Menurut Wikipedia, sebelum abad ke-21, sukan ini telah dimainkan oleh lebih daripada 250 juta orang di 200 negara, yang menjadikannya sebagai sukan paling terkenal di dunia. Maka, tidak hairanlah mengapa sukan bola sepak sama taraf dengan manusia yang memakan makanan ruji seperti nasi.

Minggu ini, fanatik dan pembangkang sukan bola sepak sedang berlawan hujah. Mereka seperti saling menyepak bola ke arah satu sama lain. Semuanya gara-gara pengumuman yang dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo baru-baru ini. Beliau berkata, Kabinet memperuntukkan RM40 juta untuk membeli hak penyiaran perlawanan Piala Dunia 2018 yang akan ditayangkan oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Lesen penyiaran Piala Dunia di Malaysia sebelum ini dipegang oleh Astro. Bagaimanapun, kini RTM hanya perlu memperolehnya daripada MLeague Marketing.

RTM mahu menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dengan 27 perlawanan akan ditayangkan secara langsung manakala 14 perlawanan lain disiar melalui siaran tertangguh. Piala Dunia 2018 akan memulakan temasya pada 14 Jun sehingga 15 Julai depan di Rusia, hanya beberapa hari sebelum perayaan Aidilfitri. Ada yang berasa RM40 juta sebagai pembaziran, tetapi ramai yang sudah bersorak kerana bakal dapat menonton temasya sukan berprestij ini secara percuma menerusi banyak perlawanan secara langsung.

“Piala Dunia 2018 adalah acara antarabangsa dan bagus jika RTM menyiarkannya secara langsung,” katanya.

Sebaik berita itu tersebar, ia pantas menyita perhatian banyak pihak. Ini termasuklah buah pandangan dan pertanyaan lantang oleh pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Dr. Rais Yatim. Rais yang juga pernah menyandang tugas sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Rais mempersoalkan tentang relevan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta hanya untuk tayangan Piala Dunia 2018.

Antara yang diciapkan dalam akaun Twitter miliknya berbunyi: “Ura-ura menggunakan RM40 juta untuk pesta tayangan bola sepak di RTM mesti dirasionalkan oleh menteri. Adakah jumlah itu daripada pengiklan atau huluran kerajaan?”

Duit raya

Rais juga mendakwa, jika ia adalah duit kerajaan, maka dasar berjimat cermat adalah tidak masuk akal. Beliau juga mencadangkan agar RTM berkongsi siaran dengan Astro demi menjimatkan kos, sekali gus dapat menyelamatkan duit negara.

Bajet RM40 juta dan teguran Rais serta banyak pemerhati di negara kita mengingatkan saya tentang Tabung Harapan Rakyat yang baru ditubuhkan bagi rakyat Malaysia membantu negara meringankan beban melunaskan hutang mencecah RM1 trilion. Agaknya itu yang orang risau tentang RM40 juta.

Ironi, barangkali ada yang lupa malah tidak mengetahui sejarah ini. RTM sudah sekian lama menyiarkan Piala Dunia dan pernah menyiarkan sebanyak lapan daripada empat perlawanan secara langsung seperti yang dirancang berkat derma dari rakyat Malaysia pada tahun 1982. Hanya mungkin ini kali pertama ia bakal menyaksikan penyiarannya dalam skala lebih besar.

Jadi sebenarnya apa yang penting sangat untuk menayangkan Piala Dunia 2018 secara langsung sehingga mencecah RM40 juta?

Secara ringkasnya, pertandingan Piala Dunia sudah berusia 88 tahun dengan perlawanan membabitkan 211 buah pasukan sebelum hanya 32 buah pasukan akan beraksi di final. Juara tahun lepas milik pasukan Jerman, jadi siapa pemilik juara Piala Dunia 2018?

Barangkali, itulah pentingnya kita menonton perlawanan Piala Dunia 2018. Lebih mustahak, dapat menontonnya secara serentak seperti di seluruh dunia.

Sudah, jangan gaduh-gaduh. Keputusannya muktamad. Gobind pada Khamis lalu menjelaskan, kerajaan hanya membayar RM15 juta kerana sebahagian RM15 juta lagi merupakan penajaan. Keseluruhannya juga bukan RM40 juta tetapi RM30 juta.

Pokoknya, Piala Dunia 2018 kelak akan dapat ditonton menerusi dua saluran iaitu Astro dan RTM. Jadi bagi penonton yang tidak pernah melanggan Astro, apa lagi mahu membelanjakan wang untuk melanggan Pas Piala Dunia atau menjadi pelanggan Pek Sukan Astro (Astro juga ada memberi secara percuma beberapa perlawanan secara langsung), RTM adalah alternatifnya.

Jangan sampai kata tidak ada pembaharuan yang telah dibuat oleh Gobind dalam melestarikan jawatan dan ‘wilayah’nya sekarang. Beliau baru sahaja memulakan pendakian dalam memastikan RTM bersifat lebih agresif, segar dan telus demi menarik perhatian penonton seperti yang diikrarkannya sebelum ini dengan keputusan penayangan Piala Dunia 2018 di stesen televisyen yang telah bersiaran sejak 1 April 1946 itu.