PERJALANAN politik Mohamad Sabu atau Mat Sabu bermula kira-kira 40 tahun lalu selepas menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia pada 1975 sebelum menganggotai Pas pada tahun 1981.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau pernah merasai jatuh bangun dalam politik termasuk dua kali menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1984 hingga 1986 atas tuduhan terlibat dalam gerakan pelampau dan dari 1987 hingga 1989 di bawah Operasi Lalang gara-gara menimbulkan kekacauan akibat isu politik ketika itu.

Selepas bersama Pas selama lebih tiga dekad, Mohamad menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 16 September 2015 dan menjadi presiden pertama sebelum bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

Percaturan Ahli Parlimen Kota Raja itu dilihat membuahkah hasil. Tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu yang membolehkan PH membentuk kerajaan selepas memenangi 113 kerusi Parlimen secara tidak langsung menguntungkan Mohamad.

Meskipun sering dilabel sebagai ahli politik dengan pendekatan lapuk dan tidak memiliki kredibiliti pemimpin nasional, Mohamad berjaya membuktikan dirinya bukan sekadar pemanas pentas ceramah selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam barisan kabinet kerajaan PH.

Ikuti perkongsian Mohamad mengenai perjalanan politik dan portfolio barunya bersama wartawan Jurnal menerusi wawancara khas di Kementerian Pertahanan Kuala Lumpur baru-baru ini.

JURNAL: Portfolio sebagai Menteri Pertahanan dianggap sebagai tugas menteri kanan yang agak mencabar. Apa perasaan sebaik diumum perlu memegang jawatan itu?

MOHAMAD: Tidak dinafikan ia suatu alam yang baru bagi saya kerana kepercayaan yang diberi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memegang jawatan ini. Bagi saya, apa yang diketahui ada di Kementerian Pertahanan hanya dari sudut ketenteraan atau pertahanan secara umum, tetapi tanggungjawabnya diketahui meliputi aspek keselamatan negara dan perairan selain hubungan dengan negara jiran serta negara kuasa besar.

Semua perkara ini perlu diuruskan supaya mampu meletakkan Malaysia sebagai negara yang aman, neutral dan bersiap siaga dari segi keupayaan ketenteraan. Maksud saya bersiap siaga ini bukan untuk berperang tetapi bersedia dalam apa jua keadaan agar negara sentiasa berada dalam keadaan selamat. Itu tanggungjawab yang besar.

Jadi, seperti mana yang masyarakat tahu, hidup saya berkisarkan perjuangan parti dan politik jalanan, namun kini memegang tanggungjawab besar, justeru saya akan cuba pikul tanggungjawab ini dengan amanah dan penuh dedikasi.

Umum tahu YB melalui perjalanan politik yang panjang dan sepanjang tempoh itu, YB pernah menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selain dikenali sebagai antara pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan terdahulu. Melihat kembali apa yang pernah dilalui, bagaimana YB melihat pencapaian hingga berada di tahap sekarang?

MOHAMAD: Memang dahulu kita memberi pelbagai pandangan dan kritikan kepada kerajaan sebelum ini dan selepas menang dalam PRU-14, giliran kita untuk mentadbir dan memerintah negara. Sudah tentu suasana lain daripada pengkritik yang membangkang, sekarang kita seorang pelaksana dan pihak di sana pula menjadi pengkritik. Bagi saya semua menjalankan tanggungjawab membina negara.

Saya beri analogi ringkas seperti kita menonton filem dan mengkritiknya sama ada baik atau tidak. Kita cari di mana salah pelakon dan sebagainya tetapi apabila kita sendiri disuruh berlakon, ia boleh jadi satu tugas berat.

Sekarang kita diberi tanggungjawab dan cuba melaksanakan segala kritikan yang dibuat agar ia tidak berulang untuk orang lain pula mengkritik kita di atas isu yang pernah dikemukakan dahulu. Jadi, ini yang kita cuba usaha laksanakan sebaik mungkin untuk dipersembahkan kepada semua.

Masyarakat juga maklum bahawa YB pernah mengkritik Tun Mahathir sewaktu beliau bersama kerajaan sebelum ini, namun akhir-akhir ini YB dilihat seperti sudah berbaik-baik dengan beliau. Bagaimana YB menggambarkan hubungan tersebut?

MOHAMAD: Saya dan Tun Mahathir mula berbaik-baik kira-kira lapan bulan lalu sebelum PRU-14 lagi. Masa itu, kami sudah bersama-sama dalam beberapa siri ceramah membabitkan gabungan pembangkang sewaktu struktur awal Pakatan Harapan dibentuk. Semasa kami masih di peringkat perkenalan itulah, saya mengundang Tun Mahathir bersama isteri, Tun Siti Hasmah untuk datang ke rumah dan mereka sudi berbuat demikian. Ketika itu, memang saya masak sendiri juadah seperti daging goreng nampla dan nasi daging untuk santapan beliau.

Dek kerana pertemuan itu, gambar berkenaan kemudian diulang siar di media sosial dengan mengatakan bahawa Tun Mahathir datang ke rumah saya untuk bersahur, berbuka dan sebagainya sedangkan ia berlaku sekali itu sahaja. Sekarang ini memang banyak cerita berkaitan diri saya dibuat oleh orang yang tidak diketahui.

Di Kementerian Pertahanan, Setiausaha Akhbar saya akan beri kenyataan balas dari semasa ke semasa. Jadi berbalik kepada hubungan saya dan Tun Mahathir, buat masa ini ia hubungan yang erat kerana kami saling memerlukan dalam usaha menyelamatkan negara. Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan beliau dan menyokong kepimpinannya ketika ini demi mempertahankan maruah negara.

Adakah pengalaman politik masa lepas YB mempengaruhi dasar-dasar dalam menerajui kementerian ini?

MOHAMAD: Memang ada. Segala kritikan yang dibuat selama ini mempengaruhi diri saya. Saya melihat kalau ada perkara buruk, ia tidak akan berulang dan mesti berusaha mempertingkatkannya dari semasa ke semasa. Kita harus bersedia untuk membuat perubahan dengan mengekalkan perkara elok sedia ada. Bagi dasar baharu, ia akan lebih diperincikan selepas ini.

Pada pendapat YB, apakah kesilapan terbesar Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO sehingga kalah pada PRU-14 lalu?

MOHAMAD: Saya berpendapat kesilapan terbesar yang dibuat kerajaan BN adalah berkaitan integriti, masalah rasuah dan ekonomi. Bahkan siasatan di peringkat awal 1MDB sekarang ini pun memberi penemuan-penemuan yang mengejutkan, malah ia berlaku lebih daripada sangkaan rakyat terutama sekali pengkritik-pengkritik ekonomi. Tun Mahathir sendiri yang fokus dan sering membangkitkan keadaan ekonomi semasa serta bebanan kos sara hidup dalam setiap kempennya menyebabkan rakyat berani membuat perubahan.

Misalnya, rakyat melihat soal ketirisan, rasuah dan bayaran berlebihan daripada harga biasa itu sebagai perkara yang sudah lama tetapi kebelakangan ini, ia terlalu melampau terutama dalam kes 1MDB.

Memang penyelewengan itu sentiasa ada sejak dahulu tetapi menjelang PRU-14, ia adalah satu perkara serius dan besar. Rakyat yang terdedah kepada maklumat tidak boleh menerima lagi dan itu yang berlaku perubahan besar terutama di sebelah pantai barat Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak. Perubahan ini berlaku kerana keadaan digambarkan sebagai beyond repair.

Untuk naik berkuasa bukan mudah, tetapi mempertahankan kuasa itu jauh lebih sukar. Apakah yang PH harus lakukan?

MOHAMAD: Senario PRU-14 menunjukkan rakyat berani membuat perubahan dengan menukar pemerintah. Maka, pemerintah yang ada sekarang kena berjaga-jaga dan berwaspada. Bagi saya, kalau kerajaan PH buat perkara serupa yang dilakukan kerajaan BN sebelum ini, rakyat yang menentukan kuasa boleh membuat perubahan sama. Jadi, di samping kita berseronok dengan kemenangan itu, ia tetap menjadi peringatan kepada pihak yang menang.

YB pernah mempunyai pengalaman ditahan di bawah ISA dan sekarang memegang portfolio membabitkan keselamatan negara. Adakah YB fikir ISA perlu diwujudkan semula?

MOHAMAD: Dalam hidup ini, kita tidak ada proses membalas dendam tetapi soal keselamatan negara itu yang lebih penting. Kini, pelbagai undang-undang telah diwujudkan dan pada pandangan saya, ia mencukupi untuk menangani permasalahan dalam negara. Dengan undang-undang yang ada juga, kita boleh menjaga keselamatan, kecuali ada perkembangan mutakhir yang memerlukan berlakunya pindaan. Bagi saya, ISA telah berlalu dan saya yang melaluinya tidak mahu kena kepada orang lain. Jadi saya sebut sekali lagi, undang-undang yang ada sekarang mencukupi untuk menangani masalah negara.



Apakah perkara lain yang akan menjadi fokus YB sebagai Menteri Pertahanan?

MOHAMAD: Saya akan melihat dari sudut kebajikan anggota dan veteran ATM serta kakitangan awam kementerian ini sama ada boleh diperbaiki dan dipertingkatkan. Mereka tidak akan diabaikan dan perbincangan lebih teliti akan dilaksanakan bagi keperluan menjaga kebajikan mereka dalam jangka masa panjang.

Selain itu, saya mahu terus memperkasakan kempen untuk menggalakkan penglibatan kaum Cina dan India dalam profesion ketenteraan. Buat masa ini, sambutan kaum India menggalakkan tetapi daripada kaum Cina masih lagi di tahap rendah. Kempen berterusan perlu diusahakan melalui pimpinan pelbagai kaum dalam PH agar penyertaan masyarakat berlainan kaum seimbang dalam ATM.

Dalam aspek pemodenan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), adakah YB akan turut memberi fokus kepada perkara ini?

MOHAMAD: Soal pemodenan ini bergantung kepada kemampuan kewangan negara. Memang saya tekankan soal pemodenan dan segala bentuk peralatan yang ada dapat diguna pakai sebaik-baiknya. Jika satu-satu aset itu tidak kiralah kapal terbang, kapal atau apa sahaja yang terlalu uzur dan penyelenggaraan terlalu tinggi, semua itu akan dilihat dari semasa ke semasa. Aspek pemodenan aset ini adalah tanggungjawab penuh Panglima Angkatan Tentera (PAT). Saya di pihak menteri akan selalu berbincang dengan PAT tentang soal ini.

Apa visi dan misi untuk meningkatkan imej Kementerian Pertahanan?

MOHAMAD: Ada visi dan misi yang telah berjalan, cuma kita sentiasa menyediakan kementerian ini dalam keadaan siap siaga dan mampu menghadapi segala bentuk cabaran. Malaysia perlu berada di tahap itu dan kita tidak mahu sesuatu perkara yang dilihat boleh memperlekehkan negara. Kita ada kedaulatan dan kecekapan untuk menghadapi segala cabaran.

Minggu-minggu mendatang untuk YB menggalas portfolio sebagai Menteri Pertahanan pasti membuatkan jadual YB semakin padat dan sibuk. Apa yang YB gemar lakukan untuk mengurangkan tekanan?

MOHAMAD: Saya suka bergaul dengan semua orang. Saya gemar bercerita ketika bertemu kawan dan berborak perkara luar politik. Kalau ada kelapangan pula, saya suka memasak. Masak pun bukan menu sofistikated dan moden tetapi lebih kepada hidangan tradisional dan lauk kampung. Kalau masak hidangan moden, saya tidak begitu pandai.