Tumbangnya parti memerintah Barisan Nasional (BN) selepas mentadbir negara selama enam dekad, disusuli kebangkitan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jauh menyimpang daripada ramalan penganalisis politik.

Pelbagai olahan dilontarkan oleh pakar-pakar mengenai tsunami politik yang melanda Malaysia, namun sedikit tumpuan diberikan tentang peralihan kuasa di Malaysia yang berlaku secara aman, bebas, telus dan lancar tanpa keganasan, rusuhan mahupun campur tangan tentera.

Pilihan raya dan peralihan kuasa secara aman itu menjadi bukti bahawa amalan demokrasi di negara ini mencapai kematangannya, manakala rakyat bersedia menerima politik bipartisan pada masa hadapan.

Selain itu, peranan berkecuali yang dimainkan oleh institusi diraja dan komitmen polis serta tentera di samping kerjasama rakyat untuk tidak mencetuskan provokasi menjadi peneraju kepada peralihan kuasa yang aman.

Unggul

Malaysia unggul dalam aspek tersebut di samping Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.

Ini kerana peralihan kuasa terutamanya selepas dominasi sesebuah parti politik atau pemimpin yang begitu lama, tidak selalunya lancar, malah, dicemari rusuhan dan pergolakan politik. Perkara ini berlaku di Asia Tenggara dan beberapa rantau lain terutamanya Afrika dan Asia Barat.

Di Thailand, kerap kali kerajaan yang dipilih melalui proses demokrasi tidak mampu untuk bertahan lama sebelum ditumbangkan oleh angkatan tenteranya ekoran percanggahan antara aspirasi rakyat dan percaturan golongan elit. Polarisasi politik di negara jiran Malaysia itu terserlah dan menjadi antara punca Thailand mengharungi 11 rampasan kuasa dan tujuh cubaan rampasan kuasa oleh tentera sejak tahun 1932 sekali gus menjadikannya melalui lebih banyak rampasan kuasa berbanding mana-mana negara lain.

Di Indonesia, pengunduran orang kuatnya, Suharto pada tahun 1998 setelah memerintah negara selama 32 tahun, menyusul selepas rusuhan dan protes rakyat yang mengorbankan ratusan jiwa. Situasi serupa dilihat di Filipina semasa Presiden Ferdinand Marcos tumbang semasa gelombang kebangkitan rakyat pada 1986 selepas pemerintahannya membawa kepada kehancuran ekonomi negara.

Beralih ke benua Afrika, penganalisis politik, Julius Agbor dan John Mukum Mbaku menganggap peralihan kuasa di sebilangan negara di rantau itu kerap berdepan masalah berikutan pemimpinnya taksub untuk memegang kuasa seumur hidup dengan sebahagian lagi pemimpin menganggap kuasa adalah untuk diwarisi daripada bapa kepada anak dan zuriat seterusnya.

Antara pemimpin yang gilakan kuasa itu termasuk Omar Bongo (Gabon), Felix Houphouet Boigny (Cote d’Ivoire), Gnasssingbe Eyadema (Togo), Lansana Conté (Guinea) dan Laurent Desire Kabilla (Republik Demokratik Congo). Mereka kekal sebagai Presiden di negara masing-masing sehingga menemui ajal, manakala proses peralihan kuasa selepas itu disusuli keganasan politik kecuali di Gabon.

Bagaimanapun, tidak semua negara Afrika menyaksikan keganasan, rusuhan dan perang saudara dalam fasa transisi politik. Rakyat dan pemimpin di benua itu juga semakin matang dengan trend baharu peralihan kuasa secara aman dapat dilihat semasa peletakan jawatan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dan Perdana Menteri Ethiopia, Haile Mariam Desalgn. Kedua-dua pemimpin itu berundur ketika mereka tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Mereka lebih rela meletak jawatan daripada melihat pertumpahan darah berlaku.

Situasi lebih parah berlaku di Asia Barat. Felo kanan Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura, James M. Dorsey berkata, peralihan kuasa di rantau berkenaan beralih menjadi perang untuk mengekalkan kuasa politik.

Beliau meramalkan cubaan untuk terus menguasai politik oleh pemimpin-pemimpin di Asia Barat, tanpa menghiraukan aspirasi rakyat, merupakan resipi yang pasti akan membawa kepada lebih banyak konflik dan kejutan di rantau itu pada masa hadapan.

Sistem demokrasi yang telus dan imbangan kuasa antara institusi Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif seperti diamalkan di negara Barat dan Malaysia, memerlukan masa yang agak lama sebelum dapat dipraktikkan dengan lancar di negara-negara Asia Barat.

Usaha untuk mengekalkan pemerintahan autokratik, perseteruan Arab Saudi-Iran ditambah dengan doktrin AS yang membawa bencana, termasuk penjajahan ke atas Iraq pada 2003, mengakibatkan negara-negara di rantau itu bergolak dan terjerumus ke dalam kancah perang saudara berlarutan seperti yang berlaku di Syria, Libya serta Yemen. Kebangkitan kumpulan-kumpulan militan khususnya Daesh yang memporak-perandakan negara seperti Iraq dan Syria juga tidak membantu dalam memastikan peralihan politik yang aman.

Demokrasi

Faktor utama yang menentukan peralihan kuasa secara aman di negara-negara demokrasi melalui amalan pilihan raya adalah menghormati pilihan rakyat seperti yang diperkatakan oleh bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton: “Demokrasi bukan bermakna pilihan raya bagi memilih pemimpin sahaja tetapi merangkumi rakyat yang aktif, kebebasan akhbar dan institusi yang bertanggungjawab kepada rakyat dan melindungi kebebasan mereka secara adil dan saksama.”

Menghormati keputusan rakyat dapat memastikan pertukaran teraju kepimpinan dapat dilakukan dengan lancar tanpa impak negatif terhadap keselamatan dan ekonomi sesebuah negara. Bekas Presiden AS, Richard Nixon sedar akan perkara tersebut apabila beliau memilih untuk akur walaupun kalah tipis kepada John F. Kennedy pada pilihan raya 1960 dan didesak oleh penyokongnya supaya mencabar keputusan itu di mahkamah.

Namun, beliau enggan berbuat demikian dan berkata: “Dalam kempen kita, tidak kira bagaimana kuat kita berjuang, bagaimana tipis keputusan pilihan raya sekali pun, pihak yang kalah perlu menerima keputusan rakyat dan menyokong pihak yang menang.”