Pada sidang akhbar itu, ada wartawan bertanya Anwar tentang masa depan politiknya. Wartawan itu bertanya adakah prospek Anwar telah berakhir dengan penyingkirannya daripada jawatan penting parti dan kerajaan yang disandangnya.

Kepada para penyokong Anwar, soalan itu menimbulkan keresahan kerana mereka percaya Anwar tetap mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam sidang akhbar yang penuh sesak dengan 200 pemberita itu, Anwar turut ditemani oleh dua rakan politiknya, iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO waktu itu, dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Presiden Pas.

Ekoran menunjukkan sokongan terbuka kepada Anwar menjelang penangkapannya dan perbicaraan kes di mahkamah, Zahid kemudian ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau ditangkap ketika melawat Sabah dan selepas bebas daripada tahanan tersebut, Zahid kemudian mengubah pendiriannya menyokong Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tempoh 20 tahun dalam politik berlalu seolah-olah sekelip mata.

Anwar terpaksa meringkuk dua kali dalam penjara atas dakwaan berkaitan jenayah seksual antara tahun 1998 dan 2018.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan Mahathir bergabung dengan Anwar dalam Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Anwar dibebaskan awal dan mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong dan dijanjikan selepas dua tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh, beliau akan menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Sama ada janji dan komitmen itu dapat dilaksanakan, hanya masa yang akan menentukannya.

Bagaimanapun, perjalanan sejarah politik itu menunjukkan memang benarlah kata bijak pandai bahawa politik adalah seni segala kemungkinan.

Peristiwa-peristiwa politik jika dianalisis dalam tempoh masa yang panjang memperlihatkan apa yang kita rasakan tiada prospek akhirnya terjelma sebagai sesuatu yang ajaib.

Begitu juga pada minggu ini apabila seorang ahli politik muda daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, banyak pihak melihat pelantikannya dengan mata terkejut.

Ketika sesetengah ahli politik lain terpaksa menunggu sehingga berusia 60 tahun sebelum dilantik menjadi menteri, Syed Saddiq, selepas menunjukkan kesetiaan dan kebolehannya kepada Mahathir, telah mendapat kepercayaan pada usia 25 tahun.

Syed Saddiq berpeluang merumuskan dasar untuk kementeriannya pada usia begitu muda yang memberikan inspirasi kepada ramai anak muda.

Soalnya, jika pada usia 25 tahun beliau telah menjadi menteri, mungkinkah Syed Saddiq dapat menjadi Perdana Menteri sebelum usianya 35 tahun?

Kita mungkin merasakan idea ini terlalu besar untuk Syed Saddiq, tetapi segala-galanya berkemungkinan.

Siapa sangka selepas 20 tahun dijatuhkan oleh Mahathir, Anwar kembali menjadi calon Perdana Menteri jika beliau dapat kembali semula ke Parlimen sebagai ahli Dewan Rakyat?

Siapa dapat meramalkan 15 tahun lalu Mahathir akan kembali ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri ketujuh pada usia 93 tahun?

Siapa yang berjaya meneka takdir Najib, anak Allahyarham Tun Razak Hussein, mengecapi nikmat menjadi Perdana Menteri antara tahun 2009 dan 2018, dan kemudian tersungkur dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018?

Pernahkah orang terfikir Zahid yang berada di rumah Anwar di Jalan Setiamurni, Bukit Damansara pada 3 September 1998, kemudian menjadi Presiden UMNO kelapan waktu UMNO menjadi pembangkang?

Sejarah politik dan masa depan ahli-ahli politik istimewa yang diangkat menjadi pemimpin sungguh misteri. Mereka mungkin tidak mengetahui betapa kompleksnya, atau mungkin begitu mudahnya, perancangan Allah untuk insan-insan terpilih.