Memiliki kulit bertona cerah tidak semestinya anda beruntung kerana kulit gelap juga mempunyai kelebihannya dari sudut kesihatan. Gelapnya warna kulit bererti anda dilengkapi suatu pelindung.

Sebenarnya, tidak kira apa jua warna kulit, kesemuanya mempunyai kebaikan dan kekurangannya.

Individu berkulit gelap juga mempunyai pesona kecantikan yang tersendiri. Berapa ramai supermodel wanita dan selebriti antarabangsa tersohor berkulit hitam seperti Naomi Campbell, Tyra Banks, Halle Barry, Beyonce dan lain-lain yang kuat pengaruhnya.

Masih ramai juga yang tertawan dengan kecantikan Ratu Cantik Universe 2011, Leila Lopes dari Angola yang menewaskan rata-ratanya wanita berkulit cerah.

Abaikan soal kecantikan kerana soal kesihatan tidak kurang menarik untuk diulas.

Pada 2016, kajian University of California, San Francisco (UCSF), Amerika Syarikat mendapati kulit lebih gelap adalah lebih ‘kebal’.

Kajian tersebut dilakukan oleh sekumpulan pengkaji diketuai profesor dermatologi UCSF, Peter Elias.

“Hasil kajian kami di makmal mendapati kulit gelap jauh lebih bagus dari segi kefungsiannya termasuk keupayaan sebagai pelindung kehilangan air pada tubuh dan ketahanan melawan kuman,” kata Elias sepertimana yang disiarkan dalam American Journal of Physical Anthropology.

Kelebihan menampung kehilangan air dari tubuh itu mungkin menyebabkan individu berkulit gelap sering kelihatan lebih ‘bersinar’ dan bermaya.

Tona kulit yang gelap menandakan kandungan melanin yang tinggi dan ini menjadi pelindung daripada sinar suria yang berbahaya lalu mengurangkan risiko kanser kulit.

Jurnal New Scientist pada 2001 melaporkan terdapat kajian mendapati kulit gelap berupaya melawan penyakit. Pengkaji yang merupakan pakar biologi bebas dari Australia, 
Dr. James Mackintosh berkata, individu kulit gelap turut mempunyai kandungan sel melanin yang banyak di tempat yang tidak terdedah kepada pancaran matahari seperti di tekak dan rongga hidung.

Pelindung

Melanin dalam tubuh serangga memainkan peranan penting sebagai pelindung daripada serangan penyakit dan Mackintosh mengeluarkan teori bahawa peranan sama turut dimainkan oleh melanin dalam tubuh manusia.

Menurut pakar astetik tempatan, Dr. Aris Fadzillah Mazlan, terdapat enam jenis warna kulit manusia yang diklasifikasikan sebagai jenis satu sehingga enam.

“Jenis satu ialah kulit putih, jenis dua ialah kulit seperti penduduk Mediterranean, jenis tiga ialah kulit seperti orang Cina, jenis empat ialah kulit seperti orang Melayu, jenis lima ialah kulit seperti orang India dan jenis enam kulit orang Afrika.

“Lebih gelap kulit seseorang itu lebih banyak kandungan melanin. Melanin bertindak sebagai ‘payung’ yang melindungi kulit daripada sinar ultraviolet UVA dan UVB.

“UVB merupakan sinar yang boleh menyebabkan selaran matahari (sunburn) dan kanser kulit manakala UVA menyebabkan penuaan.

“Mereka yang berkulit jenis satu hingga tiga mudah diserang selaran matahari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Begitu pun, Aris Fadzillah menegaskan, bagi apa jua tona warna kulit, penggunaan pelindung suria (sunscreen) masih perlu dipraktikkan untuk mendapatkan perlindungan sebaiknya daripada sinaran matahari yang berbahaya.

Aris Fadzillah menambah, kelebihan individu berkulit gelap ialah wajah mereka tidak kelihatan dimamah usia dan kurang berdepan masalah kulit berkedut atau tompok-tompok penuaan.

“Kulit jenis empat hingga enam mengalami proses penuaan yang agak lambat. Sebab itu kita lihat, banyak selebriti berkulit hitam yang berusia antara 40 hingga 50 tahun masih cantik dan kelihatan muda,” katanya.

Aris berkata, mereka yang mahu menggunakan sebarang krim atau rawatan pencerahan perlulah mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Ini kerana selain cahaya matahari menjadi faktor kelaziman, kanser kulit juga boleh terjadi disebabkan bahan terlarang di dalam produk.

Seorang pakar daripada Institut Kanser Huntsman di Amerika Syarikat, Dr. Glen Bowen memberitahu dalam satu temu ramah televisyen di negara tersebut baru-baru ini bahawa kanser kulit adalah masalah epidemik.

“Saya boleh katakan terdapat sebilangan penduduk negara ini yang mati setiap jam kerana kanser kulit. Ia merupakan masalah epidemik, jadi anda benar-benar tidak boleh memandang ia masalah kecil,” ujarnya.