Ketika menyampaikan pidato penerimaan anugerah tersebut (dalam bahasa Jepun), suara Oe bergetar dan tersekat-sekat. Nada suara beliau sebenarnya adalah rasa bangga terhadap kejayaannya mengetengahkan budaya, pemikiran dan bahasa Jepun dalam kesemua cerpen dan novelnya yang telah diiktiraf dunia melalui anugerah Nobel Kesusasteraan.

“Saya merupakan pengarang yang hidup dan dikelilingi oleh kepelbagaian serta kekayaan budaya Jepun yang memberi kesan yang cukup mendalam dalam pembinaan jati diri serta imej kepengarangan saya,” katanya sambil diiringi linangan air mata.

Oe, sama seperti Kawabata. Kedua-duanya lahir di tengah-tengah sebuah potret modenisasi Jepun yang berusia lebih 120 tahun yang diasaskan oleh Maharaja Meiji. Ia antara lain, membina peradaban Jepun moden berasaskan falsafah budaya, kesenian dan bahasa Jepun.

Beliau lahir pada 1935 dalam sebuah kepompong kebudayaan tradisional Jepun yang masih menebal sebelum negaranya terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua. Mendapat pendidikan awal di pulau Shikoku dan seterusnya pendidikan menengah di Matsuyama serta pendidikan tinggi di Universiti Tokyo dalam bidang kesusasteraan Perancis.

Kajian

Beliau meraih Ijazah Sarjana Muda dalam kajian mengenai tokoh sastera dan falsafah Perancis, Jean-Paul Satre serta Albert Camus. Novel pertama Oe ialah Memushiri Kouchi yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai Pluck The Buck and Destroy the Offspring (1958).

Ketika karya itu diterbitkan, pelbagai lapisan masyarakat Jepun berebut-rebut untuk membacanya. Hasilnya, kedai-kedai buku di negara itu terpaksa memohon cetakan tambahan bagi memenuhi pasaran. Novel tersebut menjadi satu fenomena baharu dalam kesusasteraan moden di negara itu.

Berapa jualan Memushiri Kouchi? Lebih tiga juta naskhah di Jepun (belum termasuk yang diterjemahkan ke bahasa asing). Begitu juga dengan beberapa karyanya yang lain. Misalnya, Hiroshima Nooto (1964) dan Sora No Kaibutsu Aguii (1964). Jumlah jualannya sangat luar biasa, melebihi dua juta naskhah.

Dalam sebuah tulisannya, Oe berkata, karya-karyanya kuat dan mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat Jepun kerana beliau menulis dalam bahasa ibunda dan dibaca oleh masyarakat kerana setiap cerita dan watak di dalamnya adalah tentang identiti mereka.

“Saya mengangkat tema-tema tentang kekerasan, jenayah seks dan jiwa anak-anak muda Jepun yang mulai kehilangan akar budaya selepas perang berakhir kerana pengaruh daripada budaya luar begitu kuat. Ini adalah realiti yang sedang dihadapi oleh masyarakat Jepun pada hari ini.

“Melalui novel dan cerpen, saya cuba membentuk kembali jiwa mereka supaya cintakan bahasa dan budaya Jepun. Jika kita meninggalkan kedua-dua ini, ia sangat berbahaya terhadap survival Jepun, biar pun kami kuat dan menguasai teknologi,” tulisnya.

Cuba kita putarkan dunia pengkaryaan Oe tersebut ke dalam skop kesusasteraan Melayu, khususnya jumlah pembaca dan jualan karya. Jurangnya seperti langit dengan bumi. Kenapa karya sastera berbahasa Melayu tidak mempunyai pembaca yang ramai? Mungkinkah kebanggaan kita terhadap bahasa Melayu sangat menipis?

Kita mempunyai ramai penulis berbakat sama ada mapan atau muda. Mereka mampu menawarkan karya dalam pelbagai tema, gaya atau pendekatan. Tetapi masalahnya rakyat kita tidak gemar membaca dalam bahasa Melayu seperti masyarakat Jepun atau negara-negara maju lain.

Lebih malang lagi, membaca karya berbahasa Melayu oleh segelintir rakyat negara ini dianggap sebagai sesuatu yang tidak berprestij dan tidak menguasai bahasa asing khususnya Inggeris.

Cabaran

“Cabaran terbesar ialah mengikis dan menghapuskan sesuatu yang telah diterima oleh masyarakat sebagai amalan seharian mereka sehingga membentuk perilaku-perilaku budaya sesebuah masyarakat,” tulis sejarawan Peter Gay dalam bukunya The Cultivation of Hatred: The Bourgeois Experience, Victoria to Freud (1993).

Gay berkesimpulan, setiap lapisan sosial akan membangunkan hegemoni kebudayaan baharu dengan tujuan mengatasi kebudayaan yang dianggap tidak lagi bersesuaian dengan keperluan kelompok mereka. ‘Kemenangan’ akan diperoleh selepas kelompok lain menerima budaya yang dikembangkan tersebut.

“Kebanggaan terhadap kelompok etnik dan kecemasan etnik dalam banyak hal tidak boleh saling dibezakan. Lama-kelamaan etnik atau kelompok yang tidak dominan terpaksa menerimanya menjadi satu sikap atau budaya mereka,” tambah Gay.

Di Malaysia, insan-insan sastera sering berada dalam dunia yang kecil dan tersendiri. Mereka berkarya dan berkomunikasi sesama kelompok sahaja. Alasannya cukup mudah, masyarakat kita meletakkan sastera berbahasa Melayu sebagai bidang yang terasing dan sama sekali terpisah daripada kepentingan sosioekonomi.

Impak daripada ‘keterasingan’ itu, ada segelintir masyarakat kita melihat sastera hanyalah untuk sastera. Tidak akan lebih dari itu. Apalagi jika berbicara tentang sumbangan mereka kepada negara.

Mungkin Oe lebih ‘beruntung’. Karya-karyanya disanjung dan dibaca hingga ke hari ini. Kita tidak pernah mengatakan sastera berbahasa Melayu sama sekali gagal. Buktinya, novel-novel remaja dan indie tetap mendapat sambutan. Tapi bagaimana kedudukan karya ini dalam aspek keilmuan, pemikiran dan medium pembinaan tamadun?

Jujurnya, dalam masyarakat kita terlalu sedikit yang menghargai sastera yang serius yang ditulis dalam bahasa Melayu. Tanggapan bahawa para pengarang dan insan seni merupakan manusia aneh, pelik, suka bersendirian atau anarkis, merupakan sikap yang terlalu sulit untuk dipecahkan!

Budaya popular tidak lagi mementingkan estetika, kesepakatan budaya dan nilai-nilai asal dalam masyarakat kerana asas perkembangannya ialah kapitalisme dan konsumerisme. Ekoran perkembangan tersebut secara meluas, ia disebut sebagai budaya global.

Adakah kesusasteraan Melayu hari ini turut terkena tempias globalisasi hingga berkembangnya budaya-budaya baharu turut mengikis rasa bangga masyarakat kita terhadap jati diri masing-masing? Jika benar, hipotesis yang dikemukakan oleh Gay dan penulis-penulis lain sedang benar-benar menjadi realiti!