Roda politik bergerak pantas selepas PRU-14. Perdana Menteri baharu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah dan memulakan kerja-kerja untuk memulihkan negara daripada kerosakan yang disifatkan berlaku dengan berleluasa semasa Malaysia di bawah pemerintahan BN dan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apa yang berlaku selepas 9 Mei 2018 adalah satu fenomena baharu dalam politik Malaysia.

Perubahan dan peralihan kuasa terjadi dengan aman tanpa wujud sebarang ketegangan. Drama politik hanya seketika sebelum Tun Mahathir dapat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di depan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Malaysia selepas 9 Mei 2018 menjadi model negara demokrasi yang dihormati dunia. Ia berjaya menguruskan perkelahian politiknya menerusi peti undi secara aman dan mentransformasikan situasi sebelum PRU-14 menjadi politik baharu yang stabil, sekurang-kurangnya dari segi luaran.

Sungguhpun selepas sembilan hari pilihan raya berakhir senarai penuh menteri Kabinet belum dimuktamadkan, adalah jelas bahawa berdasarkan respons penyokong Pakatan Harapan dan komen-komen pemimpin pembangkang BN dan Pas, masing-masing mengharapkan zaman peralihan politik ini berjalan dengan lancar.

Pakatan Harapan perlu membuktikan kemampuannya sebagai kerajaan kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Permainan politik

Bagaimanapun, permainan politik ini membawa kesan kepada banyak pihak daripada cara bisnes dijalankan, aktiviti pasaran saham, jawatan awam lantikan politik, kedudukan peneraju syarikat-syarikat milik kerajaan, lobi-melobi untuk pengagihan kekayaan dan banyak lagi.

Syarikat seperti MyEG yang tersenarai di Bursa Malaysia, misalnya, mengalami kejatuhan harga saham yang tidak terbayangkan sebelum ini. Harga sahamnya merudum hingga nilai permodalannya jatuh sehingga RM2 bilion dalam tempoh lima hari lalu.

Sebelum PRU-14, nilai keseluruhan pasaran saham MyEG ialah RM6.7 bilion.

Kenapa syarikat seperti MyEG, yang terlibat dalam memberikan  perkhidmatan elektronik untuk kerajaan, hilang keyakinan pelabur ekoran keputusan PRU-14 amat menarik untuk dikaji.

Perkembangan ini menunjukkan proses pembetulan dalam politik dan ekonomi Malaysia akan memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk reda. Proses itu akan mengambil masa.

Apa yang terjadi kepada MyEG itu akan juga memberi tempias kepada sektor-sektor lain dalam ekonomi dan kehidupan, sosiobudaya, agama dan arah haluan pembangunan fizikal.

Minggu ini baru minggu pertama proses peralihan di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Ia menjanjikan manifesto untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik, dan memberi jaminan kepada kebebasan dan kehidupan  yang lebih makmur berbanding Malaysia di bawah BN.

Peluang dan ruang perlu diberikan kepada Tun Mahathir dan pasukannya.

Pada masa yang sama, dua parti pembangkang yang besar iaitu BN dan Pas,  harus memainkan peranan sebagai check and balance kepada politik baru ini.

Hakikat bahawa BN dan Pas memenangi hampir 50 peratus undi popular (mendapat sokongan kira-kira 6.22 juta undi daripada 12.2 juta rakyat yang keluar mengundi) dan memperoleh 97 kerusi di Parlimen menunjukkan Pakatan Harapan yang menang tidak menguasai segalanya, dan keruntuhan sokongan kepada blok pembangkang bukanlah keruntuhan yang ranap sepenuhnya.

Pakatan Harapan terpaksa berdepan dengan blok pembangkang yang tidak kecil bilangannya.

Kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu disumbangkan oleh penghormatan rakyat kepada Tun Mahathir dan juga hilangnya kepercayaan sebahagian rakyat kepada Datuk Seri Najib yang kini terpaksa menempuh proses siasatan dan pendakwaan undang-undang yang panjang.