Mendasari semula ciri-ciri Malayan Union, ia memang boleh memporak-perandakan negara jika tidak dikekang. Kesedaran orang zaman dahulu sebenarnya telah menyelamatkan kita hari ini. 

Sejarah tertulis, penubuhannya mendapat tentangan besar-besaran. Secara umumnya, sistem politik baharu itu telah menukar taraf kedudukan Tanah Melayu sebagai negeri naungan kepada negeri jajahan British sepenuhnya dengan diketuai oleh Gabenor British. Ekoran pelaksanaan Malayan Union, orang Melayu bangkit kerana kuasa raja-raja Melayu terhapus, kerakyatan yang terlalu liberal (jus soli) dan paling tidak boleh diterima ialah sikap Sir Harold MacMichael yang mengancam Raja-raja Melayu.

Namun demikian, pentadbiran Malayan Union berjalan lebih kurang dua tahun (1946-1948). Beberapa Ordinan Malayan Union telah dikeluarkan. Ia turut dilengkapi dengan pasukan polis bagi memastikan undang-undang dan kesejahteraan Tanah Melayu terkawal.

Amarah yang berkecamuk dalam diri orang Melayu sangat luar biasa ketika itu. Mereka menentang Malayan Union dengan tiga cara. Pertama, Datuk Onn Ja’afar telah menulis surat kepada Utusan Melayu menyeru orang Melayu mengadakan kongres dan menubuhkan United Malays Organisation. Tidak cukup dengan itu, orang Melayu menyuarakan ketidakpuasan hati mereka mengenai Malayan Union  melalui akhbar seperti Majlis, Warta Negara termasuk Utusan Melayu. 

Tindakan orang Melayu secara kolektif nampaknya lebih berkesan. Mereka sepakat menganjurkan demonstrasi aman di Johor Bahru, Kota Bharu dan Alor Setar ketika Sir Harold MacMichael memperoleh tandatangan daripada Raja-Raja Melayu. Persatuan Melayu Terengganu dan Persatuan Kebangsaan Melayu Selangor dihidupkan bagi menentang Malayan Union termasuk menghantar telegram dan surat-surat bantahan ke Pejabat Tanah Jajahan di London.

Pada 1 hingga 4 Mac 1946, Kongres Melayu Pertama diadakan  dengan berjaya menyatupadukan orang Melayu termasuk raja-raja. Ribuan orang Melayu berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur menyatakan sokongan termasuk kanak-kanak. Pada kongres itu United Malays National Organisation atau UMNO ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Onn. 

Akhirnya berkat perjuangan penuh kesungguhan dalam kalangan rakyat, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani oleh Sir Edward Gent sebagai wakil kerajaan British dengan semua raja-raja Melayu termasuk dari Negeri-Negeri Selat pada 21 Januari 1948. Ia dibuat selepas British menyerah kalah gara-gara gagasan Malayan Union mendapat tentangan hebat.

Sesungguhnya, bala tentera atau senjata tidak diperlukan bagi menggagalkan Malayan Union. Hanya dengan perpaduan suara dan semangat rakyat dan dipayungi raja-raja Melayu berjaya mengatasi segala kesulitan demi mempertahankan tanah air daripada terus dikuasai penjajah.