Setiap kali Ramadan dan Syawal, orang ramai pastinya berpusu-pusu ke gerai Pak Ali Lemang Asli di Jalan Lingkaran Tengah 2 berdekatan susur masuk Taman Melawati, Hulu Kelang. 

Kawasan tersebut begitu sinonim dengan lemang asli Pak Ali. Lemang asli yang kini diusahakan oleh keluarga Pak Ali bersama pekerja-pekerjanya menjadi kesukaan masyarakat termasuk pelanggan yang sanggup datang dari jauh kerana teksturnya pulutnya yang lembut dan penuh lemak. 

Dikatakan, rahsia lemang asli Pak Ali begitu sedap kerana kandungan beras pulut, santan dan daun pisang. Selain itu, lebih istimewa lemang itu dibakar menggunakan kayu api daripada pokok getah bagi melembutkan isu lemang.

Kebiasaannya pada setiap pagi, beberapa pekerja di gerai lemang Pak Ali sibuk memasukkan beras pulut ke dalam buluh untuk dibakar. 

Mereka membakar sebanyak 300 batang lemang sehari dengan mengikut saiz. Ia dijual pada harga serendah RM12 hingga RM20 sebatang. 

Lemang asli warisan Pak Ali mendapat sambutan yang tinggi pada Hari Raya Aidilfitri dan kadang-kadang ditempah orang ramai terlebih awal sebelum menyambut hari lebaran.