lalu.

Ada tulisan pendek yang ditulis Freud mengenai kenyataan ini iaitu Remembering, Repetition and Working Through yang merupakan bahagian daripada kumpulan tulisan Metapsychology (1914) yang dapat digunakan menyokong kenyataan tersebut.

Freud mengemukakan pandangan daripada perspektif psikoanalisis, bahawa sebuah kegagalan dalam perkembangan perubatan psikoanalitik sekiranya pesakit terus mengulangi pelbagai simptom kegagalan psikologi masa lalu mereka.

Rencana kedua adalah Mourning and Melancholia. Freud membezakan dukacita dan melankolik (melancholia). Beliau mengupas tentang pengertian dukacita yang wujud akibat daripada objek-objek cinta yang mungkin masalah peribadi dan abstrak misalnya tanah air dan negara bangsa.

Dalam tulisan yang mengulas pendapat Freud tersebut, Ricoeur dalam Time and Narrative (1988) berpendapat, kegagalan keluar daripada melankolik akan menyebabkan sesuatu bangsa gagal membina kekuatan identiti mereka. Apalagi jika ia merupakan sebuah masyarakat yang majmuk.

Ini kerana ada komponen lain yang merumitkan usaha mempertahankan identiti sesuatu bangsa termasuk Malaysia iaitu pandangan sempit tentang etnik, bahasa serta ketaksuban ideologi politik.

Di sinilah terletak erti penting mengingati dan merenungi peristiwa serta tarikh masa lalu untuk menyelami makna bagi membina masa depan. Ia penting untuk mempelajari kejadian daripada karakter traumatik dan luka sejarah.

Begitu juga dengan Peristiwa 13 Mei. Ia adalah sebuah luka sejarah atau tragedi hitam dalam hubungan antara kaum yang perlu diingati. Ia bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi menyembuh luka masa lalu demi keharmonian kini serta masa depan tanah air.

Sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-55 (16 September) ini, terfikirkah kita untuk berusaha membina satu sistem kenegaraan, kebudayaan dan hubungan sosial yang lebih jujur, bertoleransi dan bersedia mempelajari ingatan masa lalu terutama Peristiwa 13 Mei 1969?

l Dr. Azman Ismail ialah Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).