Rozita hanya dijatuhkan hukuman berupa bon berkelakuan baik selama lima tahun sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin ekoran mendera seorang pembantu rumah Indonesia, Suyanti Sutrinso, 19.

Hukuman berkenaan disifatkan sebagai terlalu ringan oleh sesetengah pihak jika dibandingkan dengan pencabulan hak kemanusiaan yang dilakukan Rozita terhadap Suyanti tanpa setitik perasaan belas kasihan.

Bayangkan, bagaimana perasaan seorang anak gadis yang merantau ke negara orang bagi mencari sinar kehidupan baharu demi mengubah nasib keluarga terpaksa menanggung penderitaan ekoran sikap tidak bertamadun seorang insan bergelar majikan.

Jika dilihat pada kecederaan yang dialami Suyanti seperti lebam teruk di bawah bahagian mata selain pecah bibir menerusi gambar yang tular di laman media, perlakuan Rozita disifatkan terlalu kejam.

Bagaimanapun, tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan pada dua tahun lalu akhirnya berbalas apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun terhadap Rozita kelmarin.

Melihat kepada situasi ini, kes penderaan amah perlu diatasi segera kerana ia bukan sahaja mencabuli hak seseorang manusia malah mengundang kepada keretakan hubungan diplomatik antara negara serantau.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, kajian psikologi menunjukkan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang menjadi sadis dan gemar mendera.

Menurutnya, gejala psikopat merupakan antara faktor utama seseorang melakukan penderaan berikutan individu terbabit mempunyai personaliti tidak bersalah apabila mencederakan orang sekeliling.


Penyesalan

“Individu psikopat turut mempunyai perwatakan seperti tidak mempunyai penyesalan dan ketagihan untuk melakukan sesuatu perkara selain sering mengalami gangguan emosi serta mental.

“Selain itu, mendera orang lain turut mendatangkan kepuasan kepada individu psikopat tatkala melihat orang yang diseksa menjerit kesakitan,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.

Fauziah menambah, kepuasan melihat seseorang didera bergantung kepada tahap kesihatan mental si pelaku sama ada dikategorikan sebagai ringan ataupun serius.

“Pelaku yang mempunyai masalah mental yang ringan berkemungkinan berasa puas apabila melihat mangsa menjerit ketakutan akibat didera manakala bagi masalah mental serius, pelaku akan puas sekiranya mangsa dicederakan.

“Dalam pada itu, antara faktor lain menyebabkan seseorang menjadi sadis dan pendera termasuklah masalah persekitaran, didikan ibu bapa, pengaruh media sosial dan ketidakseimbangan kimia dalam otak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein memberitahu, setiap majikan yang menggunakan khidmat pembantu rumah perlu melayan pekerja domestik sebagai ahli keluarga sendiri dan bukannya seorang hamba.

“Layanan baik dan sikap berkasih sayang terhadap pembantu rumah mampu mewujudkan hubungan harmoni antara kedua-dua pihak dan seterusnya membolehkan amah melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

“Pembantu rumah akan tinggal sebumbung dengan majikan, mereka membersihkan rumah, membasuh baju dan memasak. Jadi, anggaplah seperti sebahagian daripada keluarga dan memberi layanan yang baik,” ujarnya.

Tambahnya, jika seseorang majikan tidak mempunyai bajet yang mencukupi menggaji pembantu rumah mereka digalakkan untuk tidak berbuat demikian ekoran bimbang menimbulkan masalah kemudian hari.

“Seseorang majikan disarankan mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM8,000 sebulan sebelum layak mengambil pembantu rumah memandangkan kos perkhidmatan tersebut kira-kira RM1,000 sebulan.

“Kekurangan dana turut menjadi punca seseorang majikan melakukan penderaan kepada amah berikutan tidak mampu menguruskan kewangan bulanan dengan baik,” tegasnya.