Kapsyen pada foto yang dimuatkan dalam akaun di laman sosial Instagram rasmi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi profil chedetofficial itu jelas sekali melontarkan mesej tersirat tentang kepentingan media sosial dalam rutin kehidupan manusia masa kini.

Impak keputusan mengejut Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Mahathir menumbangkan Barisan Nasional (BN) menerusi apa yang disifatkan sebagai kemunculan gelombang tsunami rakyat itu kini menyediakan cabaran baharu buat parti-parti politik di Malaysia.

Dunia politik negara terpaksa menerima hakikat bahawa media sosial kini merupakan aset penting dalam meneruskan kempen pilihan raya pada masa hadapan, khususnya pada PRU-15 menjelang tahun 2023. “Media sosial kini menjadi mulut, mata dan telinga untuk masyarakat bersuara dan mengekspresikan pendapat dengan lebih efektif.

“Ia akan memacu kaedah bagaimana parti-parti politik di negara ini mahu memenangi hati rakyat pada masa hadapan menerusi kempen-kempen politik yang diadakan kelak, khususnya pada PRU-15,” ujar pensyarah di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Ainuddin Wahid Abdul Wahab.

Menurut beliau, senario yang menyaksikan PH memenangi PRU-14 menunjukkan kemungkinan besar bahawa parti politik tersebut sukses dalam menggabungkan penggunaan teknologi media sosial sedia ada khususnya Facebook, Twitter, WhatsApp dan Instagram dengan teknologi data raya (Big Data) serta kecerdasan pintar (Artificial Intelligence) dalam proses berkempen secara berstrategi.

“Teknik berkempen berstrategi ini boleh dijalankan berdasarkan dapatan daripada proses analisis sentimen,” ujarnya.
Menggunakan data yang dikumpul melalui rangkaian media sosial, blog, forum dan juga soal selidik, analisis sentimen boleh digunakan untuk menentukan kecenderungan atau emosi seseorang terhadap sesuatu subjek.

Analisis sentimen

“Dengan itu, analisis sentimen digunakan pada PRU-14 sebagai asas utama bagi mengadakan kempen pilihan raya yang lebih berstrategi menggunakan medium dalam talian yang mempunyai capaian yang lebih pantas dan meluas berbanding sebelum ini menerusi media elektronik dan media cetak sedia ada.

Menggunakan dapatan daripada analisis sentimen, pengundi boleh diklasifikasikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan kecenderungan, umur dan juga faktor lain yang berkaitan. Berdasarkan kepada kumpulan yang berbeza itu, teknik dan isu yang ingin diketengahkan untuk berkempen juga boleh disesuaikan.

“Katalah individu A memberikan komen-komen menerusi media sosial miliknya yang jelas menyokong parti politik X, manakala individu B pula lebih kepada parti politik Y. Sebaliknya, individu C pula tidak menunjukkan kecenderungan menyokong mana-mana parti politik.

“Jadi sudah tentulah kempen pilihan raya yang dijalankan oleh parti politik X atau parti politik Y seharusnya  lebih memfokus kepada individu C yang dilihat cukup berpotensi untuk menambahkan bilangan undian terhadap parti politik tersebut,” jelasnya.
Fakta bahawa PH merupakan gabungan empat parti politik pembangkang pada PRU-14 iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membawa kepada satu nama iaitu Rafizi Ramli yang merupakan Naib Presiden PKR yang juga pengasas Invoke Malaysia (Invoke). 

Rafizi menerusi kenyataan akhbarnya baru-baru ini menegaskan bahawa kejayaan PH meraih kemenangan 42 daripada 44 kerusi Parlimen terpilih pada PRU-14 adalah hasil bantuan Invoke yang berfungsi sebagai jentera teknologi kempen pilihan raya dalam talian.

Menurutnya, ia dicapai menerusi kajian secara sistematik selama dua tahun melibatkan analisis data raya serta teknik pembelajaran mesin yang diperoleh dalam membantu menganalisis trend pengundi berdasarkan kaedah profil dan seterusnya membaca kecenderungan mereka untuk mengundi pada PRU-14.

Invoke ditubuhkan hasil gabungan kepakaran dalam teknik moden kempen pilihan raya yang menggunakan teknologi terkini menerusi penyasaran mikro, analisis data dan aplikasi digital. “Di sebalik kejayaan bersejarah tersebut, masih banyak yang ingin dicapai Invoke pada masa hadapan,” ujarnya.

Kenyataan Rafizi itu ternyata menyediakan cabaran buat parti-parti politik lain yang perlu bersaing dengan PH, khususnya BN, untuk turut menyediakan jentera teknologi kempen pilihan raya masing-masing pada masa akan datang yang lebih efektif dalam memenangi hati rakyat negara ini terutamanya menjelang PRU-15 kelak.