Namun, ketika itu penetrasi internet dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih rendah iaitu sekitar dua juta sahaja menjadikan impaknya agak terbatas.

Selepas sedekad sehingga ke hari ini barulah kita dapat melihat bagaimana media sosial memainkan peranan penting sebagai medium kepada masyarakat sivil melontarkan suara, pandangan dan idealisme  berhubung situasi politik semasa.

Senario itu dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang juga dikenali sebagai ‘Pilihan Raya Internet’ yang menyaksikan banyak portal media persendirian meraih populariti dalam sekelip mata.

Impaknya semakin ketara pada PRU-13 dan mencapai kemuncak pada PRU-14 lepas. Kewujudan platform media sosial seperti Facebook dan Twitter serta aplikasi seperti WhatsApp tanpa disedari telah menjadi pencetus kekuatan bagi calon dan sesebuah parti politik.

Pengundi
Di pihak lain pula, platform media sosial telah mewujudkan pengundi digital dalam arena politik negara. Dalam konteks PRU-14, pengundi digital bukan menggunakan platform tersebut sebagai medium membuang undi tetapi lebih kepada penyertaan hujahan politik secara dalam talian. 

Statistik keputusan PRU-14 menunjukkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pengundi yang menunaikan tanggungjawab pada 9 Mei terdiri daripada golongan muda. 

Jumlah pengundi yang mengundi buat kali pertama pula dianggarkan hampir 6.1 juta dan sebahagian besarnya merupakan pengguna media sosial yang aktif.

Faktor media sosial dalam menggerakkan perjalanan politik negara tidak harus dipandang remeh. Kepantasan sesuatu maklumat yang dimuat naik, tahap tular sesuatu isu serta jumlah capaian tertinggi yang diterima terhadap sesuatu isu yang dibincangkan dalam platform tersebut menyebabkan tugas seorang wakil rakyat pada hari ini menjadi semakin berat. Rakyat kini menjadi pemerhati dan media sosial menjadi senjata mereka untuk perdebatan politik dalam talian. 

PRU-14  juga menjadi contoh terbaik kebangkitan isu-isu yang diketengahkan oleh orang awam dan aktivis menerusi platform media sosial. Menariknya, ada antara isu tersebut turut meraih perhatian masyarakat antarabangsa.

Kejayaan golongan sivil dan aktivis dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak seharusnya membuka mata kalangan pemimpin atau wakil rakyat terlibat untuk mengaplikasikan media sosial sebagai instrumen komunikasi yang berkesan.

Apatah lagi dalam situasi sekarang, wakil rakyat mempunyai indeks prestasi utama (KPI) tersendiri di mana rakyat menjadi penilai sama ada pemimpin mereka menjalankan tanggungjawab atau tidak

Justeru, penggunaan media sosial sememangnya tidak dapat dielakkan.  Seperti mana aplikasi WhatsApp yang berkeupayaan menyampaikan maklumat pantas, begitu juga bagi tugas seseorang wakil rakyat. 

Begitupun, kaedah penyampaian maklumat terhadap rakyat juga perlu dititikberatkan. Misalnya, wakil rakyat perlu sentiasa mengemas kini status berhubung isu-isu pembangunan, maklumat daripada agensi-agensi berkaitan serta menjawab segala persoalan yang ditimbulkan secepat mungkin.

Jika ia sengaja dilengahkan, dikhuatiri ia akan menimbulkan persepsi negatif dan berkemungkinan menjadi tular di media sosial yang mana akan menjejaskan reputasi dan imej wakil rakyat itu sendiri. 

Spesifik
Mungkin sebelum ini kita pernah mendengar banyak masalah yang disuarakan oleh wakil rakyat tetapi dari sudut rakyat, kita tidak tahu sejauh mana komunikasi pemimpin terbabit dengan agensi-agensi berkaitan. Jadi,
apabila rakyat melihat sesuatu projek atau pembangunan itu tidak dapat dilaksanakan, ia mengundang persepsi wakil rakyat tersebut tidak menjalankan tugas dengan baik.

Hakikatnya, landskap politik tempatan kini berbeza berbanding lima hingga 10 tahun lalu. PRU-12 digelar tsunami politik oleh ahli akademik tempatan dan antarabangsa berikutan ramai aktivis ketika itu melaungkan agenda berhubung ketelusan pilihan raya dan kebajikan minoriti. 

Sementara itu, pada PRU-14, kita dapat melihat kematangan rakyat terhadap para aktivis berkenaan yang terlibat secara aktif di pentas politik.

Saya melihat kemunculan aktivis atau lebih sesuai digelar tokoh-tokoh rakyat ini mampu memberi impak kepada rakyat secara menyeluruh.

Jika kita imbas pergerakan golongan ini, ia lebih terarah dalam usaha membentuk sesuatu yang spesifik dan berkait rapat dengan rakyat. Mengapa isu-isu tersebut menjadi pilihan perjuangan mereka ialah kerana ia mampu menyentuh naluri rakyat dan gerakan itu bukannya baru berlaku tetapi sudah dapat disaksikan sejak PRU-12.

Pada hari ini, kepimpinan negara telah bertukar tangan dan sebagai rakyat, kita perlu memberi peluang kepada pucuk pimpinan baharu untuk melakar perubahan yang dikehendaki oleh majoriti.

Kita mahukan landskap politik yang sentiasa sihat menerusi penyertaan aktif rakyat dalam menentukan hala tuju negara. Ini kerana apabila para aktivis terlibat sudah berada di ambang pentadbiran, banyak perkara yang perlu diambil kira. Saya pernah menulis artikel berkaitan PRU-14 bertajuk Pilihan Raya Facebook baru-baru ini dan pemerhatian itu dibuat berdasarkan penglibatan khalayak yang bercakap soal politik di media sosial. 

Ia juga termasuk dalam kategori media sosial yang sukar ditapis dan disahkan kebenarannya sehingga menyebabkan pelbagai maklumat tidak benar disebarkan. 

Dalam soal ini, calon parti perlu bersedia menangkis tohmahan, dakwaan dan berita palsu dengan pantas serta berhemah. Justeru, ahli politik dan rakyat perlu proaktif dalam menilai setiap maklumat yang diterima itu betul dan jika tidak betul ia perlu dijawab dengan segera.

Selepas PRU-14, media sosial perlu dijadikan alat yang menyalurkan maklumat dan membalas segala berita yang disiarkan, sama ada benar atau tidak benar. 

Setiap berita perlu dijawab secepat mungkin kerana berita tidak benar ini apabila lambat dijawab akan menyebabkan rakyat percaya ia benar. Setiap ahli politik perlu mempunyai strategi dan peka pada setiap masa.