Perlumbaan tersebut berjaya membawa Malaysia ke persada dunia dengan menampilkan keindahan panorama alam semula jadinya termasuk tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang melibatkan jarak sejauh 1,341 kilometer (km) merentasi lapan negeri, sejumlah 132 pelumba mewakili 22 pasukan jelajah profesional dunia, profesional benua dan pasukan kebangsaan memberikan saingan sengit bermula dari Kangar, Perlis ke Kulim, Kedah dengan jarak 147.9km diikuti laluan Gerik, Perak ke Kota Bharu, Kelantan (208.3km); Kota Bharu-Kuala Terengganu (166km); Dungun-Pekan, Pahang (177.6km), Bentong-Cameron Highlands sejauh 169.4km dengan pendakian berstatus hors di Tanah Rata; Tapah-Tanjung Malim, Perak (108.5km); Nilai, Negeri Sembilan-Muar, Johor (222.4km) dan tamat di Dataran Merdeka menerusi laluan Rembau-Kuala Lumpur (141.1km).

Sejarah baharu tercipta di Dataran Merdeka apabila pelumba TSG, Artem Ovechkin menghadiahkan jersi kuning (juara keseluruhan) pertama buat pasukan yang berpangkalan di Terengganu apabila muncul sebagai pelumba terpantas.

Pendatang baharu yang diturut dilahirkan di Malaysia iaitu Forca Amskins Racing (FAR) unggul pada penampilan pertama mereka apabila membolot gelaran raja bukit (jersi merah polka dot) juga menerusi pelumba import, Alvaro Raul Duar­te.

Saingan kali ini menampilkan dua pasukan jelajah profesional dunia ia­itu Dimension Data dan Astana Pro Team selain pasukan profesional benua seperti Androni Giocattoli-Sidermec, Bardiani-CSF, Manzana Postobon, Wilier Triestina-Selle Italia dan Bennelong Swisswellness Cycling Team.