Pengumuman tersebut dibuat selepas beliau melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan tiga menteri kanan dalam Kabinet iaitu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Majlis yang dibarisi lima tokoh terbilang itu berperanan untuk menasihati kerajaan berhubung hal ehwal ekonomi dan kewangan negara semasa tempoh peralihan mengikut kepakaran masing-masing.

Mereka terdiri daripada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; ahli perniagaan terkenal yang merupakan individu terkaya Malaysia, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram. Mungkin itu dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Majlis tersebut akan membantu membentuk polisi dan program untuk mencapai janji 100 hari yang dibuat oleh PH kepada rakyat dalam manifesto PRU-14.

Di bawah majlis tersebut terdapat dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Reformasi Institusi yang berperanan untuk memastikan perubahan ekonomi dapat berlangsung manakala Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditugaskan bagi menyelaraskan siasatan melintasi sektor bagi memastikan pelaksanaan undang-undang yang adil lagi saksama dan menasihatkan majlis itu dengan sewajarnya.

Dalam sidang akhbar pengumuman penubuhan majlis tersebut, Perdana Menteri berkata, tempoh jangka masa kewujudan majlis tersebut adalah 100 hari sahaja kerana ramai dalam kalangan pemimpin PH tidak mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan.

“Kami sedar ramai dalam kalangan kami tiada atau hanya ada sedikit pengalaman mentadbir kerajaan. Sudah tentu perlu ada pakar yang berpengalaman untuk membantu pentadbiran negara.

“Selain menasihati kerajaan, majlis ini akan mengkaji semula isu-isu selain menyediakan laporan kepada Kabinet untuk dibentangkan ke Parlimen,” ujarnya

Jemaah Menteri

Bagi barisan Kabinet selain Wan Azizah, Muhyiddin, Guan Eng dan Mohamad, Perdana Menteri turut melantik sembilan lagi wakil rakyat PH yang dipilih dalam PRU-14 untuk berkhidmat sebagai menteri di 13 kementerian.

Mereka ialah Dr. Maszlee Malik yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan; Rina Mohd. Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi); Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Anthony Loke Siew Fook (Menteri Pengangkutan).

Selain itu, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia; M. Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia); Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Dr. Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Barisan Kabinet awal tersebut telah mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Barisan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 25 jemaah menteri yang akan dilantik bagi melaksanakan urusan pentadbiran kerajaan PH.

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz menjelaskan perbezaan lantikan antara Majlis Penasihat Kerajaan dan Jemaah Menteri di negara ini.

Menurut Shamrahayu, barisan Jemaah Menteri adalah satu lantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sebagaimana kehendak Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Jemaah Menteri tersebut adalah mereka yang dipilih oleh rakyat dalam PRU dan antara tugas mereka adalah untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perjalanan fungsinya.

“Bagaimanapun, Majlis Penasihat Kerajaan adalah satu lantikan yang dibuat di bawah pentadbiran kerajaan PH dan ia tidak disebut dalam Perlembagaan.

Kepakaran

“Pada umumnya mereka ini (Ahli Majlis Penasihat Kerajaan) bukan yang dipilih oleh rakyat dalam PRU tetapi dipilih berasaskan kepada profesionalisme dan kepakaran masing-masing untuk membantu pentadbiran kerajaan PH,” ujarnya.

Beliau menambah, jemaah menteri juga tertakluk kepada kebertanggungjawaban kepada Parlimen mengikut Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sementara itu bagi majlis pula, kita tidak jelas tanggungjawab pentadbiran kerana kita tidak diberitahu mengenai akauntabiliti mereka.

“Kalau dari segi pentadbiran, majlis ini memberi nasihat kepada Jemaah Menteri, namun sekiranya nasihat yang diberikan tidak tepat kepada siapa kita akan letakkan kebertanggungjawaban itu?” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam satu kenyataan yang dipetik daripada sebuah portal menyifatkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan itu tidak berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mempersoalkan di bawah siapa Majlis Penasihat Kerajaan diletakkan.

Katanya, biarpun beliau bersetuju dengan peranan Majlis Penasihat Kerajaan, pihaknya melahirkan kerisauan sekiranya majlis tersebut akan berubah menjadi terlalu berkuasa.