Ia merupakan gelanggang di mana sebanyak 32 pasukan dari tujuh benua bersaing merebut piala paling berprestij yang muncul empat tahun sekali itu.

Biarpun semua tumpuan lebih terarah kepada pasukan pilihan seperti Jerman, Brazil, Perancis, Argentina, Portugal dan Sepanyol namun berdasarkan aksi pusingan pertama pasukan bukan pilihan seperti Senegal, Rusia, Jepun dan Switzerland juga dilihat mampu melakukan kejutan.

Dari sudut ekonomi, Piala Dunia 2018 boleh memberi kesan positif atau negatif kepada banyak pihak. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai badan penganjur sudah pasti akan dapat menjana pendapatan yang lumayan hasil daripada pelbagai aktiviti berkaitan bola sepak yang boleh diadakan

Misalnya, pada temasya sama di Brazil pada 2014, FIFA berjaya memperoleh hasil sebanyak AS$5 bilion (RM20 bilion) berbanding perbelanjaan AS$2.2 bilion (RM8.7 bilion) iaitu keuntungan hampir sekali ganda dalam tempoh kitaran empat tahun.

Bukan itu sahaja, FIFA juga memperoleh AS$2.4 bilion (RM9.5 bilion) menerusi hak penyiaran di seluruh dunia dan tidak mempunyai masalah untuk mencatatkan pendapatan hampir sama atau lebih lagi.

Berbeza 
Bagaimanapun, kesan ekonomi kepada negara tuan rumah mungkin berbeza kerana bergantung kepada percaturan negara terlibat dalam menggerakkan aktiviti ekonomi menerusi penganjurannya.

Dengan perkataan lain, sekiranya pelaburan dan perbelanjaan pengurusan dilakukan secara berhemah dan berdasarkan analisis kos dan manfaat, negara tuan rumah boleh menerima hasil lebih besar daripada kos yang dibelanjakan. 

Dalam konteks Piala Dunia 2018, selepas pengisytiharan sebagai negara tuan rumah pada tahun 2010, Rusia sudah boleh memikirkan strategi untuk aktiviti pembangunan kemudahan infrastruktur. 

Ini termasuklah pembangunan stadium bola sepak dan kemudahan pengangkutan dan utiliti. Walaupun ia hanya berlangsung untuk tempoh sebulan, pelaburan dalam infrastruktur ini dilihat akan memberi pulangan untuk jangka masa yang lebih panjang.

Semasa temasya Piala Dunia berlangsung, kehadiran peminat bola sepak akan memuncak. Sektor perkhidmatan dijangka akan menerima kesan limpahan. 

Perkhidmatan pengangkutan terutamanya perkhidmatan lapangan terbang akan menyaksikan kehadiran peminat yang begitu ramai. 

Industri pelancongan dijangka turut menjadi lebih aktif. Peminat bola sepak akan mengambil peluang melancong dan ini semestinya memberi kesan limpahan positif kepada agensi pelancongan, pengusaha hotel dan restoran.

Dari sudut sumber manusia pula, temasya itu akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam pelbagai industri dalam sektor perkhidmatan sama ada secara tetap atau sambilan. 

Selain itu, ribuan sukarelawan juga akan dilantik dan dilatih untuk mengambil bahagian dalam operasi pengurusan temasya.

Secara keseluruhan, dalam konteks ekonomi, penganjuran acara sukan sebesar itu mampu meningkatkan pendapatan negara tuan rumah melalui peningkatan penggunaan, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan imbangan sektor perkhidmatan yang positif. 

Pertumbuhan ekonomi yang baik mampu diperoleh walaupun temasya Piala Dunia telah berakhir. Namun, peluang yang ada mungkin tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh negara tuan rumah. 

Justeru negara tuan rumah mungkin tidak mencapai keadaan ekonomi seperti yang diharapkan. Sebagai contoh, ketika menjadi tuan rumah temasya 2014, Brazil telah membelanjakan AS$15 bilion (RM60 bilion), satu amaun yang sangat besar untuk menyediakan prasarana seperti stadium dan sebagainya.

Kritikan
Namun, pertumbuhan ekonomi Brazil tidak memberangsangkan selepas beberapa tahun selepas temasya itu berakhir. Terdapat kritikan prasarana yang dibangunkan akan menjadi gajah putih apabila ia tidak atau kurang digunakan.

Selain itu, pembangunan infrastruktur baharu juga menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk setempat. Ini juga adalah kos kepada ekonomi yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan negara tuan rumah. 

Tambahan pula, industri pelancongan tidak menghasilkan pulangan seperti yang dijangka selepas temasya berakhir.

Negara-negara lain yang terlibat dalam pertandingan itu turut terkesan daripada temasya berkenaan. Peminat bola sepak pastinya menanti dengan penuh kesabaran untuk melihat pasukan kebangsaan negara mereka bertanding dalam setiap perlawanan.

Begitu juga, peminat bola sepak tegar di segenap ceruk dunia yang sanggup bersengkang mata untuk menyaksikan pasukan kesayangan atau pilihan mereka beraksi dalam tempoh 90 minit di atas padang.

Justeru, kerana keletihan mengikuti perlawanan, mereka mungkin akan bertindak sama ada mengambil cuti, hadir kerja tetapi tidak bekerja seratus peratus atau tidak hadir tanpa sebab. 

Kesannya produktiviti pekerja akan merosot. Ini akan menyebabkan syarikat tidak beroperasi dengan baik dan kemungkinan akan menanggung kerugian akibat pengeluaran dan perkhidmatan tidak optimum.

Bagi peminat bola sepak Malaysia, temasya itu yang disambut serentak dengan perayaan Aidilfitri semestinya meningkatkan keterujaan peminat dan menjadi topik bualan hangat. Dalam masa yang sama, jika silap langkah, produktiviti pekerja yang merosot pula akan menjadi bualan hangat majikan.