Sejak berabad lamanya juga pelaku seni melontar serta meletakkan banyak satira atau pemahaman politik dalam karya-karya mereka.

Ada yang melakukannya secara terang-terangan dan banyak yang memilih untuk diterjemahkan dalam karakter atau jalan cerita yang berlapik. Pendek kata, mengahwinkan seni dan politik bukan satu tabu kerana seni adalah politik dan para politikus memerlukan seni untuk memikat khalayak.

Di Hollywood, misalnya, sutradara tersohor Steven Spielberg pernah menghasilkan sebuah naskhah yang disifatkan begitu peribadi buat dirinya.

Beliau telah menghasilkan sebuah filem berdasarkan situasi pada perang dunia kedua berjudul Schindler’ List.

Dihasilkan pada tahun 1993, Schindler’s List mengangkat latar cerita tentang orang Yahudi yang tertindas dengan sekitar enam juta dibunuh sewaktu era pemerintahan rejim Nazi.

Spielberg yang kini berusia 71 tahun sendiri merupakan seorang Yahudi dan beliau mengaku mempunyai ideologi serta sudut pandang politik terhadap naskhah yang dihasilkan dalam bentuk hitam putih tersebut.

“Saya dilahirkan bukan sekadar untuk membuat filem, tetapi sebagai pemberitahu tentang perkara yang benar terutama buat generasi akan datang,” katanya tentang naskhah yang merupakan adaptasi daripada novel tulisan novelis Australia, Thomas Keneally, Schindler’s Ark.

Revolusi

Jika kebanyakan pelaku seni dunia memilih menterjemahkan pandangan politik mereka secara terang-terangan dalam karya yang dihasilkan, di Malaysia pula menggunakan pendekatan yang lebih sopan.

Antara sutradara tempatan yang dikaitkan kerap menyelitkan kritikan sosial dalam karyanya ialah Mamat Khalid.

Sekadar menyebut beberapa karya termasuk Lang Buana, Zombie Kampung Pisang dan Apokalips X, Mamat mewujudkan banyak karakter yang disifatkan mempunyai kaitan dengan senario politik negara termasuk soal korupsi atau ketidakadilan dalam menjalankan amanah masing-masing.

Dalam temu bualnya bersama akhbar sisipan Pancaindera pada tahun 2014, Mamat menyifatkan dirinya hanya seorang pengarah yang suka menyelitkan satira kehidupan termasuk politik, tetapi beliau bukanlah seorang politikus untuk bercakap tentang dunia tersebut.

Mengambil peribahasa Confucius yang berbunyi, biar raja jadi raja, menteri jadi menteri, bapa jadi bapa dan anak jadi anak, beliau tidak mahu mengulas panjang tentang dunia politik.

“Kalau ikutkan, kepala saya ini lebih politikus tapi saya seorang pengarah, bukan ahli politik. Jadi bukan bidang saya untuk cakap pasal hal politik,” katanya dalam temu bual tersebut.

Sebuah lagi naskhah terkini yang berjaya mencuri perhatian khalayak kerana popularitinya adalah Pok Ya Cong Codei.

Diarahkan oleh seniman prolifik Sabri Yunus, banyak penonton biasa ikut serta menonton naskhah fenomena itu kerana ‘terpedaya’ dengan bunyi kata Cong Codei yang merujuk kepada ejaan Hotel Concorde. Bagi mereka, sebutan itu lucu kerana seorang lelaki dari kampung yang tidak tahu berbahasa Inggeris gagal menyebut bunyi hotel tersebut dengan betul. Ironi, naskhah itu diisi padu dengan pelbagai satira dan Sabri ‘membelasah’ banyak perkara yang terjadi di dalam negara serta kehidupan termasuk isu korupsi, kuasa, puak dan ketidaktelusan sistem pentadbiran.

Jika sutradara menyalurkan ideologi dan bobrok politik dalam naskhah arahan mereka, muzik turut menjadi medium buat pengkarya meluahkan rasa mereka terhadap situasi politik negara.

Kumpulan Coldplay, misalnya menghasilkan lagu berjudul Politik yang terkandung dalam album of A Rush of Blood to the Head sejurus insiden 9/11.

Menurut mereka, lagu tersebut adalah sebuah refleks tentang dunia yang perlu disedari oleh khalayak.

Reformasi dan revolusi serta pemikiran kritis juga tidak asing dalam kalangan seniman tempatan.

Kumpulan Kembara yang diasaskan oleh Datuk M. Nasir telah menyalurkan fahaman serta memuntahkan kritikan sosialnya terhadap masyarakat serta atmosfera sekeliling menerusi karya-karya yang dihasilkan bersama tangan magis milik A. Ali dan S Amin Shahab.

Masalah rakyat

M. Nasir bebas menyentuh segenap hal yang perlu didepani oleh ‘pihak atasan’ termasuk permasalahan rakyat marhein menerusi lagu-lagu yang disifatkan berbentuk puisi dan rakyat.

Antara yang paling dekat untuk dikaitkan dengan kritikan sosial dan suasana rakyat pada sekitar era 
1980-an ialah Bos No. 13, Ekspress Rakyat, Senandung Buruh Kasar, Duit dan Kolar Biru.

Begitu seperti dikejar momok, ada segelintir pihak yang panas punggung apabila pemuzik menghasilkan sebuah lagu yang dilihat mampu mengganggu gugat keharmonian negara.

Itu yang terjadi kepada kumpulan Bunkface pada tahun 2011 apabila lagu mereka, Panik, digam stesen radio RTM kerana terdapat penggunaan perkataan reformasi yang dianggap sensitif serta seperti mempunyai agenda politik tersendiri.

Hal itu seperti relevan dengan kenyataan milik ahli falsafah tersohor, Plato.

Dalam satu kenyataannya tentang muzik dan politik, Plato mendefinisikan bahawa muzik boleh menjadi begitu bahaya serta bukan sekadar barisan aksara dan melodi.

“Sebaliknya ia boleh menjadi sebuah medium yang menggerakkan revolusi dan penting dalam kehidupan manusia,” katanya.