Kandungan video tersebut memetik beberapa situasi perbincangan beliau yang mempersoalkan kelayakan seorang pemimpin pembangkang berusia 93 tahun untuk menjadi Perdana Menteri dimanipulasi dengan baik selepas kemunculan mengejut pemimpin berkenaan pada pertengahan program.

Video yang dipercayai dihasilkan oleh penyokong pembangkang itu juga kerap kali menyindir pensyarah berkenaan menerusi visual-visual yang dipaparkan di samping berjaya mengundang perasaan simpati khalayak terhadap pemimpin mereka.

Hakikatnya, penggunaan media audio visual yang menggabungkan unsur suara dan gambar sudah wujud sejak televisyen diperkenalkan sekitar tahun 1920-an.

Dihasilkan dalam bentuk rakaman video dan filem, fungsinya lebih terarah sebagai medium hiburan kepada masyarakat.

Bagaimanapun, semasa Perang Dunia Kedua, media audio visual telah dijadikan alat propaganda negara-negara kuasa besar dunia untuk menyebarkan fahaman dan ideologi mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Suhaimee Saahar berkata, penghasilan media tersebut memerlukan objektif dan matlamat tertentu.

“Sesebuah video atau filem yang dihasilkan memberi impak dan keputusan yang berbeza mengikut kumpulan sasaran dan khalayak.

“Dalam konteks politik, mesej atau propaganda yang dirangka mestilah mampu menarik minat khalayak dan mempengaruhi mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Salah satu contoh terbaik, katanya, ialah video kempen politik bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Lyndon B. Johnson ketika bertanding merebut jawatan tersebut pada tahun 1964.

“Video kontroversi bertajuk Daisy itu memainkan sentimen perang nuklear dalam kalangan rakyat AS yang mana telah membawa kemenangan Johnson ketika menentang pencabarnya, Senator Barry Goldwater dari Arizona.

“Malah, kerajaan AS menerusi Holywood juga banyak menghasilkan video atau filem bercorak propaganda sebagai strategi perang saraf terhadap musuh-musuhnya.

“Antara yang popular ialah filem Rambo yang memaparkan perjuangan tentera AS membantu pejuang Mujahidin menentang Soviet Union semasa Perang Dingin,” ujarnya.

Jelasnya, penghasilan video atau filem berunsurkan propaganda boleh dilakukan dalam bentuk sinikal, humor atau penceritaan kisah-kisah kehidupan.

“Dalam isu pengundi hantu atau pengundi warga Bangladesh, terdapat banyak video seumpamanya di laman YouTube dipercayai direka oleh pihak-pihak tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan.

“Perkara ini perlu dipandang serius kerana propaganda yang dimainkan secara berterusan mampu menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, persaingan sengit dalam pilihan raya memaksa setiap parti yang bertanding mencipta strategi untuk mencari kelemahan lawan

“Penggunaan media audio visual adalah antara alatnya kerana ia lebih ringkas dan mudah difahami. Pada masa sama, kandungan video juga boleh dimanipulasi berbanding kenyataan bertulis atau artikel.

“Misalnya, video asal mungkin berdurasi 10 minit namun selepas disunting ia durasinya mungkin berubah kepada satu minit 30 saat sahaja.

“Lebih malang, sekiranya kandungan yang disunting itu telah ditokok tambah bertujuan untuk mengelirukan masyarakat yang mana akhirnya mengundang kepada penularan berita palsu dan fitnah.

“Sebab itu, Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 digubal untuk menghalang perkara tersebut daripada terus-menerus menjadi duri dalam daging kepada masyarakat,” katanya.

Dalam konteks di Malaysia, Zaid berkata, kelebihan dilihat lebih memihak kepada kerajaan yang menguasai keseluruhan media arus perdana.

Bagaimanapun, katanya, pakatan pembangkang yang berjaya menguasai beberapa negeri ketika ini juga sudah bijak.

Mereka kini mempunyai unit media di peringkat negeri selain unit media baharu yang mampu mempengaruhi sentimen pengundi terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ketika PRU-12 pada tahun 2008, kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) dilihat agak ketinggalan dalam menguasai media baharu berbanding pembangkang.

“Tentera siber pembangkang pula aktif menghasilkan artikel dan video yang memaparkan kelemahan BN sehingga menyebabkan berlakunya tsunami politik dalam kalangan pengundi.

“Keadaan itu berterusan pada PRU-13 yang dilihat antara prestasi BN terburuk sejak pilihan raya 1969.

“Bagaimanapun, menjelang PRU-14 situasinya bertambah positif kerana tentera siber BN dilihat semakin agresif dalam mematahkan serangan-serangan pembangkang,” ujarnya.

Bagi Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan, dalam era globalisasi pada masa ini, pihak yang menguasai teknologi dan komunikasi akan mendapat keuntungan politik.

“Ini yang berlaku pada PRU-12 dan PRU-13 apabila pembangkang berjaya mempengaruhi pengundi menerusi penghasilan pelbagai video propaganda yang dimainkan menerusi platform digital.

“Di pihak BN juga ada video yang dihasilkan ketika itu namun ia terlalu ‘lurus’ dan bersifat formal sehingga dianggap membosankan,” katanya.

Tambah Azmi, BN seharusnya menggunakan strategi dan pendekatan yang mampu menarik perhatian masyarakat khususnya kalangan generasi muda.

“Video-video yang dipaparkan khususnya dalam media sosial perlu lebih bersifat kreatif dan interaktif kerana sasaran utamanya adalah golongan berkenaan.

“Selain itu, beri juga tumpuan kepada golongan kelas pertengahan kerana kelompok ini paling signifikan dan memainkan peranan besar dalam landskap politik negara,” katanya.